Dewasa ini setiap masyarakat, tidak kira sama ada moden atau tradisional, akan sentiasa terdedah kepada idea-idea yang datang dari luar atau yang dicetuskan oleh innovasi teknologi terkini. Tidak ada masyarakat yang boleh memencilkan dirinya dari arus idea luaran atau gelombang teknologi. Oleh itu adalah penting bagi sesuatu masyarakat itu cuba memahami bagaimana sesuatu idea luaran atau teknologi itu mendatangkan kesan kepada ahli dan dirinya. Umumnya umat Melayu dewasa ini sedar tentang perubahan radikal dalam keadaan kehidupan material akibat dari penggunaan ilmu sains dan teknologi. Mungkin apa yang kurang disedari ialah takat kesan atau sejauh mana teori-teori sains dan teknologi mempengaruhi kerangka mental atau Weltanschauung Melayu yang menjadi teras pandangan alam atau kosmologi Melayu.
Bermula pada awal abad ini konsep sains dan falsafah moden telah semakin mendapat tempat dalam kerangka pemikiran Melayu. Pembudayaan sains dalam kerangka budaya fikir Melayu pada mulanya berlaku dalam program kolonial (bagi mengisi tujuan penjajah) dan berterusan sehingga negara mencapai kemerdekaan. Pembudayaan tersebut berterusan dengan lebih giat lagi dibawah program pendidikan pasca-Merdeka. Program-program pendidikan yang menekankan pembelajaran sains secara intensif kepada anak-anak Melayu - terutamanya pada akhir 60an dan awal tujuh puluhan - telah berjaya melahirkan - pada akhir tahun 70an dan awal 80an - satu masyarakat saintis Melayu dan komuniti cendekiawan Melayu yang mempunyai scientific literacy atau scientific consciousness yang tinggi. Hal ini dianggap sebagai suatu lagi pencapaian sosial dan psiko-intelektual yang agak unggul dalam sejarah umat Melayu. Setakat yang diketahui (oleh penulis), belum ada lagi satu kajian terperinci dan menyeluruh tentang hal tersebut. Namun begitu kita boleh menjangkakan bahawa dikalangan kelompok mereka itulah biasanya konsep sains dan falsafah moden mendapat tempat yang istemewa. Dikalangan mereka juga mungkin wujud keadaan dimana konsep sains dan kosmologi sekular moden seolah-olah telah menggantikan kerangka idea dan kosmologi tradisional yang mengandungi nilai-nilai asas, astetik, sosial dan juga kepercayaan Melayu (lama?).
Pebincangan disini pada asasnya bertujuan untuk membuat penelitian awal tentang dua perkara:
1.Bagaimana sesuatu idea sains dan teknologi moden mungkin boleh merubah kepercayaan, alam fikir dan budaya fikir Melayu iaitu teras kosmologi Melayu;
2. Bagaimana sesuatu idea sains dan teknologi mungkin diserap (sama ada secara sedar atau tidak) dan menjadi teras baru kepada kerangka pemikiran Melayu.
Pendekatan perbincangan di sini adalah lebih cenderung kepada corak perbincangan yang bersifat teoritis, konsepsual dan spekulatif daripada kuantitatif, empiris dan deskriptif. Disebabkan batasan yang ada, kertas ini juga bercadang untuk menghadkan perbincangan tersebut pada kesan sosio-intelektual yang lahir daripada salah satu dari aspek utama fenomena sains dan teknologi terkini iaitu Teknologi Maklumat (TM), yang berteraskan epistemologi dan teknologi perkomputeran. Sama ada perubahan atau kesan tersebut akan menghasilkan natijah yang menguntungkan umat Melayu secara mutlak atau sebaliknya, adalah suatu persoalan menarik yang mungkin memerlukan jawapan yang kompleks. Namun, kertas ini tidak akan cuba menyelesaikan persoalan seperti itu. Rasanya perlu ditegaskan disini bahawa pendekatan kertas ini tidak bertujuan untuk mengambil sikap menghukum atau memihak kepada mana-mana kelompok atau trend pemikiran. Ia juga tidak bertujuan untuk memihak atau mengkritik mana-mana ideologi atau program politik semasa. Kertas ini hanya bercadang - sekurang-kurangnya pada kesempatan ini - untuk mengketengahkan satu isu atau agenda intelektual yang perlu diteliti dengan cermat dan dikaji dengan lebih lanjut lagi. Sebarang kesimpulan yang dibuat adalah akademik dan untuk tujuan perbincangan ilmiah semata-mata. Sekiranya kesimpulan tersebut mempunyai implikasi yang lebih dari itu maka ia adalah soal lain yang harus dibincang dalam forum yang berlainan.
Dilihat dari segi sejarah, adalah jelas Weltanschauung dan kosmologi Melayu telah mengalami beberapa perubahan yang besar. Perubahan tersebut berkait rapat dengan pengaruh sistem pemikiran tertentu yang dominan dalam detik-detik sejarah intelektual Melayu dirantau ini. Bagaimana sesuatu sistem pemikiran itu menjadi dominan dirantau ini tidak begitu penting bagi perbincangan kita disini. Apa yang penting bagi kita ialah untuk menyedari bahawa terdapat tiga sistem pemikiran utama yang mempengaruhi atau meninggalkan kesan kepada pemikiran Melayu dalam beberapa fasa utama. Ketiga-tiga sistem pemikiran tersebut dominan dalam tiga fasa yang agak jelas.
Misalnya, dalam perkembangan doktrin hindi seperti Vaisesika, Nyaya, dan falsafah Jainisme (termasuk Abhidhrama bagi Buddhisme) terdapat penekanan kepada garis-garis pandangan alam, epistemologi, "logik" dan kaedah pemikiran sistematis yang tertentu. Misalnya, fenomena tabii dalam alam ini difahamkan sebagai bergantung kepada beberapa faktor asas metafizikal. Struktur alam atau kosmos dijelaskan dalam konteks faktor asas tersebut dan beberapa prinsip asas yang dipercayai mengawal interaksi faktor tersebut. Perkembangan ini menghasilkan satu sistem formalisasi bahasa yang membolehkan sintesis, antara lain, konsep alam dan analisis falsafah dalam konteks kategori hakikat, wajib dan perlu (misalnya dalam doktrin Vaisesika). Formalisasi bahasa, terutamanya, membolehkan pembentukan satu sistem logik dan sistem simbolisme matematico-kualitatif yang dijelaskan dalam konteks doktrin kosmologi tertentu. Dalam doktrin Nyaya, misalnya, terdapat sistem formal "logik" yang dikaitkan dengan falsafah alam yang terdapat dalam doktrin Vaisesika. Kita tidak tahu dengan pasti mana antara doktrin-doktrin tersebut yang mempengaruhi dan memainkan peranan utama dalam pembentukan Weltanschauung Melayu era hindi. Apa yang pasti dan dapat disepakati ialah elemen falsafah hindi dan sains hindi memainkan peranan yang penting dalam pembentukan kosmogoni dan kosmologi Melayu tradisonal. Apa yang turut pasti ialah elemen tersebut menjadikan kosmologi Melayu menekankan pandangan alam maya yang menganggap fenomena fizik tabii hanya sebagai maya (illusi/relatif) dan alam tersebut pada hakikatnya adalah manifestasi dari pergolakkan fenomena dalam alam mitos atau alam metafizik.
Dalam epistemologi Islam, ulum atau ilmu sekurang-kurangnya boleh dilihat sebagai terdiri daripada dua kategori umum - ilmu relatif dan ilmu yakin atau mutlak. Ilmu relatif dan mutlak itu sebenarnya mempunyai banyak cabang, tetapi untuk tujuan perbincangan disini kita tidak perlu meneliti kesemuanya itu. Memadai dengan menyedari bahawa ilmu relatif merujuk kepada ilmu yang boleh didapati oleh manusia dalam alam fana ini melalui usaha akalnya sendiri dan ilmu mutlak pula merujuk ilmu metafizik ( dari sisi Al-Ilm) yang diwahyukan atau ditanzilkan oleh Tuhan yang Maha Mengetahui. Kedudukan dan martabat kedua-dua ilmu tersebut adalah jelas berlainan. Kerana itulah dalam epistemolgi islam terdapat konsep martabat ilmu dan juga metodologi ilmu. Sehubungan dengan konsep ilmu ialah konsep konsep kausal sekunder dan primer (yang menjadi objek ilmu relatif manusia) dan Penyebab Mutlak (yang menjadi objek ilmu mutlak) merupakan penyebab dan pengerak fenomena fizik tabii dan fenomena metafizik, kesemuanya dirangkumkan dalam model kosmologi Tauhid. Kosmologi yang melihat manusia sebagai khalifah Allah yang memikul amanah Tuhan dengan bantuan para Malaikat disamping terpaksa berhadapan dengan syaitan dan jin. Kosmogoni Islam menganggap alam ghaib sentiasa berinteraksi dengan alam zahir. Bahkan tiada fenomena fizik yang terputus dari ikatan fenomena alam metafizik. Oleh itu fenomena tabii adalah ayat atau simbol yang mewakili hakikat metafizik yang lebih tinggi. Jelas, elemen-elemen sistem pemikiran yang digariskan tadi wujud - walaupun dalam takat dan kadar yang tidak seragam - dalam pemikiran Melayu tradisional.
Simbol-simbol kosmologi tradisional Melayu adalah jelas merupakan simbol semantis dan kualitatif yang mempunyai makna transenden yang tinggi dan makna budaya yang seni. Pemikiran tradisional sentiasa mengutamakan fakulti intellectus holistik dan sintesis berbanding dengan rasio analitik dan reduksionis. Fakulti intellect melihat alam ini sebagai kaya dengan simbol-simbol transenden semantis berbanding dengan rasio yang lebih menekankan simbol sintaksis reduksionis. Pemikiran rasio, kita akan perhatikan dalam perbincangan selanjutnya, merupakan teras pemikiran sains moden dan juga Weltanschauung komputer. Pemikiran rasio amat ditekankan dalam budaya fikir Eropah terutama budaya fikir sekular pasca-Nasrani. Setakat mana budaya fikir ini (yang mula dibawa ke alam fikir Melayu secara sistematis oleh penjajah Inggeris) mendatangkan kesan kepada pemikiran Melayu maseh merupakan persoalan yang belum terjawab dengan memuaskan. Apa yang jelas ialah budaya fikir tersebut tidak dianggap sebagai memainkan peranan yang besar dalam membentuk ciri-ciri utama Weltanschauung Melayu tradisional (lama?).
(Bersambung Kuliah 2)