Go to Cyber Semiotic Institute home page
Go to Course Outline
Go to Kuliah1 / 2 / 4 / 5 / 6 / 7 / 8


Weltanschauung Melayu dalam Era Teknologi Maklumat:
Komputer Menjadi Teras Pemikiran atau Punca Tewasnya Pemikiran Melayu?

oleh Hairudin b. Harun

Kuliah 3 (Lecture 3)

1. Pendahuluan

Meninjau sesuatu yang lampau, yang berlaku dalam rangka waktu yang sudah berlalu dengan begitu lama, membawa banyak risiko historiografi. Resiko tersebut semakin bertambah apabila melibatkan penelitian interaksi dua atau lebih alam fikir serta ditambah pula dari dua kawasan geografi yang berbeza. Resiko pertama digelar anakronisme. Hal ini berlaku apabila kita meletakkan nilai dan kriteria ilmiah semasa dalam memahami sesuatu fenomena intelektual sejarah yang sebenarnya bersifat temporal atau setempat.

Resiko kedua ialah tentang hal data. Ketandusan data melalui kemusnahan bahan atau sumber bahan asal (seperti manuskrip atau dokumen) akibat faktor masa atau sejarah, merupakan hal yang sering terjadi. Namun, bagi data yang sedia terbentang, soal kesahihan pula harus diperhatikan. Hal ini kerana martabat kesahihan sesuautu data itu boleh menentukan serta mempengaruhi interpretasi atau darjah ketepatan periwayatan sejarah. Soal darjah ketepatan interpretasi terutamanya timbul apabila kita membuat analogi antara dua fenomena intelektual dalam dua dimensi geo-politik yang berbeza. Interpretasi yang kurang tepat mungkin juga lahir akibat penggunaan acuan budaya fikir asing dalam menginterpretasi sesuatu kejadian atau pengalaman yang sememangnya terpencil atau setempat.

Ketiga-tiga risiko tersebut wujud dalam apa juga bentuk historiografi terutamanya dalam meninjau sejarah intelektual atau perkembangan budaya fikir sesuatu tamadun. Oleh itu kuliah ini turut terikat dengan batasan historiografi yang disebutkan tadi. Namun, demi untuk menambah pembendaharaan pengetahuan tentang perkembangan budaya fikir Melayu, risiko tersebut harus harungi. Kita melakukan dalam dua siri kuliah yang awal dan dalam kuliah ini kita akan meneruskan perbincangan kita.

2. Fasa-Fasa Utama

Pertembungan budaya fikir dan kosmologi Melayu dengan Eropah boleh dikatakan berlaku dalam tiga fasa utama. Fasa pertama antara akhir abad ke-16 dan awal abad ke-17. Fasa kedua pada akhir abad ke-17 dan awal abad ke-18. Fasa ketiga ialah pada akhir abad ke-18 hingga awal abad ke-20. Fasa pertama melibatkan pertembungan dengan bangsa Eropah selatan, terutamanya Portugis. Fasa kedua pula ialah pertembungan dengan bangsa Eropah utara, iaitu Belanda. Manakala fasa ketiga ialah pertembungan dengan bangsa kepulauan British, khususnya orang-orang Inggeris. Fasa pertama juga dikenali sebagai fasa Eropah Latin atau fasa Portugis. Fasa kedua pula dikenali sebagai fasa Eropah benua atau kontinental. Manakala fasa ketiga ialah fasa Inggeris atau Eropah kepulauan British.

Fasa-fasa utama tersebut dikaitkan bukan sahaja dengan bangsa dan tempat asal orang Eropah yang datang menjelajah ke Tanah Melayu, malah yang lebih penting sekali ia juga berkaitan dengan budaya fikir dan latar belakang kosmologi yang wujud pada zaman-zaman tersebut. Misalnya, fasa Portugis bertepatan dengan penghujung zaman kebangkitan ilmiah yang dipengaruhi oleh neo-Thomisme dan skolasticisme. Fasa Eropah kontinental berlatar belakangkan iklim ilmiah yang dipengaruhi oleh humanisme yang kemudian melahirkan zaman cahaya (Enlightenment). Fasa Inggeris dikaitkan dengan zaman gelombang rasionalisme dan sekularisme. Gelombang ini dikaitkan dengan faham Kartesianisme dan saintifik yang berpunca daripada fikiran Rene Descartes dan Francis Bacon. Descartes tokoh ilmuwan benua Eropah dan Bacon pula tokoh dari kepulauan British. Corak kosmologi zaman ini banyak ditentukan oleh tokoh sains berbanding daripada golongon cendekiawan seperti paderi atau ahli teologi.

Fasa Inggeris juga bersamaan dengan gelombang ilmiah empiricisme. Budaya fikir ini mendapat tempat yang istemewa dikalangan masyarakat ilmuwan Inggeris atau Anglo-Saxon. Budaya fikir tersebut banyak dikaitkan dengan tulisan-tulisan yang diasaskan oleh para ahli fikir seperti Thomas Hobbes (1588-1679), John Locke (1632-1704) dan para ahli sains seperti Boyle (1627-1691) dan Newton (1642-1727). Epistemologi empiricisme bercirikan penekanan kepada asas ilmu empiris dan mengetepikan asas-asas selain itu, terutamanya metafizik. Konsep-konsep kausaliti, alam tabii dan minda hanya dijelaskan dalam kerangka doktrin empricisme. Abad ke-19 dan awak abad ke-20 juga melahirkan gelombang ilmiah yang dipanggil positifisme. Bagi positifisme segala wacana ilmiah dan sains harus bertunjangkan bukti emprisis. Oleh demikian bagi positifisme tidak ada peranan bagi kuasa ghaib, dewa-dewi, semangat atau keTuhanan. Kosmologi yang timbul daripada faham ini telah digelar kosmologi saintifik dan masih berpengaruh sampai ke zaman ini.

3. Pertembungan Awal

Pertembungan awal budaya fikir dan kosmologi Melayu dengan budaya fikir Eropah bermula dengan kedatangan Eropah ke dunia Melayu. Orang Eropah telah merantau dan melawat dunia Melayu semenjak awal abad ke-16. Lawatan awal dibuat oleh orang-orang Portugis dan kemudiannya diikuti oleh orang-orang Sepanyol. Kedua-dua bangsa Eropah ini berasal daripada pembinaan semula bangsa Eropah selatan diatas runtuhan jajahan Andalusia. Kedatangan mereka ke dunia Melayu didorong oleh perdagangan, khususnya rempah-ratus dan juga cerita-cerita mitos tentang wujudnya wilayah berhampar emas kuning yang digelar Golden Chersonese di alam Melayu. Kedatangan mereka ke alam Melayu adalah juga disebabkan perubahan yang berlaku dalam Weltanschauung dan alam fikir bangsa Eropah, khususnya mereka yang tinggal disekitar lautan Mediterranean. Eropah selatan telah menjadi punca telusan cahaya perubahan yang merobah suasana kegelapan ilmiah dan kekontangan budaya fikir Eropah. Perubahan tersebut yang dicirikan oleh kebangkitan budaya fikir dan ilmiah dikenali sebagai Renaissance. Kebangkitan tersebut sedikit sebanyak terhutang budi kepada peradaban Islam Andalusia yang telah menjadikan jajahan Sepanyol dan Portugal sebagai pusat ilmu dan kebudayaan tinggi yang terulung. Fenomena sosio-intelektual yang mula berlaku di kawasan Mediterranean dan Eropah Selatan kemudiannya merebak ke serata benua Eropah.

Alam Melayu sememeng tidak asing kepada para nakhoda dan para ilmuwan Andalusia. Mereka banyak menulis mengenai perihal kesuburan dan kekayaan sumber tani dan alam yang wujud di alam Melayu. Cerita-cerita mengenai hamparan emas di Nusantara yang kemudiannya menjadi lagenda Golden Chersonese dikalangan para pelayar dan pengembara Eropah adalah dipercayai juga timbul daripada tulisan-tulisan tersebut. Selepas jatuhnya kerajaan Andalusia tulisan-tulisan tersebut telah berpindah ke tangan orang Portugis dan Sepanyol. Pelayaran dan ekspedisi laut yang berlaku secara besar-besaran oleh orang Portugis dan Sepanyol pada abad ke-16 tidak syak lagi didorong oleh pengetahuan baru mengenai alam emas dan rempah ratus yang telah berpindah kepada ke tangan mereka.

Pelayaran dan ekspedisi orang Portugis berlatarkan suasana ilmiah tertentu. Budaya fikir dan kosmologi Eropah Selatan masih berteraskan kosmologi neo-platonik. Ciri-ciri alam Timeus Plato mewarnai wacana kosmologi ketika itu. Kosmologi tersebut dicirikan oleh kewujudan alam ghaib yang dapat difahami oleh akal manusia. Tulisan-tulisan kosmologi para cendekiawan agung Yunani seperti Aristotle tersebar luas. Kebanyakan tulisan tersebut diperkenalkan melalui komentari para cendekiawan Islam seperti ibn Sina, ibn Rushd dan al Maimum. Namun diwaktu ini juga timbul semangat dan keyakinan diri membara dikalangan orang Eropah baru. Perubahan ini yang bermula di medan pertempuran ketenteraan telah melimpah ke medan ilmu. Seperti yang telah dijelaskan suasana ilmiah jajahan Portugal banyak dipengaruhi oleh gereja terutamanya yang dikaitkan dengan ajaran Aquinas atau juga dikenali dengan Thomasisme.

Apa yang menarik ialah suasana ilmiah di Nusantera juga mempunyai pertalian dengan Andalusia. Tulisan-tulisan atau sekurang-kurang ajaran tokoh-tokoh Andalusia seperti ibn Rushd telah pun mendapat tempat dikalangan para ulama dan tokoh ilmuwan Melayu lama. Boleh dikatakan sejenis skolasticisme Islam telah pun meresap didalam budaya fikir Melayu melalui pengaruh Islam yang telah tiba berabad-abad lebih awal. Thomasisme dan skolasticisme Islam mempunyai punca yang sama iaitu daripada komentari cendekiawan Islam seperti ibn Rushd tentang ajaran Plato dan Aristotle. (Kupasan lanjut mengenai pengaruh Andalusia dalam alam Melayu boleh didapati dalam tulisan saya yang berjudul: " Pengaruh Andalusia dalam Doktrin Perubatan Melayu," dlm. Cendekia, Akademi Pengajian Melayu, Bil.3, (1993), hlm.7-22).

Oleh itu sekiranya seorang cendekiawan atau paderi Portugis cuba berdialog dengan ulama Melayu, mereka mungkin terperanjat kerana mendapati hujah-hujah mantik, doktrin kausaliti dan kosmologi antara mereka mempunyai lebih banyak persamaan daripada perbezaan. Namun dialog seperti itu tidak berlaku akibat sikap permusuhan dan prejudis keagamaan tebal pendatang Portugis terhadap orang Melayu. Sebaliknya Portugis mendapati bahawa orang Melayu Melaka, misalnya, lebih banyak mengingatkan mereka kepada musuh sejarah mereka iaitu Moors Andalusia di semenanjung Iberia. Maka tidak hairanlah Portugis datang dengan membawa prejudis peperangan salib yang dimanifestasikan dengan penaklukan kota Melaka oleh Alfonso d Albuquerque pada tahun 1511. Usaha pengkristenan orang Melaka secara paksa dilakukan sebaik sahaja Portugis menaluki kota Melaka. Namun dilaporkan lebih ramai orang Melaka yang lebih sanggup disembelih daripada sanggup bertukar agama. Kekerasan Portugis dan kebencian orang Melayu terhadap penjajah bangsa Eropah telah menyebabkan interaksi budaya dan ilmiah hampir mustahil berlaku diwaktu itu. Hal ini berterusan walaupun pada tahun 1548 Portugis telah membuka sekolah pertama Eropah untuk mengajar bahasa Portugis dan Latin. Pengaruh budaya fikir dan ilmiah Portugis boleh dikatakan hampir tiada.

4. Pertembungan Kedua

Belanda merupakan bangsa Eropah kedua yang datang selepas Portugis dan menjajah alam Melayu. Pada tahun 1641 Portugis dihalau keluar dari Melaka oleh musuh pedagangan mereka iaitu Belanda. Kedatangan Belanda ke alam Melayu lebih didorong oleh perdagangan Mercantil berbanding dengan semangat keagamaan. Politik dan perhubungan diplomatik yang dijalin oleh Belanda dengan pemerintah Melayu tempatan adalah lebih sofisikated berbanding Portugis. Hal ini terbukti, misalnya, apabila Belanda mampu mendapat pertolongan orang Melayu Johor ketika menyerang Melaka. Suasana ilmiah di benua Eropah ketika Belanda bertapak di semenanjung Melayu adalah amat berbeza daripada zaman Portugis. Perubahan ini dicirikan oleh kurangnya peranan gereja dalam arus perkembangan ilmiah. Hal tersebut amat jelas kelihatan dalam penggantian kosmogoni keagamaan yang berpaksikan bumi dengan kosmologi heliosentrik Copernican. Geosentrisme yang dipopularkan oleh gereja mendapat pukulan paling teruk terutamanya dari tulisan Galileo.

Namun pergolakan ilmiah di benua Eropah tidak sedikitpun menampakan kesannya kepada jajahan Belanda di Nusantera. Belanda sememangnya lebih berminat kepada mempraktikan doktrin mercantilisme mereka lebih dari segala-gala. Di jajahan mereka, orang Belanda lebih cenderung untuk memencilkan diri mereka dibelakang tembok-tembok pertahanan daripada berinteraksi dengan masyarakat setempat. Umumnya Belanda mengambil sikap bahawa orang tempatan tidak mempunyai sesuatu yang berharga selain dari rempah ratus, emas dan bijeh. Orang asing, seperti orang Melayu dan tempatan dianggap sebagai terlalu primitif untuk diajak berwacana ilmiah. Tegasnya, Belanda tidak meninggalkan sebarang kesan penting kepada perkembangan budaya fikir setempat, khususnya di kalangan orang-orang Melayu.

5. Pertembungan Ketiga

Bangsa Eropah yang ketiga memain peranan utama di Nusantara ialah Inggeris. Berbanding dengan bangsa eropah sebelumnya, Inggeris mungkin terulung dari segi pengaruh dan peranan mereka di alam Melayu. Inggeris mula bertapak di semenanjung melalui Pulau Pinang pada tahun 1786. Namun begitu Inggeris telah pun menjalinkan perdagangan dengan negeri-negeri Melayu seperti Kedah semenjak tahun 1623 lagi. Kehadiran pesaing seperti Belanda telah menjadikan kedatangan mereka semenanjung sukar sedikit. Namun peperangan Napoleonik di Eropah telah membuka ruang bagi Inggeris mengukuhkan kedudukan mereka di Tanah Melayu. Hal ini jelas berlaku apabila Inggeris berjaya mengambil alih pemerintah Melaka daripada Belanda pada tahun 1795 hanya melalui helah politik dan diplomasi. Dari situ pengaruh Inggeris terus berkembang hingga menjelang abad ke-20 keseluruhan semenanjung Tanah Melayu menjadi jajahan British. Apa yang menjadi perbezaan antara penjajahan British dengan Portugis dan Belanda sebelumnya ialah darjah pengaruh British keatas perkembangan sistem pemerintahan, bahkan juga idealisme sosial dan intelektual masyarakat Melayu dan bukan-Melayu. Hal ini dapat dilihat di segenap cabang kemasyarakatan; dari bidang perubatan hingga ke bidang pendidikan. Apa yang menarik ialah kedatangan British ke alam Melayu bertepatan dengan waktu perkembangan revolusi intelektual di Eropah yang di kenali sebagai revolusi sains. Para pemikir British merupakan antara penyumbang besar kepada revolusi mental tersebut, terutamanya berbanding dengan bangsa Eropah lain seperti Portugis atau Belanda, dan revolusi tersebut telah merobah budaya fikir dan mewarnai kosmologi Eropah buat selama-lamanya.

Pemantapan pengaruh British di Tanah Melayu terus berlaku sepanjang abad ke-19 sehingga pertengahan abad ke-20. Pemantapan ini yang juga bererti pengukuhan yang disulami dengan perluasan kawasan penjajahan dibuat dibawah panji "memikul beban orang putih." Abad ke-19 terutamanya pernah diungkapkan oleh para sejarawan sebagai "abad Eropah dalam sejarah dunia," iaitu satu detik dimana Eropah berupaya memaksa keatas umat dunia pemikiran dan politiknya tanpa sebarang sekatan. Detik tersebut juga bertepatan dengan revolusi industri yang mula bercambah di Britain. Revolusi ini telah memberi kekuatan teknologi yang luar biasa kepada Britain berbanding dengan negara lain di dunia ketika itu. Satu natijah daripada revolusi industri Britian tersebut ialah keperluan yang semakin meningkat kepada bahan-bahan mentah (dari bahan logam hingga hasil tani) yang banyak tersimpan di Asia dan Afrika. Keperluan tersebut menjadikan sebab baru kepada penambahan aktiviti penjajahan dan kolonialisme Inggeris di Asia dan Afrika ketika itu.

Abad ke-19 turut merakamkan satu lagi perubahan radikal dalam sejarah budaya fikir Inggeris apabila Charles Darwin menerbitkan buku The Origin of Species by Means of Natural Selection. Buku tersebut telah mengketengahkan teori Darwin mengenai evolusi biologis. Walaupun idea tersebut sepatutnya terhad kepada wacana dalam bidang sains biologis namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Idea evolusi telah keluar melimpah ke dalam arena fikiran sosial semasa sehingga melahirkan doktrin "social Darwinism" atau Darwinisme sosial. Teori Darwin turut mempengaruhi idea atau konsep kemajuan (The Idea of Progress) dan juga konsep martabat kewujudan manusia serta bangsa. Idea-idea tersebut melahirkan faham sosial Victorian semasa bahawa orang berkulit menduduki heiraki kewujudan evolusi yang tertinggi dan bangsa berkulit warna dan gelap pula berada ditahap terendah. Oleh kerana kedudukan martabatnya yang tinggi orang putih juga memikul beban tanggungjawab yang tinggi. Maka timbullah cogan "memikul beban orang putih," yang sebenarnya membawa maksud bahawa orang putih telah dibebankan dengan tanggungjawab memakmurkan alam ini serta menjinakkan bangsa-bangsa primitif yang lain.

Cogan "beban orang putih" diterjemahkan di Tanah Melayu sebagai mewujudkan "oriental gentleman" atau kelas "Melayu Putih." Ini dilakukan melalui (i) sistem pendidikan kolonial dan (ii) sistem kesihatan/perubatan kolonial. Kedua-dua sistem ini dilaksanakan melalui saluran pemerintahan kolonial dengan sokongan sistem ekonomi dan teknologi kolonial. Namun apa yang penting bagi perbincangan kita disini ialah bagaimana budaya fikir Inggeris buat pertama kalinya meresap secara efektif di kalangan orang Melayu. Salah satu saluran paling berkesan ialah sistem pendidikan yang didukung oleh pengwujudan rangkaian sekolah-sekolah khas (Public School) terutamanya bagi kelas-kelas bangsawan. Sekolah-sekolah ini kemudianya dibuka kepada orang awam. Di sekolah-sekolah inilah anak-anak orang Melayu didedahkan kepada falsafah serta doktrin pendidikan yang bertunjangkan perkembangan intelektual yang berlaku di Eropah, khususnya Britain.

Orang-orang Melayu mula didedahkan kepada kaedah sains, idea sains dan kosmologi sains. Alam semangat dan alam ruhaniah orang Melayu semakin lama semakin terpencil terutamanya dikalangan mereka yang telah dididik dengan alam sekular sains. Kausaliti dan sebab-musabab saintifik menggantikan konsep magis, mukjizat dan kudrat. Kuman dan vitamin menggantikan konsep hama angin dan panas-sejuk sebagai punca penyakit dan penjaga kesihatan. Ubat-ubatan kimia menggantikan jampi serapah dan akar kayu sebagai penawar bisa serta sakit. Menjelang kemerdekaan Tanah Melayu daripada pemerintahan Inggeris, sebahagian besar orang Melayu telah pun menganggap bahawa budaya fikir moden yang dibawa oleh Inggeris bukan suatu yang asing. Amat sedikit sekali dikalangan orang Melayu yang menganggap menghayati budaya fikir moden ala Inggeris adalah suatu yang merugikan akal budi Melayu.

6. Penutup

Semenjak kedatangan Inggeris, terutamanya menjelang abad ke-20, konsep sains dan falsafah moden semakin mendapat tempat dalam kerangka pemikiran Melayu. Penerusan program pembudayaan sains dalam kerangka budaya fikir Melayu yang bermula dalam program kolonial telah berterusan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Bahkan pembudayaan tersebut berterusan dengan lebih giat lagi dibawah program pendidikan pasca-Merdeka. Menjelang tahun 1980an program pendidikan tersebut yang menekankan pembelajaran sains moden secara intensif kepada anak-anak Melayu terutamanya pada akhir 60an dan awal 70an telah berjaya melahirkan satu masyarakat saintis Melayu dan cendekiawan Melayu yang mempunyai scientific literacy atau scientific consciousness yang tinggi. Penubuhan Akademi Sains Islam (ASASI) pada awal 1970an adalah manifestasi literasi dan kesedaran tersebut. Tetapi ia juga mungkin merupakan manifestasi usaha orang Melayu untuk memadankan paradigma sains moden dengan kerangka kosmologi Melayu tradisional yang berteraskan budaya fikir Islam. Pembudayaan budaya fikir sains moden yang telah berlaku selama ini telah menyediakan Weltanschauung Melayu untuk mudah meresap sebarang anasir perkembangan baru dalam sains dan falsafah moden.


copyright Hairudin b. Harun 1999
Send comment or question to Hairudin b. Harun: hbharun@pc.jaring.my
Go to Cyber Semiotic Institute home page
Go to Course Outline
Go to Kuliah1 / 2 / 4 / 5 / 6 / 7 / 8