Go to Cyber Semiotic Institute home page
Go to Course Outline
Go to Kuliah1 / 2 / 3 / 5 / 6 / 7 / 8


Weltanschauung Melayu dalam Era Teknologi Maklumat:
Komputer Menjadi Teras Pemikiran atau Punca Tewasnya Pemikiran Melayu?

oleh Hairudin b. Harun

Kuliah 4

  1. Pengenalan

Dalam kuliah yang lepas kita telah meneliti bahawa pertembungan alam Melayu dengan tamadun luar sama ada Timur atau Barat telah menghasilkan beberapa perubahan dalam budaya fikir dan kosmologi Melayu. Namun demikian perubahan-perubahan tersebut mungkin tidak seragam dan kadang kala tidak begitu ketara apabila diperhatikan pada anggota masyarakat Melayu dalam konteks-konteks tertentu. Pertembungan antara budaya fikir Melayu dan Barat dikira amat penting kerana berlaku dalam fasa terkemudian berbanding dengan tamadun Hindi dan Asia yang lain. Pertembungan tersebut dapat dicamkan melalui beberapa fasa utama. Misalnya, pertembungan terawal ialah dengan kedatangan orang Portugis ke alam Melayu, yang bermula di Selat Melaka dan berakhir dengan tragedi kejatuhan keseluruhan jajahan Melaka ke tangan "Benggali Putih." Namun begitu penjajahan orang Portugis tidak mendatangkan kesan yang ketara kepada budaya fikir dan kosmologi Melayu. Begitu juga halnya dengan Belanda yang menduduki Melaka selepas Portugis. Pengaruh Belanda ke atas budaya fikir Melayu hampir tidak kelihatan langsung. Bagaimanapun pengganti Belanda di Melaka dan jajahan Semenanjung Melayu, iaitu British meninggalkan kesan yang agak berbeza sekali berbanding dengan penjajah Eropah terawal yang lain.

Mengapa? Kebanyakan orang cenderung untuk memberi alasan bahawa British telah menguasai politik dan ekonomi Tanah Melayu hampir lebih 200 tahun semenjak abad ke-18 hingga pertengahan abad ke-20. Oleh itu mengikut pendapat tersebut tidak hairanlah sekiranya mereka meninggalkan kesan yang sangat mendalam ke atas budaya fikir tempatan. Walau pun terdapat sedikit kebenaran di sini, namun kita akan lihat nanti bahawa dalam sejarah pembentukan budaya fikir tradisional, pengaruh Inggeris langsung tidak kelihatan. Hanya pada abad ke-20 barulah budaya fikir Inggeris didapati meninggalkan kesan yang agak ketara ke atas minda Melayu. Lagi pun penguasaan politik yang sekian lama sahaja belum cukup untuk mendatangkan kesan kepada tradisi dan budaya fikir setempat. Alasan lain yang lebih menarik ialah penguasaan British tersebut dilakukan bukan sahaja melalui kuasa ketenteraan dan politik malahan dengan pelbagai cara yang melibatkan penguasaan mental serta budaya fikir. Tegasnya, mungkin yang paling menarik tentang penjajahan British ialah penggunaan instrumen pendidikan dan intelektual bagi meluaskan dan memantapkan kolonialisme mereka di Tanah Melayu.

Ketika orang british menjejakkan kaki di Nusantara Melayu, beberapa perubahan penting berlaku yang menentukan arus perjalanan sejarah intelektual British, khususnya, dan Eropah amnya. Kepulauan British merupakan satu-satu tempat yang menjadi pusat dan punca revolusi ilmiah, yang di kenali sebagai revolusi saintifik. Revolusi ini pada awalnya diasaskan pada tulisan dan pemikiran tokoh-tokoh antaranya seperti Francis Bacon (1561-1626), Thomas Hobbes (1588-1679), Robert Hooke (1635-1702) John Ray (1627-1705), John Locke (1632-1704), Issac Newton (1642-1727) dan David Hume (1711-1776). Revolusi mental tersebut merubah keseluruhan budaya fikir barat, dari kaedah mencari ilmu, punca ilmu dan matlamat ilmu hingga ke persepsi terhadap asal usul manusia dan alam. Proses perubahan ini berlangsung dan dimantapkan lagi pada abad ke-19. Perubahan yang ketara pada budaya fikir ketika itu ialah penghayatan positifisme dan materialisme sebagai teras falsafah dan metafizik sains. Perubahan ini pula membuka jalan bagi pemupukan logik simbolik sintatik dan emperisme logikal. Kesemua itu seolah-olah bagi menyediakan tapak kemunculan epistemologi Turing (epistemologi komputer). Epistemologi ini berakar umbi dari pemikiran tokoh ilmiah dan matematik Inggeris seperti Alan Turing (1912-1954), Charles Babbage (1719-1871) dan juga George Boole (1815-1864). Epistemologi Turing merupakan teras kepada epistemologi Teknologi Maklumat abad ke-20.

Pemikiran yang diasaskan oleh tokok-tokoh Inggeris yang tersebut tadi menguasai budaya fikir Inggeris. Sehinggakan tidak ada mereka yang terpelajar dan cendekiawan semasa Inggeris yang tidak dipengaruhi sedikit sebanyak oleh tradisi pemikiran tersebut. Manakala penghantaran para pegawai kolonialisme yang terlatih dan terpelajar semakin bertambah berbanding dengan jumlah pegawai tentera. Para pengkaji ilmiah seperti AR Wallace (1823-1913) yang bertanggungjawab bersama-sama C.Darwin (1809-1882) mencetuskan faham dan "teori evolusi" merupakan antara ribuan pegawai kolonialisme ilmiah yang turut datang ke rantau ini. Di samping itu masyarakat Melayu mula dikaji secara saintifik: dari rangka sosial hingga ke rangka tenggorak mereka. Dalam masa yang sama, Masyarakat Melayu mula dikawal secara saintifik sebagaimana alam tabii di kawal oleh orang british melalui kaedah saintifik. Perubahan dalam falsafah sosial, misalnya kepada falsafah liberal seperti yang dipopularkan oleh Jeremy Bentham (1748-1832) (juga pengasas Universiti London) pula turut meresap ke dalam doktrin sosial dan politik abad ke-19 British. Walau pun pada mulanya kesan doktrin liberal tersebut hanya berlegar sekitar kepulauan British, tetapi sedikit demi sedikit ianya turut membawa kesan kepada corak politik di tanah jajahan. Di semenanjung perubahan ini dapat dikesan apabila sekolah-sekolah kolonial mula dibuka kepada anak-anak tempatan. Hal ini menjadi lebih ketara pada akhir abad ke-19 dan awal ke-20 apabila sistem pendidikan, perubatan dan saintifik terus diperluas kepada orang Melayu. Perubahan ini merupakan antara punca yang membawa kesan ketara dalam pertembungan budaya fikir Melayu dengan Inggeris.

 

2. Budaya Fikir dan Pengaruh Teknologi

Kedatangan British semenjak awal abad ke-18 lagi berbekalkan jentera berat; dari kelengkapan tentera hingga ke kelengkapan awam. Semenjak zaman itu lagi orang Melayu kerap dipegunkan dengan jentera dan teknologi yang dibawa bersama mereka. Kapal laut besi, jentera wap, kapal korek (perlombongan) dan keretapi merupakan antara artifak teknologi yang mendatangkan kesan mendalam dan mengubah lanskap fizikal serta sosial semasa. Di samping itu perubatan kolonial (yang mampu menyembuhkan pelbagai penyakit dengan cepat) dan sains pertanian kolonial (yang mampu menyuburkan tanaman seperti pokok getah dari Amazon yang tidak pernah tumbuh di semenanjung). Hal-hal seperti itu mampu bukan sahaja memukau sesetengah daripada masyarakat Melayu terutama dari kelas bangsawan malahan juga menyakinkan mereka betapa hebatnya budaya fikir Inggeris. Dari kelas ini datangnya anak Melayu yang pertama terdidik dalam budaya fikir Barat, manakala masyarakat awam lain masih lagi berpendidikan tradisional yang berteraskan agama. Kembali kepada hal teknologi kolonialisme tersebut, adalah jelas ianya telah dapat mendatangkan perubahan yang ketara dalam gaya hidup dan rentak kerja ketika itu terutama mereka yang tinggal berhampiran bandar-bandar besar. Jentera wap dapat melakukan kerja-kerja lebih cepat dan lebih kuat daripada puluhan dan ratusan pekerja dan haiwan, manakala keretapi dapat mengangkut lebih berat daripada gajah dan berlari lebih laju daripada kuda. Bagi golongan masyarakat yang terdedah kepada artifak teknologi tersebut pandangan dan budaya fikir mereka adalah amat berbeza daripada mereka yang tidak.

Masyarakat Melayu dalam akhir abad ke-21 ini tidak banyak bezanya daripada masyarakat Melayu pada akhir abad ke-19 atau awal ke-20, terutamanya dalam hal dipengaruhi oleh sesuatu budaya fikir dan inovasi teknologi. Sememangnya setiap budaya fikir dalam setiap zaman akan sentiasa terdedah kepada idea-idea baru dan kesan inovasi teknologi terkini. Dalam zaman ini Teknologi Maklumat (TM) merupakan teknologi unggul semasa. Namun TM merupakan suatu manifestasi teknologi yang belum pernah di alami oleh mana-mana masyarakat manusia sebelum ini. Belum ada teknologi yang begitu jelas ditegakkan di atas penyatuan epistemologi dan teknologi. Di dalam TM hal ini adalah ketara. TM ialah rangkuman cetusan epistemologi Turing dan teknologi terkini.

TM juga boleh difahami sebagai gabungan gagasan idea komputer, dan teknologi komputer. Sebab itulah komputer telah ditakrifkan sebagai epistemologi (Turing) yang dijelmakan dalam bentuk teknologi (semasa). Disebakan sifatnya seperti itu maka TM mampu mendatang beberapa perubahan ketara pada setiap urusan individu dan kemasyarakatan. Kebanyakan teknologi sebelum ini hanya mampu memeberi kesan pada satu tahap sahaja, iaitu sama ada pada peringkata individu atau masyarakat. Jarang sekali yang mampu mendatangkan kesan pada kedua-dua peringkat yang berbeza sekali gus. Kita dapati TM mampu memepengaruhi perubahan pada gaya dan rentak kerja. Hal ini berlaku misalnya apabila sahaja komputer peribadi digunakan dalam sesuatu urusan atau bidang. Apa yang kurang disedari, dan diteliti ialah perubahan turut berlaku pada peringkat yang paling asas iaitu pada gaya pemikiran dan budaya fikir kita. Perubahan ini meninggalkan kesan pada tahap individu dan juga masyarakat. Kesan sebenar TM, yang berteraskan epistemologi perkomputeran, kepada sistem kepercayaan dan pandangan alam dalam budaya fikir Melayu perlu difahami. Antara sebab yang mendesak ialah hakikat bahawa tidak ada masyarakat yang boleh memencilkan dirinya dari arus idea luaran atau gelombang teknologi. Penelitian juga harus ditumpukan kepada persoalan bagaimana epistemologi perkomputeran yang menekankan pemikiran sintaksis, analitis dan reduksionistik mungkin mencabar budaya fikir tradisional Melayu yang cenderung kepada corak semantis, sintesis dan holistik.

Sememangnya kesan kemasyarakatan - untung atau ruginya - akibat penganutan sesuatu amalan sains atau penggunaan sesuatu teknologi itu memang sukar untuk di cerap. Kerap jangkaan kita meleset. Kita kerap dapati sesuatu teknologi itu telah pun mempengaruhi individu dan masyarakat dari sudut yang tidak diduga sama sekali hatta oleh penciptanya. Biasa juga teknologi dan sesuatu sains itu digunakan dalam ruang dan tujuan yang lain sama sekali dari objektif asalnya. Hal ini sentiasa berlaku dalam alunan sejarah sains dan teknologi. Perkara yang bersangkutan dengan unsur teknikal adalah mudah untuk dikawal dan diramal natijah dan konsekuensinya. Hal-hal seperti itu biasanya adalah dalam bentuk kuantitatif yang mudah dihitung atau unsur objektif yang boleh di cerap secara empiris. Tetapi bagaimana satu artifak teknologi atau idea saintifik mendatangkan kesan kepada seorang individu atau sebuah masyarakat adalah satu perkara yang lain. Lebih-lebih lagi apabila kesan tersebut berada dalam ruang alam fikir individu atau Weltanschauung sesuatu masyarakat. Mungkin sebab itulah kesan atau impak teknologi dan sains ke atas alam fikir sesuatu masyarakat merupakan hal yang jarang diperkatakan atau diteliti secara ilmiah.

Namun begitu setiap masyarakat harus terus cuba untuk memahami bagaimana sesuatu idea luaran atau teknologi itu mendatangkan kesan kepada ahli dan dirinya. Umumnya umat Melayu dewasa ini sedar tentang perubahan radikal dalam keadaan kehidupan material akibat dari penggunaan ilmu sains dan teknologi. Namun kesedaran seperti ini belum cukup untuk dijadikan bahan dan modal untuk menangani cabaran yang mungkin timbul dalam masyarakat tersebut. Adalah jelas misalnya, apa yang peting untuk diketahui namun kurang disedari ialah takat kesan atau sejauh mana teori-teori sains dan teknologi mempengaruhi kerangka mental atau Weltanschauung Melayu, kerana keranaka tersebut ialah teras penyuburan pandangan alam atau kosmologi Melayu.

Dalam perbincangan yang lalu kita telah mengatakan bahawa konsep sains dan falsafah moden telah semakin mendapat tempat dalam kerangka pemikiran Melayu bermula pada awal abad ke-20 ini. Pembudayaan budaya fikir tersebut dalam alam fikir Melayu pada mulanya berlaku dalam program kolonial. Pembudayaan tersebut berterusan sehingga negara mencapai kemerdekaan. Proses pembudayaan tersebut bertambah giat lagi dalam program pendidikan pasca-Merdeka, terutamanya pada akhir 60an dan awal 70an. Pada ketika itu program-program pendidikan yang menekankan pembelajaran sains secara intensif kepada anak-anak Melayu dijalankan. Pada akhir tahun 70an dan awal 80an boleh di katakan bahawa program tersebut telah berjaya melahirkan satu masyarakat Melayu yang mempunyai budaya fikir sains yang tidak wujud sama sekali sebelum itu. Di kalangan mereka juga mungkin wujud keadaan di mana konsep sains dan kosmologi sekular moden seolah-olah telah menggantikan kerangka idea dan kosmologi tradisional. Tegasnya, nilai-nilai asas, estetik, sosial dan juga kepercayaan Melayu (lama?) telah digantikan dengan kosmologi dan semiotik sains moden. Sekurang-kurangnya kita boleh menjangkakan bahawa di kalangan kelompok mereka jugalah biasanya konsep sains dan falsafah moden mendapat tempat yang istimewa. Hal ini dianggap sebagai suatu detik serta tanda sosial dan psiko-intelektual yang agak unggul dalam sejarah umat Melayu. Namun, setakat yang diketahui, belum ada lagi satu kajian terperinci dan menyeluruh tentang hal tersebut dilakukan.

Dalam soal tersebut kita harus meneliti bagaimana sesuatu idea sains dan teknologi moden mungkin boleh merubah kepercayaan, alam fikir dan budaya fikir Melayu iaitu teras kosmologi Melayu. Juga, bagaimana sesuatu idea sains dan teknologi mungkin diserap (sama ada secara sedar atau tidak) dan menjadi teras baru kepada kerangka pemikiran Melayu. Fenomena sains dan teknologi terkini ialah dalam bentuk penjelmaan Teknologi Maklumat (TM), dan ianya berteraskan epistemologi dan teknologi perkomputeran. Penelitian kesan sosiointelektual yang diakibatkan oleh penerapan dan penyerapan TM di kalangan umat Melayu harus dilakukan daripada sudut pendekatan analisis epistemologi dan ilmiah. Hal ini merupakan satu yang amat penting yang kurang diberi perhatian. Ada yang menanggap bahawa kajian yang hanya berbentuk sosiologis dan kemasyarakatan telah memadai untuk mengupas segala sesuatu mengenai hal tersebut. Kerap hasil kajian yang ditemui tidak menjawab persoalan asas yang paling perlu dijawab dan diketahui bagi membantu usaha menangani isu yang mendesak.

Sama ada perubahan atau kesan TM ke atas umat Melayu akan menghasilkan natijah yang menguntungkan secara mutlak atau sebaliknya, adalah jelas suatu persoalan menarik yang memerlukan jawapan yang kompleks. Mahu tidak mahu kita harus bermula dengan sejarah intelektual dan meneliti perkembangan pandangan alam Melayu. Kita perlu menyedari bahawa pada umumnya Weltanschauung Melayu tradisional terbentuk daripada rumusan gagasan pemikiran animisme, hindi dan Islam. Kita sedari bahawa pernyataan seerti ini terbuka kepada perbahasan yang sengit. Hal ini kerana terdapat beberapa tafsiran yang berbeza tentang apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan Weltanschauung Melayu tradisional. Tokoh pemikir seperti Syed Naquib al-attas cenderung kepada pandangan bahawa yang di katakan Weltanschauung Melayu tradisional itu hanyalah yang dibentuk pada zaman Islam kerana kesannya yang paling menonjol serta menyerlah. Pendapat yang lain pula, termasuk tokoh seperti Mohd. Taib Osman, cenderung untuk mengakui akan kewujudan kerak-kerak pandangan alam lama yang diwarisi oleh tamadun Melayu. Bagi penganut pandangan ini mereka mengakui bahawa sudah tentu terdapat unsur dari gagasan tersebut yang lebih menyerlah dari yang lain. Lazimnya, unsur Islam dianggap sebagai unsur dominan di dalam metamorfosis atau "mutasi" akhir yang membentuk pemikiran Melayu tradisional.

Dalam konteks perbincangan kita di sini, sebenarnya, unsur mana yang paling dominan merupakan persoalan kedua. Apa yang penting ialah kesemua unsur pemikiran tersebut bergabung dalam satu kompleks kerangka fikir dan pandangan alam yang memberatkan penekanan kepada kosmologi metafizikal dan pemikiran yang mengutamakan tafsiran simbolisme semantis dan sintesis holistik. Sayangnya kosmologi dan tafsiran seperti ini merupakan suatu khazanah intelektual yang hampir pupus dalam budaya barat moden. Suatu yang tidak harus dilupakan ialah epistemologi TM ditegakkan di atas satu tradisi pemikiran yang membelakang tradisi seperti itu, iaitu tradisi yang memupuk pandangan alam sekularis serta tafsiran simbolisme sintaktik. Di sini sahaja kita telah dapat merasakan ke tidak serasian yang mungkin wujud antara tradisi pemikiran yang menyuburkan epistemologi TM dengan pandangan alam tradisional Melayu. Jelas, hal ini akan berlaku kerana pandangan alam Melayu dan sistem kosmologinya pada asasnya menekankan interaksi seimbang yang dinamis antara alam metafizik dengan material. Interaksi ini pula dipupuk melalui sistem simbolisme kompleks yang didukung oleh kerangka budaya dan semiotik tradisional. Pandangan ini tidak mungkin secocok dengan sistem kosmologi yang cenderung menekankan sebaliknya, iaitu alam fizik material yang tertutup, tanpa ruh yang dapat diwakili hanya oleh simbolisme dan sistem semiotik yang menolak unsur semantik. Masalahnya ialah epistemologi perkomputeran semasa barat tidak mungkin subur dan dapat bertahan dalam iklim pandangan selain itu.

Dalam perbincangan awal, kita sedar bahawa simbol-simbol kosmologi tradisional Melayu merupakan simbol semantis dan kualitatif yang mempunyai makna transenden yang tinggi serta makna budaya yang seni. Pemikiran tradisional sentiasa mengutamakan fakulti intellectus holistik dan sintesis. Hal ini berbeza dengan budaya fikir barat yang lebih memberatkan rasio analitis dan reduksionis. Kita sedar bahawa fakulti intellect cenderung melihat alam ini sebagai kaya dengan simbol-simbol transenden semantis. Manakala fakulti rasio pula lebih cenderung menekankan simbol sintaksis reduksionis. Pemikiran rasio merupakan teras pemikiran sains moden dan juga asas meta Weltanschauung komputer. Pemikiran rasio amat ditekankan terutamanya dalam budaya fikir sekular Eropah pasca-Nasrani. Setakat manakah agaknya budaya fikir ini (yang mula dibawa ke alam fikir Melayu secara sistematis oleh penjajah Inggeris) mendatangkan kesan kepada pemikiran Melayu? Persoalan ini masih lagi merupakan hal yang belum terjawab dengan memuaskan. Walau pun budaya fikir umat Melayu terdedah sekian lama kepada Inggeris, namun apa yang jelas setakat ini ialah budaya fikir barat tersebut tidak berperanan yang besar dalam menentukan corak asas Weltanschauung Melayu tradisional (lama?).

Budaya fikir barat yang sama telah memungkinkan tumbuhnya satu bentuk epistemologi yang menjadi asas kepada pemikiran perkomputeran dan TM semasa. Kita akan lihat bagaimana TM mungkin menuntut agar masyarakat yang ingin menghayatinya harus turut sanggup menyediakan kerangka fikir yang memberi tempat kepada epistemologi perkomputeran. Mampukah Weltanschauung Melayu tradisional mengisi tuntutan seperti ini? Apakah kesannya kepada Weltanschauung Melayu tersebut sekiranya tuntutan seperti itu dipenuhi? Persoalan seperti ini mungkin dapat dijelaskan sekiranya kita mendapat sedikit gambaran tentang intipati Weltanschauung komputer.

 

3. Weltanschauung Komputer

Kemunculan Teknologi Maklumat (TM) dianggap bukan sahaja sebagai satu revolusi teknologi tetapi juga satu revolusi budaya. Satu revolusi pelbagai dimensi yang belum pernah dimimpikan oleh sebarang budaya atau peradaban sebelum ini. Dalam masa yang amat singkat, TM menyebabkan perubahan yang radikal dalam segala aspek kehidupan moden. Dari sistem pemikiran kepada hiburan; dari perniagaan kepada pertahanan. Dalam revolusi budaya TM ini, maklumat dan media atau teknologi manipulasi maklumat menentukan segala-galanya - termasuk apa yang difahamkan sebagai "kebenaran." Dengan maklumat, penyelesaian masalah dan idea baru dicetuskan; dengan maklumat, terutamanya melalui virtual reality, pentas dan acara hiburan dimainkan; dengan maklumat, kekayaan dicipta dan pungut; dan dengan maklumat, perang dilancarkan dan kemenangan diperoleh. Perubahan tersebut adalah suatu yang agak ketara dan sudah lazim disedari umum. Apa yang mungkin kurang disedari ialah TM sebenarnya adalah rantaian daripada pergolakan sosiointelektual barat yang masih berterusan. TM ialah natijah atau manifestasi perubahan epistemologi dan budaya fikir Barat, terutamanya terhadap realiti hidup, peranan ilmu dan kebenaran, dimensi minda, metafizik dan fizik. Perubahan tersebut melibatkan, antara lain, pengukuhan konsep sekularisasi ilmu dan amal, penekanan kepada formalisasi sintaksis dan kuantitatif dalam ilmu, dan penggubalan segala masalah dan rumusan dalam bentuk algoritma komputasi.

Dari segi konteks epistemologi perkomputeran, perubahan tersebut dapat dikesan pada perubahan radikal dalam Weltanschauung segelintir cendekiawan Eropah pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Dalam perubahan tersebut suatu epistemologi baru, yang digelar "epistemologi perkomputeran," dilahirkan. Epistemologi perkomputeran mengakibatkan konsep ruang, masa, simbol, nombor, data dalam budaya fikir barat ketika itu didefinisikan semula dan difahami daripada sudut makna yang amat berbeza sekali. Semenjak pemantapan konsep-konsep tersebut pada zaman Enlightenment dan revolusi sains, belum ada lagi perubahan yang begitu besar dan menyeluruh. Perubahan tersebut ialah daripada sudut faham maklumat. Faham dan pengertian baru ini adalah daripada sudut yang belum pernah terlintas dalam pengalaman budaya fikir dan sejarah perkembangan intelektual Eropah selama itu.

Kefahaman baru mengenai maklumat juga turut merubah sifat dan faham asas epistemologi. Suatu masa dahulu epistemologi dianggap sebagai wacana konseptual dan abstrak. Penjelmaan konkrit dan objektif epistemologi hanya dalam bentuk perkataan yang dirakam dalam bentuk tulisan. Sukar dibayangkan bagaimana suatu yang abstrak dan konseptual itu boleh dijelmakan dalam bentuk yang selain itu. Namun, keanehan dan keunggulan ini wujud dalam epistemologi komputer kerana ia (epistemologi komputer) mampu dijelmakan dalam bentuk teknologi. Kemampuan tersebut terserlah: pertama, dalam bentuk mesin konseptual yang digelar Mesin Turing; kedua, dalam bentuk mesin teknologi (manipulasi) maklumat yang digelar "komputer."

Teras Teknologi Maklumat (TM) semasa ialah komputer. Hal ini adalah jelas. Apa yang kurang jelas ialah sifat ilmiah TM dan implikasi sosiointelektualnya. Sekiranya TM berteraskan teknologi lain maka mungkin sifatnya adalah lebih mudah difahami. Mungkin juga kesan TM ke atas manusia dan kemasyarakatan adalah terhad, seperti mana kesan teknologi lain yang sedia ada. Misalnya, teknologi pengangkutan, elektrik, mesin mekanikal dan bahkan komunikasi telegraf dan telefon membawa kesan sosial dan budaya yang mudah di cerap. Tetapi TM mempunyai kesan pelbagai dimensi, dan sebahagian besar daripada kesan itu hanya dapat di cerap atau difahami hanya melalui analisis ilmiah epistemologis.

Dari sudut analisis seperti itu, kita dapati keunggulan TM sebenarnya terbit daripada keunggulan yang wujud dalam artifak dan idea perkomputeran. Semenjak awal kemunculannya lagi, komputer, sebagai mesin manipulasi simbol sintaktik (salah satu definisi baru "maklumat") merupakan calon unggul yang telah ditakdirkan menjadi teknologi teras TM. Komputer memperlihatkan ciri-ciri istimewa yang jauh sekali berbeza daripada mesin-mesin yang pernah dicipta manusia sebelumnya. Contoh keistimewaan keupayaan komputer yang nyata ialah kebolehan meniru dan menjelma dalam bentuk pelbagai fungsi. Pada satu masa dahulu fungsi-fungsi tertentu hanya boleh dilakukan oleh satu-satu mesin yang khusus. Misalnya, mesin taip untuk menaip, mistar hitung mesin menghitung dan sebagainya. Komputer, kita sedia maklum, boleh menjadi mesin taip, mistar hitung, mesin hiburan dan sebagainya sekali gus. Kita dapat lakukan itu semua dengan hanya mengubah perisian tanpa perlu membuat apa-apa perubahan pada perkakasan dalamannya.

Kemampuan komputer tersebut terletak pada mempunyai sifatnya yang kompleks. Kompleksiti ini dapat di lihat pada struktur binaannya. Komputer merupakan satu-satunya artifak teknologi yang terdiri daripada gabungan perkakasan (raga) dan perisian (minda): yang satu memproses maklumat dan yang satu lagi menampung dan mengatur langkah-langkah proses tersebut. Bahkan ia seolah-olah menyerupai struktur binaan diri manusia yang difahamkan secara tradisional sebagai terdiri daripada badan dan ruh/akal atau dalam faham falsafah sekular sebagai terdiri daripada "raga" dan "minda." Sebagaimana minda mengawal raga manusia, atau akal mengawal fungsi badan manusia, perisian dan perkakasan komputer seolah-olah mencerminkan ciri-ciri tersebut.

Bahkan satu ciri unggul komputer ialah sifat perkakasan atau fungsi mesin ditentukan oleh perisiannya. Sama ada mesin tersebut akan menjadi "mesin taip", "mesin kerja" atau "mesin permainan" bergantung kepada jenis perisian yang dijalankannya. Tegasnya, perkakasan ialah dimensi teknologi dan perisian ialah logik atau komponen intelektual komputer. Dimensi intelektual seolah-olah mengawal dimensi teknologi. Ciri ini sebenarnya yang membolehkan komputer menjelmakan asas epistemologi disebaliknya. Ciri ini juga antara sebab mengapa komputer merupakan satu-satunya artifak teknologi yang dianggap sebagai penjelmaan konkrit epistemologi barat atau falsafah ilmu barat. Oleh kerana itulah komponen intelektual dan pemikiran TM amat penting. Komponen tersebut menjadikan sasaran kesan TM yang paling menyegat tertumpu di ruang budaya fikir dan ilmu berbanding dengan yang lain. Dari satu segi, boleh di katakan bahawa kesan-kesan TM yang lain (seperti kesan ekonomi, pentadbiran, pertahanan, hiburan dll.) - walaupun ketara - boleh dianggap sebagai "kesan insidental TM".

Pada peringkat yang lain pula, sifat unggul komputer itu juga menjadikan ia satu-satunya mesin yang dianggap boleh "berfikir." Pemikiran ini diwujudkan dengan tatacara algoritma (logik penyelesaian) yang dibekalkan oleh aturcara atau perisian yang dijalankannya. Komputer dianggap boleh digerakkan untuk menyelesaikan pelbagai masalah atau "memikirkan" penyelesaian sesuatu masalah atau persoalan intelektual. Persoalan yang suatu masa dahulu dianggap sebagai hanya boleh diselesaikan oleh akal manusia. Tetapi komputer hanya boleh memikirkan persoalan yang telah diolah mengikut peraturan pemikiran tertentu. Peraturan ini haruslah mengikut syarat peraturan pemikiran atau logik sintaktik komputasi digital. Ungkapan, "karut masuk, karut keluar," merupakan ungkapan semelar mengenai sifat atau fungsi komputer yang lazim diluahkan di kalangan ahli perkomputeran. Dari satu segi ungkapan gurauan tersebut dapat difahamkan sebagai luahan atau keluhan para ahli perkomputeran mengenai hakikat dan batasan komputer. Keluhan tersebut ada kaitan dengan, terutamanya, ikatan mental yang terpaksa dilalui oleh mereka yang menghayati dan sentiasa menggunakan algoritma komputer untuk menyelesaikan masalah.

Hal tersebut dapat difahami dengan lebih jelas jika kita merujuk kepada cara manusia terpaksa "berkomunikasi" dengan komputer. Sebelum komputer mampu membantu kita untuk menyelesaikan sesuatu masalah kita harus berinteraksi mengikut tatacara komunikasi tertentu. Antara syrat yang palin ketara ialah sesuatu persoalan yang ingin diselesaikan oleh komputer perlu di rumus dahulu dalam bahasa mesin atau bahasa komputer, iaitu satu-satu "bahasa" yang difahami oleh komputer. Di sini manusia terpaksa merubah atau menyesuaikan bahasa budaya semantik ke dalam kategori bahasa sintaktik komputer. Kita maklum bahawa bahasa tabii manusia mempunyai fleksibiliti, pelbagai dimensi yang luas manakala bahasa sintaktik komputer adalah kaku, amat sempit dan terbatas. Apabila terjemahan daripada bahasa semantik manusia ke bahasa mesin berlaku beberapa perubahan lain turut berlaku. Antaranya, bukan sahaja morfologi bahasa manusia terpaksa diubah bahkan juga morfologi persoalan asal itu juga harus disesuaikan ke dalam acuan formulasi (atau algoritma) komputer.Tegasnya, apabila sahaja komputer digunakan untuk menyelesaikan sesuatu persoalan maka ia telah merubah sifat dan mungkin juga hakikat persoalan tersebut ke dalam bentuk dan kerangka epistemologi tertentu: Epistemologi perkomputeran. Dalam epistemologi tersebut kesemua persoalan akan diadun ke dalam bentuk kerangka acuan yang redusionistik, kuantitatif, dan formalisasi sintaktis. Mahu tidak mahu, proses penggunaan komputer itu sendiri melibatkan perubahan persepsi, konsep atau Weltanschauung yang akan akhirnya dihayati oleh seseorang pengguna komputer - sama ada disedari atau tidak. Hakikat inilah yang kurang difahami. Kekurangan yang mungkin mempunyai kesan yang besar kepada masyarakat yang baru menghayati dan memeluk paradigma perkomputeran.

 

4. Entscheidungproblem dan Masalah Melayu Baru

Jelas komputer mengemukakan kepada penggunanya beberapa cabaran intelektual yang belum pernah di alami sebelum ini. Cabaran tersebut ada kaitan dengan pergolakan intelektual di Barat terutama pada awal abad ke-20. Malangnya, kita tidak mungkin berkesempatan untuk meneliti sesemua aspek pergolakan tersebut di sini. Apa yang mampu kita lakukan ialah untuk meneliti satu episod kecil yang mendasarinya.

Tidak ramai yang sedar bahawa idea perkomputeran berpunca dari satu perbahasan ilmiah awal abad ke-20. Perbahasan tersebut ialah disekitar persoalan falsafah yang disebut entscheidungproblem. Dalam bahasa Melayu, entscheidungproblem mungkin boleh diterjemahkan sebagai "masalah pilihan/kesimpulan." Seorang ahli falsafah materialis dan matematik muda bernama Alan Turing, ketika itu berumur 30 tahun, terlibat dalam perbahasan itu. Beliau telah mengemukakan cadangan bahawa masalah tersebut dapat dijelaskan dan mungkin diselesaikan melalui konsep Mesin Turing. Mesin Turing inilah kemudiannya menjadi idea proto bagi idea komputer moden. Apa yang penting bagi perbincangan kita ialah dalam mencadangkan konsep tersebut Turing telah merubah beberapa konsep asas dalam epistemologi tradisional barat. Antaranya, seperti yang telah dibayangkan pada awal perbincangan, ialah faham dan konsep maklumat.

Bagi Turing "maklumat" boleh diturunkan ke dalam bentuk data sintaksis. Data sintaksis tersebut kemudian boleh diwakilkan dalam bentuk pewakilan sintaksis asas, atau simbol sintaksis asas seperti "1" dan "0". Maklumat seperti itu pula boleh di manipulasi dalam algoritma (tatacara penyelesaian sistematis) tertentu. Suatu hal yang amat penting bagi Turing ialah maklumat tersebut boleh juga dimasukkan ke dalam mesin dan "diproses" (iaitu di manipulasi mengikut peraturan atau "logik mesin"). Tegasnya, sebarang maklumat boleh diturunkan ke dalam bentuk simbol asas dan diproses oleh Mesin Turing untuk menghasilkan maklumat lain atau kesimpulan baru. Apakah implikasi konsep maklumat baru ini? Dari segi ilmiah ia memboleh Claude Shannon mengemukakan Teori Informasinya, terutamanya konsep "bit" (konsep maklumat yang terkecil) yang terkenal. Dari segi implikasi sosio-intelektual pula, kita dapati bahawa perubahan pengertian maklumat melahirkan beberapa suasana baru.

Antara natijah dari perkembangan tersebut, kita dapati pengertian maklumat dewasa ini membawa imej yang amat berbeza dari kefahaman sebelum abad ke-20. Bahkan sekiranya diteliti betul-betul pengertiannya amat berbeza daripada yang difahami 30 tahun yang lepas. Di waktu itu, misalnya, orang yang banyak maklumat tidak dapat penghargaan yang tinggi berbanding degan orang yang banyak ilmu atau banyak harta. Orang yang banyak maklumat biasanya dianggap hanya lebih layak dihantar ke pertandingan kuiz daripada menyelesaikan masalah yang berat-berat. Di waktu itu adalah amat ganjil sekiranya di katakan bahawa orang yang mempunyai maklumat boleh menjadi kaya atau berkuasa. Lebih senang diterima akal sekiranya di katakan bahawa seseorang yang mempunyai ilmu boleh mendapat kekayaan atau kuasa. Jauh sekali untuk sesiapa menjangka bahawa "maklumat" boleh di niaga, boleh diproses, ditambah nilai dan bahkan kepentingannya mengatasi emas, wang, tenaga dan barangan material atau komoditi fizikal itu sendiri. Bahkan, dunia akademik sendiri turut tidak menjangka bahawa "maklumat" boleh menjadi satu disiplin ilmu atau kategori ilmiah yang penting dan besar. Kini hampir semua bidang ilmu moden (yang tidak ketinggalan zaman) daripada psikologi hingga ke ekonomi di bahas atau dihuraikan dalam konteks "interaksi maklumat" atau idea maklumat digital. Sebab itulah kini geran penyelidikan lebih mudah didapati sekiranya cadangan tersebut di penuhi dengan istilah "digital" misalnya seperti "psikologi digital" atau "ekonomi digital."

Dalam epistemologi komputer, maklumat atau data semantik boleh diturunkan kepada data sintaktik yang terkecil , yang diistilahkan sebagai "bit." Suatu hal yang menarik tentang konsep ini ialah: "Bit" boleh di jelmakan dalam bentuk denyutan digital elektronik. Bahkan "bit" boleh disebarkan melalui media telekomunikasi semasa. "Bit" bagi maklumat semantik terkecil ialah deduan "YA" atau "TIDAK". "Bit" bagi data sintaktik terkecil pula ialah simbol digital "1" dan "0" dan bagi logik suis elektronik ialah "buka" (suis) dan "TUTUP" (suis). Dalam epistemologi tersebut, "YA", "TIDAK", "1", "0" dan "BUKA", "TUTUP," kesemua itu pada asasnya adalah sama. Perbezaannya, jika ada, hanyalah dalam konteks huraian akademik atau dalam konteks media ia disalurkan. Hakikat tersebut ditegaskan oleh Claude Shannon dalam teori informasinya, bahawa maklumat ialah sebarang unsur yang boleh diturunkan kepada data sintaktik (tanpa makna) dan dijelmakan dalam bentuk kod-kod elektronik untuk dihantar melalui media komunikasi dari pusat hantaran kepada pusat penerima. Tegasnya, dalam epistemologi komputer atau teori informasi kesemua di bawah ini adalah "maklumat":

1. Pi mai pi mai tang tu

2. E=MC

3. Allah itu Ahad

4. Kausaliti ialah kudrat sekunder Illahi

5. 132 4+67lrt

6. 101101110

7. Sang enseng mata kaji

Namun dalam konteks semantis dan budaya fikir tradisional ketujuh-tujuh butiran yang disenaraikan itu mempunyai maqam makna dan erti budaya yang berbeza-beza. Oleh demikian, sekiranya kita teliti senarai butiran di atas, kita akan dapati setiap daripadanya mewakili tingkatan makna yang tersendiri. Misalnya, pernyataan dalam butiran 1. merujuk kepada kata loghat kedaerahan yang membawa makna tertentu; 2. merujuk kepada formula sains fizik; 3. merujuk kepada intipati risalah Tauhid; 4. merujuk kepada pernyataan falsafah sains Islam; 5. merujuk kepada gabungan nombor dan abjad tanpa makna tertentu; 6. merujuk kepada gabungan simbol binari tanpa makna tertentu; dan 7. sama ada tidak ada makna langsung ataupun sangat bererti bagi mereka yang menjadi peminat filem P. Ramlee.

Jelas, dari segi nilai dan martabat ilmiah ketujuh-tujuh butiran tersebut adalah berbeza antara satu sama lain. Tetapi dari segi epistemologi komputer, butiran tersebut adalah sama dari segi nilai dan status. Apa yang mungkin membezakan butiran-butiran tersebut hanyalah dari segi darjah keupayaan untuk diproses, di manipulasi dan di sebar melalui media komputasi dan komunikasi. Walaupun kesemua butiran tersebut yang mempunyai nilai semantik yang berbeza-beza, pada asasnya, boleh dijelmakan dalam bentuk denyutan elektronik sintaktik yang sama. Dalam kata lain, dari segi teori informasi, dua berita atau maklumat, yang satu mengandungi makna dan yang satu lagi mungkin tidak, adalah sama dari segi martabat dan nilai informasinya.

Komputer ialah teknologi generik bahkan satu-satunya teknologi penakrif (defining technology) semasa; iaitu teknologi yang mampu merubah teknologi lain yang sedia ada. Bahkan komputer turut mampu mengubah makna dan keadaan persekitarannya secara kualitatif dan fizik. Kemampuan komputer mempengaruhi makna pengertian manusia mengenai maklumat dan realiti persekitaran manusia itu sendiri memang semakin disedari kini. Namun kesedaran itu masih terhad kepada ruang fizik dan yang nyata. Apa yang jarang disedari ialah perubahan tentang konsep maklumat oleh komputer sebenarnya juga turut mengheret perubahan pada konsepsi ilmiah manusia tentang masa, ruang, bahasa dan pemikiran. Bahkan dengan potensi untuk "berfikir" seperti manusia dalam jelmaan teknologi "Kepintaran Buatan", komputer mula merubah juga persepsi dan definisi"kepintaran". Bahkan dengan potensi tersebut komputer merubah definisi "kemanusiaan" dan "manusia" itu sendiri. Manusia telah mula didefinisikan semula sebagai "pemproses maklumat" dan alam atau realiti persekitaran manusia pula hanya sebagai jaringan "maklumat mentah yang perlu diproses". Apa yang aneh ialah komputer, ciptaan yang pada hakikatnya berpunca dari acuan minda manusia telah mampu pula memaksa minda manusia berubah mengikut acuannya. Hanya mungkin ia terbit dari acuan minda manusia lain dan ia merubah minda manusia yang lain pula.

 

5. Weltanschauung Melayu dalam era Teknologi Maklumat

Satu hakikat yang aneh tetapi benar dan kini mula disedari secara meluas ialah komputer mampu mendatangkan kesan psikologis. Komputer mampu memukau seseorang sehinggakan seolah-olah "berfikir" sehaluan serta "bercakap" senada seperti sebuah komputer. Fenomena ini boleh berlaku apabila seseorang itu kerap menggunakan komputer dalam kerja-kerja intelektual atau sebarang kerja yang melibatkan pemikiran. Sekiranya kedaan ini berlaku berulang-ulang kali, akan tiba satu ketika apabila orang itu akan "ditalakan" berfikir dan bercakap dalam kerangka yang biasa dikaitkan dengan tatacara berinteraksi dengan mesin tersebut. Seperti yang telah diperkatakan sebentar tadi bahawa benar komputer boleh menyelesaikan masalah, tetapi ada syaratnya. Antara syaratnya ialah alam pelbagai dimensi yaang sedang kita alami ini dan segala fenomenanya harus diturunkan serta dilihat dalam dimensi terhad binari perkomputeran.

Perhubungan antara manusia dengan komputer semestilah dalam bahasa yang difahami oleh komputer, bahasa objektif yang tidak peduli pada soal subjektif, soal nilai, soal transendental dan soal kemanusiaan. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya dalam era Teknologi Maklumat ini kita dapati ahli psikologi kognitif yang mula asyik mengkaji manusia sebagai "agen pemprosesan maklumat" dan meneliti pemikiran sebagai perlaksanaan "algoritma tabii" atau program komputasi. Begitu juga dengan seorang ahli biologis yang telah "dimiongkan" oleh TM akan melihat fenomena hayat dan persenyawaan hanya dalam konteks "manipulasi maklumat genetik". Seorang ahli ekonomi yang menyamakan maklumat dengan kekayaan dalam konteks ekonomi digital atau seorang ahli politik yang menyamakan maklumat dengan kekuasaan dalam konteks politik digital, kesemuanya memperlihatkan perubahan yang ada kaitannya dengan kesan sosio-intelektual Weltanschauung perkomputeran.

Jelas, Weltanschauung perkomputeran mampu mendatangkan beberapa kemungkinan dan kesan yang ketara kepada epistemologi tradisional. Misalnya dalam konteks faham maklumat, ia merubah tumpuan pengertian maklumat dari asas semantik (penuh makna) dan manusia kepada lokus sintaktik (tanpa makna) dan fokus mesin. Antara sebab hal ini boleh berlaku ialah epistemologi perkomputeran, khususnya dalam konteks teori informasi, menekankan "pemprosesan" (maklumat) berbanding dengan "isi" (maklumat). Keduanya, dalam konteks tersebut "manusia" bukan agen terunggul yang perlu bagi menerima atau memproses maklumat, memadai dengan adanya satu agen yang datang daripada sebarang spesis "agen pemprosesan atau penerima maklumat." Agen penerima maklumat tersebut mungkin sebuah mesin, robot, peluru berpandu atau sistem pakar - kesemuanya dianggap sebagai mempunyai status yang sama dan memenuhi kriteria teori tersebut. Bahkan dalam Weltanschauung komputer, manusia dan komputer hanyalah spesis "penyelesai masalah" dari genus "pemproses maklumat' yang sama. Hanya dari segi martabat "kecekapan memproses maklumat", manusia dianggap lebih rendah daripada spesis lain, terutamanya komputer. Apa yang berlaku dalam budaya fikir semasa, terutamanya di Barat, pendirian tersebut bertukar menjadi natijah bahwa "komputer lebih baik daripada manusia". Akibatnya ialah sering kali keputusan pemprosesan maklumat yang dihasilkan oleh komputer dianggap lebih berharga daripada yang dihasilkan manusia. Hal ini juga boleh mengakibatkan mesin pemperosesan maklumat atau komputer bukan lagi sekadar alat mediasi de jure tetapi pembuat keputusan de facto. Tanda-tanda bahawa keadaan tersebut berlaku dalam masyarakat barat adalah semakin jelas. Unjuran daripada fenomena sosiointelektual tersebut ialah sekiranya faham seperti itu meresap secara mutlak ke dalam konteks kemasyarakatan dan keintelektualan Melayu implikasinya kepada ketahanan nilai, budaya dan ilmu tradisional menjadi satu tanda tanya.

Epistemologi tradisional Melayu, seperti yang dibayangkan pada awal perbincangan tadi, menekankan dimensi kualitatif dan metafizikal. Kompleks kerangka fikir dan pandangan alam Melayu memberatkan penekanan kepada dimensi metafizik, simbolisme, holistik serta interaksi antara alam metafizik dengan material. Simbol-simbol kosmologi Melayu tradisional ialah simbol semantik dan kualitatif yang mempunyai makna transenden dan makna budaya yang kompleks. Epistemologi perkomputeran yang menekankan dimensi sintaktik dan bersifat reduksionistik jelas tidak mampu menampung keluasan dan kelecehan dimensi epistemologi tradisional. Para pemikir seperti Godel, dan juga Turing sendiri, turut mengakui bahawa sistem semiotik sintaktik komputasi yang dibendung oleh tatacara logik sintaktik Boolean tidak mungkin dapat memelihara sesuatu fenomena semantik tabii yang telah melalui proses formalisasi. Proses yang menurunkan dan memindahkan unsur dari alam tabii ke dalam alam formal komputasi turut menghakis serta mengikis simbol-simbol semantik daripada urat-urat semantis.

Simbol-simbol semantik alam tabii dalam kosmologi Melayu tradisional hanya mungkin dicerap oleh fakulti intellectus. Sememangnya dalam konteks pemikiran dan konsep akal Melayu peranan fakulti tersebut sangat ditekankan berbanding dengan peranan rasio. Intellectus dalam epistemologi tradisional Melayu dikaitkan dengan "hati" atau naql. Ia merupakan fakulti yang menerima ilmu dan kebenaran yang bersifat metafizikal dan ruhaniah. Manakala rasio ialah fakulti rasional yang berpusat di otak, iaitu pusat tumpuan ilmu fizik dan logik. Pemikiran tradisional sentiasa mengutamakan fakulti intellectus holistik dan sintesis berbanding dengan rasio analitik dan redusionistik. Fakulti tersebut melihat alam ini sebagai kaya dengan simbol-simbol transenden semantis berbanding dengan rasio yang lebih menekankan simbol sintaksis redusionistik. Weltanschauung komputer, kita perhatikan dalam perbincangan yang lepas, mementingkan pemikiran rasio berbanding dengan intellectus.

Dalam Weltanschauung komputer, alam metafizik atau dimensi ruhaniah hampir tidak dikenali sama sekali. Hal ini kerana Weltanschauung komputer itu sendiri timbul dalam konteks yang menidakkan kewujudan dan kepentingan alam nilai dan metafizik dalam dunia ilmu objektif dan fizik. Maka tidak timbul keperluan bagi Weltanschauung komputer untuk berinteraksi atau mengimbangkan soal metafizik dan fizik, atau soal nilai kualitatif-subjektif dengan soal algoritma objektif-kuantitatif. Sekiranya pendirian asas Weltanschauung komputer adalah sedemikian rupa maka ia adalah jelas merupakan antitesis kepada pemikiran Melayu tradisional ataupun sekurang-kurang sukar untuk sistem pemikirannya memberi ruang kepada asas-asas pemikiran tradisional. Dalam kata lain, seseorang yang menganut atau terdidik dalam pemikiran perkomputeran akan merasa sukar untuk menerima amalan-amalan dan sistem kepercayaan pemikiran tradisional.

Dalam zaman ini yang disebut sebagai era Teknologi Maklumat, adalah mustahil bagi umat Melayu untuk menggelak diri dari penggunaan dan pendidikan komputer. Bahkan apa yang pasti ialah penggunaan dan pendidikan komputer akan bertambah meluas dikalangan umat Melayu. Akan tiba masanya apabila penggunaan komputer dan pendidikannya tidak lagi terhad kepada strata tertentu masyarakat Melayu, bahkan meliputi kesemua lapisan masyarakat. Maka dalam senario ini kemungkinan itu ada bahawa Weltanschauung komputer bukan lagi merupakan satu yang asing tetapi diterima sebagai sebahagian dari Weltanschauung Melayu (baru). Akibatnya ialah Weltanschauung Melayu tradisional akan semakin tersisih dan tidak mustahil ia akan hanya menjadi bahan kenangan dalam buku sejarah Melayu lama atau muzium Akademi Pengajian Melayu. Sama ada perubahan tersebut - jika terjadi - akan menghasilkan natijah yang menguntungkan umat Melayu atau sebaliknya, adalah satu persoalan penting yang tidak mampu dijawab oleh perbincangan kita disini.

 

5. Kesimpulan

Mengenang kembali perubahan yang telah berlaku dalam pembentukan Weltanschauung umat Melayu, kita dapati budaya fikir sekularis tidak berjaya mempengaruhi kosmologi tradisional Melayu. Namun bermula pada awal abad ke-20 konsep sains dan falsafah moden telah semakin mendapat tempat dalam kerangka pemikiran Melayu. Sekurang-kurang hal ini berlaku di kalangan segelintir kelompok elitis Melayu yang kemudiannya menguasai arus politik dan ekonomi negara. Kita perhatikan bahawa pembudayaan sains dalam kerangka budaya fikir Melayu pada mulanya berlaku dalam program kolonial dan berterusan selepas pasca kolonial. Pembudayaan tersebut terutamanya bertambah giat lagi dibawah program pendidikan pasca-Merdeka. Terutamanya pada akhir 60an dan awal tujuh puluhan, program-program pendidikan sains secara intensif kepada anak-anak Melayu digiatkan lagi. Menjelang akhir tahun 70an dan awal 80an program tersebut boleh dikatakan telah berjaya melahirkan satu masyarakat saintis Melayu dan komuniti cendekiawan Melayu yang mempunyai scientific literacy atau scientific consciousness yang tinggi. Kita boleh menjangkakan bahawa dikalangan mereka inilah biasanya konsep sains dan falsafah moden mendapat tempat yang paling istemewa. Di kalangan mereka juga mudah berlaku keadaan dimana konsep sains dan kosmologi sekular moden telah menggantikan kerangka idea dan kosmologi tradisional Melayu (lama?).

Apa yang dapat diperhatikan setakat ini secara umum ialah belum ada bukti-bukti yang ketara bahawa penggantian seumpama itu berlaku secara menyeluruh. Mungkin apa yang berlaku adalah terhad dikalangan individu tertentu dalam sesuatu kumpulan elitis atau strata masyarakat terpelajar Melayu. Penggunaan bomor atau sihir dalam kebanyakan urusan sekular oleh kalangan mereka yang dianggap terpelajar dan modenis mungkin merupakan satu petanda bahawa sistem pemikiran dan kepercayaan Melayu tradisional masih utuh. Hal ini adalah benar dalam soal pertembungan pemikiran Melayu dengan konsep-konsep sains pra pasca-moden. Pemikiran tradisonal Melayu dapat bertahan atau sekurang-kurang wujud dalam keadaan dualisme disamping pemikiran sains moden dalam budaya fikir Melayu semasa. Tetapi tidak semestinya pengalaman yang sama akan berulang dalam konteks cabaran pasca-moden seperti yang dikemukakan oleh Teknologi Maklumat (TM) dan epistemologi perkomputeran kepada sistem pemikiran tradisional. Cabaran yang dikemukakan oleh TM dan epistemologi perkomputeran adalah jelas berbeza daripada sains pra pasca-moden. Maka, persoalannya yang penting ialah sama ada sistem pemikiran dan semiotik Melayu tradisional akan terus memperlihatkan ketahanannya dalam menghadapi cabaran TM dan epistemologi digital pada abad ke-21.

(bersambung: Kuliah 5)


copyright Hairudin b. Harun 1999
Send comment or question to Hairudin b. Harun: hbharun@pc.jaring.my
Go to Cyber Semiotic Institute home page
Go to Course Outline
Go to Kuliah1 / 2 / 3 / 5 / 6 / 7 / 8