Go to Cyber Semiotic Institute home page
Go to Course Outline
Go to Kuliah1 / 2 / 3 / 4 /6 /7 / 8


Weltanschauung Melayu dalam Era Teknologi Maklumat:
Komputer Menjadi Teras Pemikiran atau Punca Tewasnya Pemikiran Melayu?

oleh Hairudin b. Harun

Kuliah 5 (Lecture 5)

  1. Pengenalan

Bagi para pemerhati luar, minda Melayu seolah-olah berpaksi kepada dua pola pemikiran yang ekstrem: (i) rasionalis dan (ii) tradisionalis. Mereka yang tergolong dalam kelompok (i) biasanya tinggal di bandar-bandar besar, menjawat jawatan tinggi dalam politik, pentadbiran atau perniagaan. Manakala mereka yang terdiri daripada kelompok (ii) biasanya tinggal di pinggiran bandar, kampung dan kawasan pendalaman sebagai buruh kasar, petani dan nelayan. Pemikiran rasionalis dicirikan oleh objektiviti, sekularisme, empirisme dan materialisme. Pemikiran rasionalis cenderung kepada pemikiran saintifik, kuantitatif dan logik tertib Aristotelian. Orang Melayu rasionalis sangat mementingkan nasib dan kedudukan dunia berbanding dengan isu-isu yang berkaitan dengan alam akhirat. Mereka biasanya mengukur kejayaan dari segi kedudukan pendidikan sekular, jawatan yang disandang dan harta benda. Ijazah dari Cambridge atau Harvard, kereta mewah, rumah banglo, akaun bank di dalam dan di luar negeri adalah ukuran penting yang menentukan martabat seseorang itu dalam kelompok (i). Pemikiran tradisional cenderung kepada pemikiran magis, simbolisme, metafizis, kualitatif dan logik bebas tertib yang kabur. Pandangan alam mereka tidak banyak berbeza daripada apa yang telah digariskan dalam Kitab Jawi lama. Orang Melayu tradisional pula sangat mementingkan alam akhirat atau sekurang-kurangnya menganggap soal alam akhirat sebagai sama penting dengan soal dunia. Ijazah dari Al-Azhar atau Mahaad, hafiz Al-Quraan, warak dan alim menentukan martabat seseorang itu dalam kelompok ini.

Namun begitu dalam perbincangan seterusnya kita akan lihat nanti bahawa wujud paradoks dan keanehan dalam sejarah perkembangan pemikiran Melayu. Misalnya, di dapati di kalangan mereka yang kononnya mewakili kelompok (i) tetapi dalam masa yang sama mengunjungi para pengamal ilmu mistik dan sihir. Telah tersiar dalam akhbar tempatan mengenai tokoh-tokoh politik, yang berpendidikan barat, menggunakan khidmat para pengamal sihir. Jelas para pengamal ilmu mistik dan sihir tergolong dalam kelompok (ii). Begitu juga wujud keadaan di mana mereka yang berada dalam kelompok (ii) berkhidmat atau mendukung cita-cita mereka dari faham (ii). Oleh demikian terdapat semacam bentuk interaksi antara dua kelompok dalam konteks yang agak aneh bagi para pemerhati luar. Di samping itu fenomena tersebut memperlihatkan bahawa pandangan rasionalis dan sekular yang wujud pada kelompok (i) tidaklah setulen yang disangka. Begitu juga bagi mereka dari kalangan kelompok (ii), faham dan pandangan mereka tidak sedalam yang disangkakan. Sekiranya kita ingin merangkumkan fenomena tersebut di bawah istilah yang mengambil kira ciri (i) dan (ii); mungkin kita boleh rujuk pegangan puak yang awal tadi sebagai faham (iii) pesudorasionalis, dan puak yang terkemudian pula sebagai faham (iv) pseudotradisionalis.

Dalam pertengahan 1970an, kebangkitan faham Islam, gerakan ilmiah dan sosial Islam yang di dokong oleh mereka berpendidikan barat dan sekular merupakan satu lagi paradoks dalam sejarah budaya fikir Melayu, terutamanya bagi pemerhati luar. Penubuhan badan ilmiah seperti Akademi Sains Islam (ASASI) yang mendukung cita-cita "mengislamkan" ilmu sains dan profesional moden oleh para saintis dan profesional Melayu berpendidikan barat memang sukar dimengerti oleh kebanyakan para pengkaji sosial barat. Manakala penubuhan pergerakan sosial Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) lebih mudah dijelaskan dalam konteks model-model analisis sosial yang ada. Namun hakikatnya ialah pergerakan seperti itu di dokong oleh para pemuda yang rata-rata berpendidikan sekular, dan tidak kurang juga antara mereka datang dari keluarga yang berada dalam kelompok (i), merupakan fenomena yang tidak mudah untuk dijelaskan sebegitu sahaja.

Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas, elok kita meneliti perkembangan budaya fikir Melayu dan faham-faham yang telah terbentuk dalam akhir abad ini. Penelitian ini adalah penting kerana evolusi pemikiran Melayu semasa ada kaitannya dengan pergolakan yang wujud jauh dalam sejarah sosiointelektual Melayu. Bahkan boleh di katakan bahawa bentuk-betuk pemikiran yang wujud kini adalah manifestasi dan kesan daripada pergolakan masa-masa yang baru berlalu.

 

II. Budaya Fikir UMNO dan PAS

Kelompok (i) juga kini dikaitkan dengan "revolusi mental" pemikiran "Melayu Baru," seolah-olah melibatkan penggantian konsep "akliah" Melayu tradisional dengan "minda" Melayu baru. Minda Melayu baru ialah yang berwawasan, yang mementingkan masa depan, yang peka kepada kebolehan dirinya sendiri, yang berusaha, yang tidak suka hanya menadah tangan berdoa, yang agresif tentang haknya, yang tidak pernah rasa cukup dan puas dengan kejayaannya, yang cekap dan pantas merebut peluang, yang asyik dengan kemampuannya, yang yakin bahawa penentuan nasib untung dan rugi dirinya hanya terletak pada bahu dan dua kerat tangannya. Faham dan sikap demikian telah dapat dikesan di kalangan beberapa tokoh yang terdedah kepada pendidikan dan pemikiran barat semenjak dahulu lagi. Terutamanya, faham tersebut terserlah di kalangan mereka yang terlatih dalam sistem pendidikan kolonial. Tidak kurang mereka ini merupakan tokoh yang tidak menganggotai sebarang persatuan atau parti politik. Kebanyakan di antara mereka itu merupakan mereka yang datangnya dari profesion seperti pendidik, pegawai tinggi kerajaan, doktor dan jurutera. Namun jumlah mereka yang berfahaman seperti itu wujud dan lebih terserlah di kalangan mereka yang menganggotai dan memimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersekutu atau lebih dikenali, hatta di kalangan orang Melayu sendiri, dengan singkatan Inggerisnya, UMNO (United Malay National Organisation).

Semenjak memperjuangkan kemerdekaan UMNO telah menjadi wadah bagi mereka yang menganut faham sekularisme dan berpendidikan barat. Walaupun UMNO turut dianggotai oleh mereka berpendidikan agama, namun puak agama seolah-olah tidak dapat ruang bagi mengetengahkan pemikiran alternatif. Bahkan memang terdapat ketegangan dan pergeseran antara kedua-dua puak tersebut di dalam UMNO. Penentuan arus pemikiran dominan UMNO akhirnya di putuskan dengan penghijrahan puak agama. Mereka telah keluar beramai-ramai meninggalkan parti tersebut. Segelintir antara mereka pula menubuhkan satu parti politik yang di kenali Parti Politik Islam Se Malaysia atau singkatnya PAS. Parti baru tersebut menjadikan pemikiran yang berasaskan faham Islam sebagai satu-satunya arus pemikiran utama para anggotanya. Dalam sejarah sosial orang Melayu, wujud kumpulan-kumpulan lain sama ada dari jenis politik mahu pun yang bukan, namun penubuhan UMNO dan kemudiannya PAS lebih jelas mencerminkan arus pemikiran besar yang telah tercetus di kalangan orang Melayu abad ke-20. Hakikat ini terserlah apabila diteliti, bahawa di belakang parti-parti tersebut didapati penyokong utama UMNO, datang dari kalangan kelompok yang berbudaya fikir (i) (iaitu yang sekular, saintifik dan modenis) manakala penyokong utama PAS pula ialah mereka dari golongan budaya fikir (ii) (iaitu yang mistikal, simbolisme dan metafizikal). Pandangan semesta antara dua puak ini amat berbeza sekali dari segala sudut dan perbezaan ini termasuk tentang peranan agama dalam kehidupan individu atau sosial.

Dalam percaturan politik Melayu, UMNO berjaya merebut kuasa dan memegang tampuk pemerintahan negara melalui gagasan parti politik bersekutu dengan mereka dari bangsa bukan Melayu. Dari awal lagi pihak pemerintah kolonial memang lebih senang berurusan dengan orang UMNO berbanding dengan orang PAS. Kemerdekaan Tanah Melayu diserahkan oleh Inggeris kepada orang UMNO dan sekutu bukan Melayunya. Dengan penyerahan kuasa tersebut UMNO berpeluang mengisi kemerdekaan dan mencorakkan pembangunan sosial orang Melayu. Dari awal lagi UMNO melancarkan program dalam dua arena utama: (i) pendidikan, dan (ii) ekonomi. Bahkan ada di kalangan para pemimpin UMNO yang melihat bahawa program "ekonomi" dapat dijayakan dengan sendirinya apabila program (i) berjaya dilaksanakan. Oleh kerena itu mereka menganggap program (i) merupakan sebahagian daripada kempen "revolusi mental" bagi merubah pemikiran dan sikap Melayu kepada model pemikiran dan sikap yang mereka anggap lebih progresif dan dinamik. Jelas model minda Melayu progresif yang dibayangkan oleh UMNO lebih cenderung kepada budaya fikir (i). Bahkan model pemikiran yang ingin diperkasakan oleh UMNO tidak lebih daripada sikap dan pemikiran liberal yang ditentang oleh mereka dari kalangan PAS. Bahkan terdapat dari kalangan mereka yang pernah menuduh bahawa UMNO cuba menjadikan orang Melayu agar tidak merasa kekok untuk menjunjung Al-Quran di samping menjulang arak.

Sama ada tuduhan itu benar atau sebaliknya tidaklah sebegitu penting. Apa yang penting ialah hakikat bahawa UMNO memang cuba memelihara unsur-unsur tradisi Melayu, seperti adat resam, di samping menyerap unsur-unsur budaya fikir dan kerja "masyarakat maju." Sememang terdapat bukti bahawa UMNO tidak teragak-agak untuk membelakang unsur-unsur budaya lama yang bercanggah dengan wawasan dan budaya fikir maju. Dalam masa yang sama UMNO masih sanggup memepertahankan idea-idea konservatif. Pemergian Sir Onn Jaafar, pengasas dan pemimpin perintis UMNO, kerana para ahli menolak beberapa idea liberal yang beliau ketengahkan, terutamanya perihal membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu, melambangkan kedegilan yang wujud dalam UMNO. Hal-hal seperti itu juga memperlihatkan dualisme yang dihayati oleh para pemimpin dan anggota UMNO. Tegasnya, orang UMNO boleh memakai baju Melayu dan mereka boleh juga memakai kot tebal di tengah-tengah terik matahari. Mereka boleh berzapin dan mereka boleh bertango.

Pemikiran dan budaya fikir tersebut diterapkan dalam perancangan dan polisi pembangunan masyarakat Melayu pasca merdeka. Misalnya, penerapan agresif pemikiran tersebut jelas kelihatan dalam dasar pendidikan kerajaan yang diterajui UMNO. Ratusan ribu anak-anak remaja Melayu dihantar ke negara barat untuk mendapat pendidikan tinggi dalam pelbagai bidang. Bagi kebanyakan anak remaja ini yang rata-rata berumur belasan tahun, mereka akan terdedah sepenuhnya bukan sahaja kepada pendidikan barat bahkan juga dengan nilai, budaya hidup barat. Hal ini bukan satu yang aneh, kerana para pemimpin UMNO kebanyakannya telah dididik di "Grammar School" iaitu sekolah berasrama penuh eksklusif Inggeris. Sekolah seperti itu terkenal bukan sahaja dengan pendidikan akademik bahkan program penerapan nilai bangsawan dan cita rasa Inggeris. Sir Onn Jaafar dan Tunku Abdur Rahman merupakan antara para tokoh utama Melayu yang pernah terdidik dalam sistem persekolahan seperti itu.

 

  1. Mahathirisme
  2. Pada awal 80an, terutamanya di kalangan orang-orang Melayu yang menganggotai parti politik UMNO, satu gagasan pemikiran tentang pembangunan sosial, nasib orang Melayu, martabat Melayu, agama orang Melayu dan strategi masa depan Melayu dinukilkan dengan faham "Mahathirisme." Benih faham tersebut tersemat dalam tulisan-tulisan "Che Det" dan buku The Malay Dilemma karangan Mahathir Mohamad. Jelas faham tersebut dikaitkan dengan sikap dan pemikiran yang diasaskan oleh Dr. Mahathir Mohamad, Presiden UMNO ke-5 dan merangkap Perdana Menteri Malaysia ke-4. Walaupun UMNO sebelum Mahathir telah pun menghayati idea-idea yang cuba diketengahkan oleh beliau, namun beberapa idea tersebut telah diberi nafas baru dan penekanan yang agak unggul. Penekanan kepada peranan S&T, industrialisasi berat, R&D dan terutamanya IT boleh di katakan sebagai keistimewaan era Mahathir. Hal ini mungkin boleh difahami sekiranya kita ambil kira Mahathir merupakan Pemimpin UMNO pertama yang berlatarkan pendidikan sains menjadi Perdana Menteri. Beliau dilatih di Kolej Perubatan Kolonial di Singapura yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Universiti Malaya di Singapura. Pemimpin UMNO dan Perdana Menteri Malaysia sebelum beliau terlatih dalam bidang bukan sains, seperti perundangan. Mahathir merupakan lambang ultra rasionalis dan pragmatis Melayu par excellence. Sebaik sahaja beliau menjawat jawatan Perdana Menteri, Mahathir mempercepatkan waktu resmi negara 30 minit lebih awal daripada biasa. Satu tindakan praktis yang membawa makna simbolik yang amat mendalam. Beliau seolah-olah memberi isyarat bahawa detik era beliau bermula, ia akan lebih pantas dan berbeza dari sebelumnya. Hal ini sememangnya manifestasi dari sikap beliau yang seolah-olah tidak terikat kepada sebarang halangan tradisi budaya fikir lama dan kejumudan idea Melayu tulen. Mungkin kedudukan beliau sebagai anak kacukan Melayu-India, dan didikan beliau sebagai Doktor perubatan merupakan antara faktor yang mendorong beliau merakam pendapat tentang masalah kemunduran dan kejumudan Melayu melalui analisis genetik. Beliau, misalnya, pernah mengatakan amalan orang Melayu berkahwin di kalangan kelompok mereka sahaja boleh menjadikan mereka lemah dari segi fizik dan mental. Kerana itulah terdapat sesetengah pengkritik beliau yang menuduh bahawa beliau cuba mengetengahkan konsep Melayu kacukan, bukti bahawa sememangnya beliau tidak yakin dan tidak senang dengan konsep Melayu jati.

    Tidak kurang relevan kepada perbincangan kita di sini ialah sikap Mahathir kepada Islam. Hal ini kerana bukan sahaja pendekatan beliau kepada agama berlainan sedikit dari para pemimpin UMNO sebelumnya, tetapi yang lebih penting ialah kaitan dan keupayaan Mahathir mempengaruhi pandangan alam keagamaan orang Melayu. Pemimpin UMNO sebelumnya seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak mengambil sikap "aloof" dan tidak lebih daripada menghormati agama Islam sebagai agama adat orang Melayu. Mereka memupuk sikap tak ambil hirau selagi agama tidak menggugat nasib politik orang UMNO. Kecuali di Kelantan, di negeri-negeri Tanah Melayu yang lain, agama tidak menjadi isu politik yang boleh merugikan UMNO. Mereka juga pada umumnya mengambil sikap "hands-off" dan membiarkan urusan Islam kepada kalangan ustaz dan mereka yang dianggap arif dalam bidang tersebut. Tegasnya, kedua-dua pemimpin UMNO sebelum Mahathir tersebut mengekalkan dikotomi urusan negara sekular dan urusan akhirat seolah-olah umpama minyak dengan air. Pembahagian seperti ini mencerminkan polisi yang telah diperkenalkan oleh penjajah Inggeris sejak sekian lama.

    Sebelum menjawat kerusi Persiden UMNO dan jawatan Perdana Menteri, Mahathir tidak menunjukkan perbezaan yang ketara daripada pandangan pemimpin-pemimpin UMNO semasa. Pada umumnya UMNO memperlihatkan sikap yang hostile kepada faham Islam terutamanya seperti yang dipamerkan oleh Parti PAS. Malah pimpinan UMNO juga menunjukkan sikap yang tidak toleran kepada corak faham Islam (misalnya idea Islam sebagai ad-din dan Islam bukan agama ritual) yang mula merebak di kalangan para pelajar Universiti dan aktivis muda Melayu tahun-tahun 1970an. Malah beberapa orang pelajar dan aktivis muda Melayu, termasuk Anwar Ibrahim, seorang pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sebuah akta warisan pemerintah kolonial. Penahanan mereka tersebut berterusan ketika Mahathir mula menganggotai barisan kabinet kerajaan Tun Abdul Razak. Perbezaan pendekatan Mahathir kepada Islam mula terserlah apabila beliau membawa Anwar Ibrahim, bekas tahanan ISA dan pemimpin ABIM, masuk ke dalam UMNO dan kerajaan.

    Tindakan Mahathir tersebut bukan helah politik semata-mata seperti yang disangkakan oleh kebanyakan pemerhati beliau. Malah ia lebih merupakan salah satu manifestasi sikap "hands-on" beliau terhadap Islam. Di sinilah terletak perbezaan sebenarnya sikap Mahathir terhadap Islam dengan pemimpin UMNO sebelumnya. Politik seolah-olah hanya satu alat mudah dan efisien bagi mencapai hasrat, cita-cita dan wawasan beliau. Di kalangan orang UMNO, Mahathir memang terkenal dengan pembacaan beliau yang luas, keupayaan mental beliau, dan kecekalan bahawa beliau boleh menguasai apa sahaja yang beliau mahu. Islam berada dengan senarai yang harus beliau kuasai kerana Islam merupakan elan vital orang Melayu. Paling mudah untuk merubah orang Melayu en masse ialah dengan merubah persepsi dan bentuk Islam yang mereka hayati. Snouck Hugronje pernah mencadangkan idea tersebut kepada penindas Belanda dalam menentang orang Aceh. Tidak mungkin Mahathir tidak pernah terbaca mengenai idea tersebut. Di samping pembacaan luas tentang Islam, Mahathir juga turut berbincang dan mendekati beberapa tokoh ilmuwan Islam semasa. Antara mereka itu ialah Profesor Ismail Al-Faruqi, Profesor Islam di Universiti Temple, Amerika Syarikat. Profesor Faruqi terkenal dengan pandangan rasionalis terhadap Islam. Faruqi juga merupakan salah seorang daripada tokoh Islam yang menjadi pusat rujukan para aktivis dan belia Islam semasa, terutamanya kalangan mereka daripada ABIM. Hal ini memang amat disedari Mahathir. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya Mahathir di katakan telah menggunakan Faruqi dalam memujuk Anwar Ibrahim menyertai UMNO dan kerajaan. Walaupun sebelum ini telah terjalin satu bentuk hubungan longgar antara Mahathir dan Anwar, namun ia lebih dicetuskan oleh keperluan Mahathir kepada Anwar untuk mempengaruhi aktivis muda Melayu ketika itu, terutamanya dalam kempen menentang polisi Tunku Abdul Rahman.

    Penyertaan Anwar, bekas aktivis ABIM, ke dalam UMNO membawa beberapa perubahan yang agak ketara dalam senario politik negara. Antaranya ialah (i) martabat UMNO betambah dalam urusan Islam, (ii) penumpulan kritikan aktivis muda Islam terhadap kerajaan , (ii) merampas martabat jurubicara Islam unggul daripada kumpulan aktivis lain, terutamanya ABIM dan PAS. Namun yang lebih penting ialah pergolakan politik tersebut hanyalah petanda luar kepada percaturan idea dan ideologi yang berlaku pada peringkat yang lebih asas. Pandangan Islam orang Melayu kini mampu dicanai dan dibentuk mengikut model yang paling ampuh. Walaupun membentuk pandangan tersebut tidak semudah menukar waktu tempatan 30 minit lebih awal, namun melalui Anwar banyak kerja telah dipermudahkan. Anwar sekali lagi menjadi wahana Mahathir mencapai maksudnya, kali ini dalam hal yang lebih rumit. Walaupun bukan berlatar belakangkan pendidikan formal Islam, karisma dan pengalaman Anwar sebagai aktivis Islam sudah melebihi daripada cukup untuk menandingi dengan mudah para "ulama UMNO."

    Sebaik sahaja Anwar menyertai kabinet Mahathir pada mulanya sebagai Timbalan Menteri, beliau telah dipertanggungjawabkan dengan hal-hal yang menyentuh tentang Islam. Setelah menjawat beberapa jawatan Menteri kanan dan akhirnya Timbalan Perdana Menteri, Anwar masih lagi mempengaruhi polisi dan hal ehwal Islam dalam parti dan kerajaan secara langsung ataupun tidak langsung. Terutama sekali, sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa, beliau terus mempunyai pengaruh langsung kepada pembentukan fikrah graduan dan anak muda Islam. Di samping itu beliau juga menganggotai beberapa jawatan kuasa Islam peringkat antarabangsa.

    Mahathir tetarik kepada Anwar pada peringkat awalnya mungkin pada karisma dan keupayaan Anwar memobilasi gerakan massa. Namun pemikiran Anwar tentang Islam seolah-olah mencerminkan faham Islam yang juga dicenderungi beliau. Walaupun Anwar ketika menjadi aktivis Islam mendekati para ulama-ulama ortodoks dan juga revisionis, namun kumpulan yang terkemudian tersebut lebih mendatangkan kesan kepada beliau. Naquib Al-attas dan Ismail al-Faruqi boleh di katakan dua tokoh utama yang mempunyai pengaruh besar kepada pembentukan faham Islam beliau. Antara kedua-duanya al-Faruqi lebih dicenderungi Anwar kerana pendekatan Islam rasionalis, revisionis dan pragmatis tokoh tersebut mungkin secocok dengan jiwa beliau. Apabila al-Faruqi mengasaskan International Institute for Islamic Thought (IIIT), Anwar diajak turut serta dalam penubuhan tersebut dan menjadi salah seorang ahli lembaga institusi tersebut. Setelah beliau menjadi Presiden UIA yang kedua Anwar telah melantik Abu Hamid Sulayman, salah seorang kawan rapat al-Faruqi dan ahli lembaga pengasas IIIT sebagai Rektor UIA.

    Sepanjang berada di dalam UMNO, Anwar, secara sedar atau tidak, menjadi konduit (atau apologis) Mahathirisme Islam yang paling ampuh. Melalui pengaruh Anwar, bukan sedikit antara para aktivis dan pemikir muda Islam yang menjadi penganut budaya fikir tersebut. Antara sifat mereka tersebut yang ketara ialah dalam menyoal semua premis agama Islam yang dipegang orang Melayu. Mereka turut mempersoalkan - dan kadangkala mempersendakan - hal-hal yang selama ini hanya berani dikemukakan oleh para ulama terlatih. Keadaan ini berlaku kerana isu Islam bukan lagi hak wacana istimewa ulama, isu tersebut telah diperluaskan ke ruang yang bukan tradisional atau yang dianggap ruang bebas-Islam dan "sekular" selama ini. Ruang tersebut termasuklah pentadbiran, ekonomi dan pembangunan. Isu Islam menjadi relevan dibahaskan dan dibentukkan bersama oleh para profesional, seperti pentadbir, para ahli korporat, ahli kewangan dan ahli teknokrat. Para kumpulan profesional tersebut kini menjadi setaraf dengan para ulama tradisional apabila membahaskan soal-soal Islam, terutamanya yang ada kena mengena dengan bidang masing-masing. Kerap para ahli profesional yang menganggotai UMNO mempersoalkan para ulama tradisional dan seolah-olah mereka ingin melihat para ulama tersebut menuruti apa-apa sahaja yang diputuskan oleh mereka dan UMNO tentang hal-hal Islam. Kemungkinan sahaja mereka tidak sedemikian rupa sekiranya Anwar berada di luar UMNO dan tidak turut memperjuangkan idealisme Islam ala Mahathir. Namun ini hanyalah satu andaian yang sukar dipastikan.

    Tegasnya, Mahathir telah berjaya, atau hampir berjaya, merubah dan membentuk semula pandangan alam Islam sebahagian besar orang Melayu semasa, melalui strategi tersebut. Bahkan sama ada disedari atau tidak, beliau turut berjaya merubah pandangan alam konservatif orang yang berpendidikan agama mengikut acuan revisionis, pragmatis dan visionari beliau. Hakikat ini bukan sahaja dapat di lihat wujud pada mereka yang berada dalam institusi seperti Pusat Islam dan IKIM (Institut Kefahaman Islam) bahkan juga yang berada di luar. Sama ada kejayaan Mahathir itu membawa keuntungan atau kerugian kepada orang Melayu merupakan suatu hal yang lain; perkara tersebut sudah tentu menarik untuk dibahaskan tetapi malangnya kali ini berada di luar kerangka wacana kita di sini.

    Merubah acuan pemikiran anak Melayu dari sifat kemelayuan lama kepada yang kemelayuan baru yang agresif, revisionis dan visionari merupakan agenda teras perjuangan Mahathir. Langkah jangka pendek ialah dengan mendedahkan anak-anak Melayu kepada pendidikan masyarakat barat yang sedia memiliki sifat-sifat tersebut secara lebih intensif. Walupun Mahathir telah mempengaruhi agenda pendidikan orang Melayu semasa memegang teraju Pengerusi Majlis Pendidikan Tinggi, namun tindakan agenda tersebut menjadi lebih mudah ketika Mahathir menjadi Menteri Pelajaran semasa berada dalam Kabinet Tun Abdul Razak, dan juga kemudiannya dalam kabinet Dato Hussein Onn. Pada zahirnya Mahathir meneruskan polisi pendidikan yang telah gariskan oleh parti UMNO pimpinan Tun Abdul Razak. Namun, dalam masa yang sama kedudukan Mahathir sebagai Menteri Pelajaran memberi beliau peluang keemasan untuk menerapkan idea-idea radikal beliau mengenai corak pendidikan yang harus wujud pada orang Melayu. Mungkin disebabkan latar belakang sains, dan pemikiran objektif, kritis dan saintifik yang beliau anuti mendorong keyakinan beliau bahawa bidang sains merupakan satu-satunya bidang yang harus didedahkan secara maksimum kepada orang-orang Melayu. Sentimen semasa mengenai kekurangan doktor dan jurutera Melayu menjadi agenda beliau selari dengan harapan penyelesaian yang senang diterima oleh orang Melayu.

    Pembudayaan sains dalam kerangka budaya fikir Melayu memang telah pun bermula dalam program kolonial dan berterusan selepas pasca kolonial. Mahathir sendiri pun adalah graduan program tersebut. Namun pembudayaan tersebut terutamanya bertambah giat lagi di bawah program pendidikan pasca-Merdeka. Semasa sebelum berada dalam kerajaan, Mahathir menduduki satu jawatankuasa tinggi mengenai pelajaran, dan pengaruh idea beliau dapat di lihat dalam program yang dilaksanakan ketika itu. Namun setelah menjadi Menteri Pelajaran idea-iade beliau tentang pendidikan ornag Melayu semakin jelas. Misalnya, program-program pendidikan sains secara intensif kepada anak-anak Melayu bertambah giat lagi. Anak-anak Melayu yang dianggap cerdik diperingkat sekolah ditapis dan disalurkan agar menjurus ke dalam bidang sains sahaja. Penjurusan awal menyebabkan kebanyakan dari mereka tidak mempunyai pilihan lain untuk menjurus dalam bidang bukan sains. Program menghantar anak Melayu ke luar di negeri melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang sains dan teknologi dipertingkatkan ke tahap maksimum. Menjelang akhir tahun 70an dan awal 80an program tersebut boleh di katakan telah berjaya melahirkan satu masyarakat Melayu yang mempunyai scientific literacy atau scientific consciousness yang tinggi. Kita boleh menjangkakan bahawa di kalangan mereka inilah biasanya konsep sains dan falsafah moden mendapat tempat yang paling istimewa. Di kalangan mereka juga konsep sains dan kosmologi sekular moden telah menggantikan kerangka idea dan kosmologi tradisional Melayu. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

  3. Renaisans Islam atau Romantisme Islam?
  4. Penubuhan Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) oleh para saintis, jurutera dan profesional Melayu pada akhir tahun 1970an mungkin seperti perkara biasa. Mungkin yang menarik kebanyakan daripada mereka yang menjadi pengasas persatuan tersebut adalah dari kalangan yang terdidik di Amerika dan Britain. Program pendidikan sains yang intensif telah berjaya meningkatkan kepekaan orang Melayu kepada kepentingan sains dan teknologi dalam pembangunan dan ketahanan bangsa. Anehnya pendedahan pendidikan dalam bidang-bidang moden dan sekular secara intensif di dalam dan di luar negeri telah membangkitkan keinginan anak-anak Melayu memahami semula Islam dari sudut baru. Sesuai dengan peningkatan intelektual mereka, Islam di lihat secara kritikal dan dibandingkan dengan sistem-sistem pemikiran yang lain.

    Menjelang akhir tahun 1970an, retorik radikal dan aktiviti para pelajar pengajian tinggi melimpah dalam bentuk demonstrasi menentang ketidakadilan sosial yang berleluasa di dalam masyarakat. Sebahagian besar daripada ketidakadilan tersebut dipersalahkan kepada sistem pemikiran yang membelakangkan Islam. Memang benar aktiviti radikal pelajar tempatan tersebut berlatar belakangkan ideologi yang majmuk iaitu dari nada ultra-nasionalis, sosialis hinggalah ke Islam, namun laungan Islam sebagai ad-din - sistem pemikiran dan cara hidup sempurna - alternatif merupakan kepada yang paling lantang. Kelantangan tersebut ada kaitannya dengan gerakan yang tersusun dan jumlah yang besar. Penubuhan ABIM sebagai sebuah gerakan bekas pelajar IPT dan diterajui oleh mereka yang rata-rata dianggap sebagai born again Muslims. Mereka ini dari kalangan yang berpendidikan bukan agama, berlatar belakangkan bidang profesional, namun bertekat menerapkan nilai-nilai "Islam tulen" ke dalam diri dan masyarakat. Mereka menggeritik pemerintah, sistem yang wujud, para penguasa agama dalam wacana, seminar dan penerbitan. Mereka mula menyebut tentang renaisans Islam dan menolak sebarang sistem yang tidak terbuka kepada nilai Islam. Mereka membina jaringan persahabatan antarabangsa di kalangan para pemuda Islam dari negara lain, dan menjadikan isu yang cuba diketengahkan didengari dunia luar. Mereka mengetengahkan isu pemerintahan Islam, pentadbiran ekonomi Islam, perbankan Islam, undang-undang Islam, Universiti Islam sebagai alternatif kepada apa yang sedang disajikan kepada mereka oleh sistem sosial semasa yang dipinjam dari barat.

    Kebangkitan Islam pada akhir tahun 1970an dan 1980an sememangnya mendapat dorongan dari ranaisans Islam yang berlaku di luar negara. Kebangkitan Islam di Iran, Turkey, Pakistan dan Mesir iaitu negara-negara sekular yang mempunyai pendudukan Islam terbanyak memberi kesan kepada gerakan Islam tempatan. Kejatuhan rejim Shah Iran, simbol kejayaan modenisasi barat di negara Islam, ke tangan para pemuda Islam reformis dan kaum ulama Syiah memberi satu peluang keemasan untuk melihat bagaimana sistem alternatif yang berteraskan jiwa Islam mungkin terlaksana.

    Manakala penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, penubuhan Universiti Islam, perbankan Islam dan beberapa institusi Islam yang lain seolah-olah mengukuhkan agenda Islam dalam masyarakat Melayu. Di samping itu penerapan tersebut juga telah melahirkan suasana di mana sempadan antara institusi berteraskan Islam dan yang bukan menjadi tidak lagi begitu jelas. Zaman retorik Islam yang wujud pada 1970an telah digantikan dengan zaman percubaan dan pengisian terhad dalam tahun 1980an dan 1990an. Jurang antara idea dan kepayahan merealisasikan kesyumulan sistem Islam sebagai alternatif semakin jelas kelihatan pada akhir 1990an. Langkah pragmatik dan akomodasi semakin jelas menjadi teras perjuangan para pendukung reformasi Islam tahun 1970an. Tidak kurang daripada mereka telah menjadi sebahagian dari establishment yang ada; dari ahli politik, ahli korporat, para akademik hinggakan pegawai tinggi kerajaan. Sebahagian besar antara mereka yang berjaya dalam bidang masing-masing berbuat demikian dengan mengemudi diri mereka mengikut rentak dan simpang suir sistem yang ada. Mereka telah meraih keuntungan, dan mereka masih boleh beribadat apabila tiba masa dalam masjid indah yang dibina oleh kontraktor bukan Islam. Bagi kebanyakan dari kalangan mereka ini, Islam ala Mahathirisme merupakan satu-satunya pilihan penyelesaian dan ikutan yang paling sesuai.

    Dalam percubaan "islamisasi" tahun 1980an, universiti Islam termasuk dalam senarai yang di laksanakan. Beberapa bidang utama yang menjadi teras wacana islamisasi seperti ekonomi, undang-undang dan sains sosial ditawarkan. Tokoh-tokoh ilmuwan Islam tempatan dikumpul dan dari antarabangsa turut didatangkan ke Universiti Islam (UIA). Namun satu gagasan bidang yang menjadi teras kepada program pendidikan tempatan seolah-olah terlepas dari retorik islamisasi tersebut: sains & teknologi. (Walaupun UIA kemudian mengujudkan Fakulti Kejuruteraan, namun teras kurikulumnya hampir tidak ada perbezaan langsung daripada kurikulum kejuruteraan universiti bukan Islam). Keadaan ini mendatangkan dua implikasi: Sama ada (a) sains dan teknologi barat tidak bermasalah langsung dalam kerangka ilmiah Islam, atau (b) kerangka ilmiah Islam tidak berdaya menganalisis dan mengemukakan pendekatan alternatif. Bagi mereka yang arif tentang perbahasan ilmiah mengenai sains dan teknologi di barat, khususnya pada peringkat falsafah dan epistemologi, maka mereka tahu bahawa (a) adalah tidak tepat, dan mereka cenderung mengatakan bahawa (b) merupakan sebab yang lebih munasabah.

    Di sinilah terletaknya kepentingan penubuhan Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) yang disebut awal perbincangan tadi. ASASI di anggotai oleh para saintis, jurutera dan profesional Melayu yang dilahirkan oleh sistem pendidikan barat sama ada dari dalam atau luar negeri. Mereka memang yakin kepada kepentingan ilmu sains dan teknologi, namun bagi mereka, sains dan teknologi yang mampu menjamin ketahanan umat dan membawa al-falah umat hanyalah yang berteraskan sepenuhnya kepada jiwa Islam. Disebabkan latar belakang mereka, para ahli ASASI mampu mengupas ilmu sains dan teknologi dari sudut ilmiah yang paling asas, yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh ulama berpendidikan tradisional. Dari kalangan mereka ini timbulnya wacana mengenai "Sains Islam", "Teknologi Islam," "Teknologi Maklumat Islam," "Polisi Sains dan Teknologi Islam," dan "Pemecaman Teknologi Islam." Wacana dan idea yang mereka kemukakan adalah unggul dalam sejarah intelektual dan renaisans Islam. Kerana wacana dan idea tersebut tidak terdapat dan tidak subur di negara-negara Islam lain, wacana seperti itu hingga ke hari ini hanya diketengahkan dan disuburkan di bumi Malaysia.

    Walaupun terdapat tulisan-tulisan tokoh-tokoh seperti Seyed Hossein Nasr dan Ziauddin Sardar mengenai sains Islam, namun intensiti, mutu dan keluasan wacana hanya wujud di kalangan ahli ASASI di Malaysia. Tegasnya, bagi ahli ASASI, ajaran Islam mampu dijadikan teras perkembangan ilmu sains dan teknologi, dan "sains dan teknologi Islam," pula sangat berbeza dari segi asas epistemologis dan manifestasi praktis daripada sains dan teknologi barat. Bagi mereka, hanya sains dan teknologi Islam dapat mengelak dan menyelamatkan umat Islam dan manusia daripada krisis intelektual dan ekologi yang melanda kebanyakan dunia. Bagi mereka juga krisis tersebut tidak lebih sebagai satu manifestasi bahawa alam ini telah di salah fahami (dalam bentuk sains barat) dan di burukkan lagi dengan penggunaan yang turut silap (dalam bentuk teknologi barat).

    Sayangnya kebanyakan daripada wacana dan idea-idea yang dilahirkan mereka tidak disambut oleh sistem pendidikan massa dan penggubal polisi tempatan. Walaupun ada di antara mereka yang kemudiannya menjawat jawatan tinggi dalam institusi awam, namun idea-idea tersebut seolah-olah tidak dapat diterapkan. Sehingga kini idea-idea bernas mereka masih dipinggiran dan wacana mereka lebih merupakan luahan yang terhad kepada pertemuan bermusim. Bagi sistem pendidikan tempatan, pandangan (i) bahawa sains dan teknologi barat tidak ada masalah dengan Islam merupakan asas pegangan. Apa yang lebih penting ialah hasil praktis dan natijah keuntungan yang dapat didatangkan dalam keadaan semasa yang tersingkat. Pandangan ini juga adalah selaras dengan faham tekno-sains dan Islam Mahathirisme. Dalam limpahan arus kederasan aliran faham Mahathirisme tersebut, para ahli ASASI kadang kala terdedah kepada pertanyaan kritis apakah sebenarnya mereka mewakili fenomena "renaisans Islam" ataupun "romantisme Islam"?

     

  5. Paradoks dan Pasca 90an
  6. Dalam tahun-tahun 1980an dan 90an, Mahathirisme telah menguasai sebahagian besar daripada orang Melayu, terutamanya di kalangan ahli UMNO. Di luar UMNO, Mahathirisme turut mempengaruhi para ahli birokrat, teknokrat dan juga ulama. Dari satu segi boleh dikatakan bahawa Mahathirisme tidak mungkin berjaya sekiranya program pendidikan modenisme tidak didedahkan kepada orang Melayu semenjak era sebelum kemerdekaan lagi. Mungkin juga ada yang mengatakan bahawa Mahathirisme sebenarnya tidak lebih daripada lanjutan natijah "revolusi mental" UMNO era Tunku dan Tun Razak sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Senu Abdul Rahman dalam tulisan 1960an beliau yang membawa tajuk yang sama. Namun revolusi mental hanya menuntut perubahan sikap kepada pembangunan fizikal dan material orang Melayu. Revolusi tersebut adalah terhad dan tidak cuba merubah keseluruhan pandangan alam dan budaya fikir Melayu, terutamanya dalam hal keagamaan. Mahathirisme pergi lebih jauh dan lebih menyeluruh dari itu. Mahathirisme menuntut perubahan dalam segala bentuk, termasuk dalam wacana, komunikasi, nilai hidup, kerangka fikir dan perspektif keagamaan. Asas dan teras perubahan tersebut ialah rasionalisme, objektifisme, saintisme dan materialisme. Kerana itu kita menjangkakan kalangan mereka yang menganut faham tersebut tidak akan memberi tempat kepada soal jampi, jin, jembalang dan hantu raya. Mereka sepatutnya hanya mementingkan soal jet set, jambatan, jentera berat, dan lebuh raya.

    Tidak berapa lama dahulu sebuah akhbar tempatan yang juga media utama Mahathirisme, The New Straits Times (15 Disember 1996) telah melaporkan bahawa yang "kaya dan terkenal antara mereka yang kerap merujuk kepada dukun." Akhbar tersebut melaporkan suatu hal yang sudah menjadi pengetahuan awam bahawa orang koporat, saintis, pensyarah, doktor dan jurutera dan mereka yang terdidik dengan pemikiran barat juga kerap merujuk kepada bomoh. Juga sudah menjadi pengetahuan awam, terutamanya yang sering berlaku di kalangan orang politik, bahawa penggunaan khidmat bomoh untuk menjatuhkan pesaing dalam merebut jawatan adalah amat berleluasa. Terdapat dakwaan bahawa setiap kali pertandingan dalam parti dan pilihanraya, para bomoh turut sama beraksi dalam bilik operasi. Bahkan bomoh-bomoh terkenal dari negara jiran dikatakan turut dirujuk atau dibawa ke Semenanjung. Fenomena amalan okult tersebut dan orang Melayu moden dalam era Mahathirisme merupakan satu paradoks yang membingungkan ramai pemerhati. Kewujudan fenomena tersebut sama hebat kesan kejutannya sekiranya didapati bahawa Mahathir, simbol ultra rasionalis dan revisionis Melayu, merujuk kepada seorang alim atau seorang pengamal ilmu tasauf. Peristiwa seperti itu sudah tentu menjadi perkara yang sukar dijelaskan kerana diketahui bahawa ia ketara bertentangan dengan nilai dan prinsip yang didukung dan diketengahkan oleh Mahathirisme selama ini.

    Pihak Pusat Islam (di bawah Jabatan Perdana Menteri) mempunyai senarai hitam "ajaran sesat" (iaitu terdiri dari kumpulan tariqat hingga ke kebatinan) yang dianggotai oleh orang-orang Melayu. Pusat Islam juga mendapati bahawa kebanyakan anggota tersebut rata-rata terdiri daripada mereka yang berpangkat dan berkedudukan tinggi. Mengapa mereka semua begitu tertarik kepada ajaran mistik dan okult merupakan suatu fenomena yang menarik; terutamanya kerana pendukung Mahathirisme yang paling terserlah juga datangnya dari kelompok tersebut. Satu analisis awal telah dibuat oleh penulis dalam kertas berjudul "The Occult: A Critical Discourse" (boleh dicapai di http://www.fs.um.edu.my/sts/papers/hharun-occult.html atau http://www.fs.um.edu.my:80/sts/papers) mengapa hal tersebut mungkin berlaku.

    Amalan tersebut seolah-olah telah datang bagi mengisi keperluan yang tidak lagi dapat ditampung oleh budaya fikir dan faham agama mereka. Faham-faham anutan Melayu pasca 80an dan 90an seperti Mahathirisme jelas mengekal dan menolak dimensi tertentu dalam budaya fikir tradisonal. Faham lewat seperti itu menekankan unsur-unsur seperti rasionalisme dan materialisme ke satu tahap yang belum pernah wujud dalam budaya fikir Melayu tradisional. Faham tersebut kesemuanya menjadikan agama Islam orang Melayu tidak lebih sebagai subset logik saintifik dan legalistik. Unsur-unsur metafizik dan kerohanian tinggi seolah-olah tidak lagi wujud dalam persamaan baru tersebut. Penekanan seperti itu mengwujudkan suatu kejutan psikobudaya dan psikososial yang belum pernah dilalui oleh budaya fikir Melayu selama ini.

    Dengan menekankan materialisme dan rasionalisme radikal, faham-faham tersebut secara sedar ataupun tidak telah menyempitkan saluran pertumbuhan kerohanian seperti yang difahami selama ini secara tradisional. Dalam kerangka budaya fikir Melayu pasca 80an, misalnya, hanya metafor yang dipinjam dari industri dan teknologi yang menentukan simiotik dan makna dalamannya. Yang bermakna hanyalah yang berkaitan dengan budaya input-ouput, cepat, cekap, efisiensi dan optimasasi. Ia merupakan budaya yang melihat manusia dan material hanya sebagai sumber pembangunan dan nilai mereka terletak pada proses yang boleh mengoptimunkan sumber tersebut. Budaya ini tidak mengenal amal jariah atau ibadah; kerana budaya ini berteraskan kosmologi saintifik yang mendewakan sains dan teknologi sekular. Bahkan nilai kemanusiaan tidak lagi di padankan kepada normatif moral dan etika tetapi sebaliknya diikat pada ukuran normatif politik dan ekonomi.

    Perubahan tersebut ada kaitan dengan perubahan pandangan alam yang dialami oleh kebanyakan orang Melayu berpendidikan sekular. Mereka menonggak ke langit bukan lagi beranggan-anggan untuk melihat para ruh salihin turun dari syurga, tetapi berharap-harap untuk melihat bintang dan penghuninya menurut kosmologi saintifik. Manusia dan haiwan lebih rapat dalam budaya fikir sains dari manusia dan malaikat. Bahkan konsep malaikat dan Adam-Hawa hampir tidak masuk akal dalam bicara sains. Manusia adalah natijah evolusi material dan biologi dan bukannya turun dari langit. Penyudahan nasib manusia adalah di bumi dan bukan di langit. Tegasnya, idealisme moral dan agama telah terhakis dan tidak lagi begitu terang dalam kerangka fikir mereka. Penghakisan tersebut mengakibatkan mereka tidak lagi mempunyai kriteria moral dan agama yang kukuh bagi menilai dan membezakan kesemua yang datang kepada mereka. Hal ini menjadikan segala bentuk faham okult yang menjelma dalam pelbagai bentuk tariqat, kebatinan, pendewaan dan bahkan sebagai idealisme politik menawarkan diri kepada mereka sebagai jalan penyelamat. Manusia, bagaimana sekular sekali pun, masih lagi mengidamkan pengalaman numinous yang mampu menimbulkan ketenangan dan kedamaian jiwa. Pengalaman yang biasa mampu dicapai oleh mereka yang kerap berzikir atau mengamalkan ajaran kerohanian. Amalan okult seolah-olah mampu menggantikan zikir dan kerohanian untuk mengisi idaman tersebut. Dalam ajaran okult, mereka menjumpai dimensi holistik yang telah ditingglakan oleh dunia materilistik dan saintifik. Dalam okult dan sihir mereka menjumpai semula simbol-simbol kerohanian dan kebatinan, serta rasa kehebatan mengenai kuasa halus yang berada di luar daya fizik dan material. Unsur-unsur yang telah ditinggalkan oleh budaya fikir milik mereka semasa tetapi anehnya masih mereka perlukan di samping sains, teknologi dan ekonomi moden mereka. Keperluan mereka tersebut menemukan mereka dengan pengamal ilmu kebatinan, orang alim dan sufi, iaitu orang-orang dari kelompok yang menganuti budaya fikir yang berbeza sekali dengan mereka.

     

  7. Kesimpulan

Konsep sains dan falsafah moden telah mula disemat dalam kerangka pemikiran Melayu semenjak zaman kolonial dan berterusan sehingga negara mencapai kemerdekaan. Proses pembudayaan tersebut bertambah giat lagi dalam program pendidikan pasca-Merdeka. Pada akhir tahun 70an dan awal 80an, program-program pendidikan yang menekankan pembelajaran sains secara intensif kepada anak-anak Melayu dijalankan. Program tersebut telah berjaya melahirkan satu masyarakat Melayu yang mempunyai budaya fikir sains. Di kalangan mereka ini wujud keadaan di mana konsep sains dan kosmologi sekular moden seolah-olah telah menggantikan kerangka idea dan kosmologi tradisional. Nilai-nilai asas, estetik, sosial dan juga kepercayaan Melayu lama digantikan dengan kosmologi dan semiotik sains moden. Dari kelompok ini juga timbul faham Mahathirisme yang menjadi subur dikalangan orang Melayu kelas pertengahan dan atasan pada tahun-tahun 80an dan 90an.

Umum cenderung untuk membahagikan minda Melayu sebagai berpaksi kepada dua polar pemikiran yang ekstreme: (i) rasionalis dan (ii) tradisionalis. Mereka yang tergolong dalam kelompok (i) biasanya adaalh dari kalangan kelompok kelas menengah dan atasan, berpendikan moden ala barat. Manakala mereka yang terdiri daripada kelompok (ii) kelas buruh, petani dan nelayan atau berpendidikan tradisional. Pemikiran rasionalis dicirikan oleh objektiviti, sekularisme, empirisme dan materialisme. Pemikiran rasionalis cenderung kepada pemikiran saintifik, kuantitatif dan logik tertib Aristotelian. Manakala, pemikiran tradisional cenderung kepada pemikiran magis, metafizis dan logik bebas tertib yang kabur. Pandangan alam mereka pada asasnya masih memelihara Weltanschauung Kitab Jawi.

Namun begitu kita dapati wujud paradoks dan kontradiksi dalam sejarah perkembangan pemikiran Melayu. Kita dapati di kalangan mereka yang kononnya mewakili kelompok (i), namun masih mempercayai ilmu mistik dan sihir. Kita dapati pula tokoh-tokoh politik, yang berpendidikan barat, bermain sihir. Jelas ilmu mistik dan sihir tergolong dalam dunia kelompok (ii). Sebaliknya juga wujud keadaan di mana mereka yang berada dalam kelompok (ii) berkhidmat atau mendokong cita-cita mereka dari faham (ii). Oleh demikian terdapat semacam bentuk interkasi antara dua alam fikir yang dianggap sebagai terpisah, dan kadang kala dalam konteks yang agak aneh.

Kebangkitan faham Islam pada tahun- tahun 1970an, penubuhan badan ilmiah seperti Akademi Sains Islam (ASASI), dan usaha "islamisasi" ilmu sains oleh para profesional Melayu berpendidikan barat.dan sekular merupakan paradoks dalam sejarah budaya fikir Melayu. Penubuhan pergerakan sosial Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) juga yang di dokong oleh para pemuda yang rata-rata berpendidikan sekular, dan datang dari kelompok (i) merupakan satu lagi fenomena yang tidak mudah untuk dijelaskan sebegitu sahaja dalam konteks model-model analisis sosial yang sedia ada.

Namun begitu beberapa teras faham moden seperti Mahathirisme, misalnya, telah mengujudkan keadaan di mana kemungkinan bagi menyuburkan pemikiran digital dan orang Turing Melayu suatu realiti. Institusi seperti MIMOS dan projek TMK gergasi seperti KRM (MSC) di terajui oleh orang Melayu. Hal ini mungkin menandakan bahawa pemikiran pasca sains moden telah pun timbul di kalangan orang Melayu. Soalnya adakah pemikiran Melayu tradisional masih relevan dalam dunia pasca sains?

(bersambung Kuliah 6)


copyright Hairudin b. Harun 1999
Send comment or question to Hairudin b. Harun: hbharun@pc.jaring.my
Go to Cyber Semiotic Institute home page
Go to Course Outline
Go to Kuliah1 / 2 / 3 / 4 / 6 / 7 / 8