Go to Cyber Semiotic Institute home page
Go to Course Outline
Go to Kuliah1 / 2 / 3 / 4 / 5 / 7 / 8


Weltanschauung Melayu dalam Era Teknologi Maklumat:
Komputer Menjadi Teras Pemikiran atau Punca Tewasnya Pemikiran Melayu?

oleh Hairudin b. Harun

Maklumat:

Komputer Menjadi Teras Pemikiran atau Punca

Tewasnya Pemikiran Melayu?

oleh Hairudin b. Harun

Kuliah 6 (Lecture 6)

 

I. Pengenalan

Dalam kuliah 5 yang lepas, kita telah berkesempatan berbincang tentang persoalan bagaimana konsep sains dan falsafah moden mula disemat dalam kerangka pemikiran Melayu. Proses pembudayaan di kalangan orang-orang peribumi dan orang Melayu, khususnya, telah berjaya melahirkan satu masyarakat Melayu yang mempunyai budaya fikir yang berteraskan kosmologi sains moden. Kosmologi tersebut telah mula sedikit demi sedikit meminggirkan kerangka idea dan kosmologi tradisional yang dipegang oleh kebanyakan oleh Melayu sebelum ini. Nilai-nilai asas, estetik, sosial dan juga kepercayaan Melayu tradisional digantikan dengan kosmologi dan falsafah sains moden. Perubahan tersebut menjadi tapak benih kesuburan yang mencetuskan faham Mahathirisme yang menjadi subur di kalangan orang Melayu kelas menengah dan atasan pada tahun-tahun 80an dan 90an.

Namun begitu, kita perhatikan bahawa wujud paradoks dan kontradiksi dalam sejarah perkembangan pemikiran Melayu. Kita dapati terdapat semacam bentuk interaksi antara dua alam fikir lama dan baru, dan kadang kala dalam konteks yang agak aneh. Kontradiksi seperti ini tidak menjadi masalah besar dalam konteks kerangka faham moden seperti Mahathirisme. Hal ini kerana Mahathirisme mengamalkan sikap yang agresif dalam menghadapi persaingan pandangan. Pendekatan "cantas dan tebang" menjadikan sebarang faham tradisional yang dianggap tidak secocok dengan budaya fikirnya akan di lenyet serta dibasmi. Di dalam kerangka pemikiran alam fikir maya yang berteraskan konsep digitalisasi, peleburan kontradiksi seperti itu dapat dicapai dengan efisien. Dalam alam maya, misalnya, hakikat, realiti, impian, dan kebenaran seolah-olah tidak terpisah. Dalam dunia maya, harimau belang boleh bertukar menjadi manusia hitam dan yang hitam boleh diputihkan dengan sekelip mata. Tegasnya, yang hitam tidak semestinya hitam selama-lamanya dan yang putih tidak semestinya hakikatnya putih. Dunia mistik dan khayalan dengan dunia objektiviti, empiris dan fizis sains seolah-olah wujud secara harmoni dalam dunia alam maya dan digital perkomputeran. Namun kita akan lihat dalam perbincangan seterusnya bahawa Mahathrisme menyerap pandangan hanya sebagai lanjutan daripada pemikiran saintifik klasik dan bukan kerana untuk mengharmonikan pandangan alam tradisional dengan kerangka pandangannya.

Bahkan penerimaan Mahathirisme kepada budaya fikiran digitalisasi dalam dunia alam maya lebih disebabkan keserasian kerangka fikir serta keupayaan budaya fikir tersebut mengukuhkan teras ideologi dan fahamnya. Kerana itulah migrasi kepada pemikiran digital seolah-olah kelihatan satu langkah yang logikal selepas budaya saintifik. Ditambah pula dengan faktor luaran yang berkebetulan pula menjadikan pemikiran digital dan komputasi sebagai arus perdana dunia semasa. Ditambah pula juga dengan manifestasi teknologi dan material, dengan bantuan pengiklanan "hype" yang agresif mempromosikan teknologi digital dan perkomputeran sebagai teknologi dan wahana kemajuan alaf baru berjaya menambat hati sebahagian besar orang Melayu. Namun, Mahathirisme tetap boleh di katakan sebagai bertanggungjawab menyediakan dan mengujudkan keadaan di mana kemungkinan bagi menyuburkan pemikiran digital di kalangan orang Melayu lebih mudah. Tegasnya, dalam kerangka Mahathirisme mengujudkan "orang Turing Melayu" (yang setanding dengan orang Turing Barat) bukanlah suatu yang payah sangat.

 

II. Penginstitusian Digitalisasi

Pada 1 Januari 1985 Institut Sistem Mikroelektronik ditubuhkan sebagai sebuah unit kecil di bawah Jabatan Perdana Menteri. Lebih dikenali dengan singkatan, MIMOS, tujuan utama unit ini ialah untuk mengembeling tenaga watan dalam membangunkan industri berasaskan elektronik. Pada tahun 1990 MIMOS dinaikkan taraf kepada sebuah Jabatan penuh dan diletakkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar. Dengan peningkatan ini, peranan MIMOS lebih terarah kepada mempromosikan dan menyediakan negara untuk melayari lebuh raya informasi dan menunggangi arus teknologi maklumat.

Institusi seperti MIMOS, dan kemudiannya projek TMK gergasi seperti KRM (MSC), di terajui oleh orang Melayu. Kepentingannya bukan sekadar hanya terletak pada hakikat itu. Kepentingan sebenar terletak kepada siapa dan jenis Melayu yang terpilih menerajuinya. Hal ini bertambah jelas apabila kita menoleh ke arah Tengku Mohd. Azzman Sharifadeen, Pengarah pertama MIMOS, yang kemudiannya terus menarujui MIMOS Bhd. sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Tengku (panggilan mesra yang lebih beliau senangi), merupakan seorang anak Melayu yang terdidik dalam bidang sains dan kejuruteraan. Beliau merupakan pakar sains jurutera yang unik kerana turut menguasai bidang yang biasanya amat asing dengan bidang kepakaran kejuruteraan elektronik, iaitu bidang falsafah ilmu, epistemologi Islam dan falsafah sains. Jelas, Tengku merupakan antara anak didik pasca Merdeka, yang dihantar ke United Kingdom melanjutkan pelajaran dalam bidang sains dan teknologi. Sekembali ke Malaysia, beliau bertugas pensyarah di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya. Tidak berapa lama kemudian, Profesor Ungku Aziz, Naib-Canselor Universiti Malaya ketika itu, melantik beliau sebagai Dekan, Fakulti Kejuruteraan. Lantikan tersebut dibuat walaupun berbanding pensyarah dan profesor, terutama bukan-Melayu, yang ada di Fakulti tersebut ketika itu beliau dianggap agak muda. Namun begitu, beliau boleh di katakan berjaya menghadapi cabaran memikul tanggungjawab sebagai Dekan. Kejayaan beliau tersebut jelas mendapat perhatian dari luar kampus Universiti Malaya. Sudah menjadi kebiasaan ketika itu, apabila Mahathir merangka pelan tindakan untuk membawa Malaysia ke arah menceburi industri berat, beliau menoleh ke arah Universiti sebagai sumber tenaga mahir, terutamanya Universiti Malaya. Industri elektronik dikenal pasti sebagai bidang jelmaan baru yang harus diceburi oleh Malaysia. Berteraskan konsep Unit-Unit di JPM, misalnya Unit Perancangan Ekonomi, yang berjaya menjadi pusat-pusat idea, pemangkin dan kawalan sebarang arus serta arah perkembangan setiap sektor pembangunan di negara ini, unit mikroelektronik di ilhamkan. Antara nama-nama yang di calonkan sebagai Ketua pengasas, nama Tengku adalah di antaranya. Terdapat dua-tiga versi tentang siapa sebenarnya yang mengajukan nama beliau kepada Mahathir, dan kenapa beliau terpilih daripada antara calon-calon lain, namun hal tersebut tidaklah begitu penting berbanding dengan hakikat bahawa pencalonan beliau dipersetujui oleh Mahathir.

Pemilihan penumpuan Mahathir kepada mikroelektronik pada awalnya adalah semata-mata dalam konteks kerangka program perindustrian semasa. Bahkan mikroelektronik ketika itu masih di lihat tidak lebih sebagai sebahagian daripada sektor industri perkakasan elektronik. Industri perkomputeran dan teknologi maklumat belum lagi disedari dengan meluas oleh perancang dasar S&T tempatan sebagai industri jelmaan baru yang menjadi penjana kekayaan dalam dunia pasca industri. Bahkan ketika itu Malaysia baru sahaja ingin melangkah kepada era industri berat, berbanding dengan Amerika dan Eropah yang mula bersedia melangkah kepada era pasca industri. Juga dalam awal tahun 1980an, konsep pemetaan teknologi (Technology Mapping) dan kaedah pencaman masa depan teknologi (Technology Foresight) merupakan suatu yang amat asing di Malaysia. Bahkan idea komputer peribadi, e-mel atau lebuh raya maklumat hampir tidak kedengaran melainkan di kalangan beberapa elitis ilmuwan teknikal. Tegasnya, mikroelektronik pada awalnya dipilih sebagai lanjutan manifestasi paradigma sains moden dan kerangka budaya fikir sains moden yang dianuti oleh generasi berbudaya fikir S&T yang diwakili oleh Mahathir. Beliau merupakan antara generasi anak tempatan yang terawal melalui pendidikan sains kolonial. Beliau kerap mendakwa bahawa pendidikan kolonial beliau sebagai doktor banyak mempengaruhi kejayaan tindakan dan pandangan beliau dalam pelbagai bidang, termasuk dalam percaturan politik (antara prinsip doktor kolonial: "kaki-tangan yang tidak berguna - dicantas"). Oleh itu beliau boleh dianggap sebagai lambang serta contoh par excellence bagaimana pandangan alam anak tempatan telah berjaya di robah melalui pendidikan sains kolonial. Ketika beliau graduan dari Kolej Perubatan kolonial di Singapura, beliau seolah-olah merupakan spesies mutasi yang asing dari kalangan anak tempatan. Pandangan alam yang beliau anuti sebagai graduan doktor kolonial amat asing dengan pegangan utama kebanyakan masyarakat semasa. Namun, kemudiannya kedudukan beliau sebagai Menteri Pendidikan, Timbalan Perdana Menteri dan akhirnya Perdana Menteri memberi peluang yang amat ampuh bagi beliau untuk menentukan agar pandangan alam yang beliau anuti di terima seluas-luasnya. Tengku pula adalah hasil polisi pendidikan pasca merdeka, terutama di bawah polisi menghantar berduyun-duyun anak-anak Melayu ke Barat untuk mendapat pendidikan S&T pada awal tahun 1970an. Tengku kembali ke tanah air ketika pandangan alam tempatan tentang S&T agak positif dan kempen revolusi mental yang dipelopori oleh beberapa tokoh UMNO mula mendapat perhatian. Tengku kembali ke tanah air ketika anak-anak Melayu yang cerdik sains dan yang tidak dipaksa berduyun-duyun mempelajari S&T. Pada zaman Tengku juga bermulanya beberapa inisiatif dan affirmative action oleh Universiti tempatan dalam bentuk Asasi Sains dan Matrikulasi Sains diperkenalkan bagi menambah jumlah pelajar sains Melayu di IPTA-IPTA. Tengku juga kembali ketika suasana ilmiah agak mula subur khususnya gelombang intelektual alternatif dan kritikal yang mempersoalkan budaya intelektual barat semata-mata. Tuntutan kepada pandangan yang lebih luas dalam pelbagai bidang dan pandangan alternatif tentang sains dan teknologi barat di institusikan di Universiti Malaya di bawah kursus sejarah dan falsafah sains di fakulti sains. Kursus tersebut diwajibkan ke atas kesemua pelajar sains. Kursus tersebut diperkenalkan oleh Profesor Ungku Aziz, dan Tengku merupakan antara mereka yang diminta memikul tugas pengisiannya. Mungkin tanggungjawab pengajaran tambahan tersebut di luar bidang dan fakulti kejuruteraan mendorong beliau untuk menguasai ilmu falsafah sains dengan lebih mendalam lagi.

Apakah hubungan kesemua itu dengan usaha penginstitusian pendigitalan minda Melayu? Banyak, dan di pelbagai peringkat pula. Peringkat pertama ialah tentang sifat arus perdana yang melanda perubahan dunia semasa. Kini lebih dikenali dengan jolokan arus ketiga Tofler, iaitu tentang ledakan informasi (maklumat sintaktik) yang bukan sahaja meminggirkan peranan maklumat klasik (maklumat semantik); bahkan turut akan terhakis ialah kerangka dan struktur yang menampung maklumat semantik tersebut. Tidak ramai yang mampu memahami implikasi intelektual dan kebudayaan di sebalik fenomena tersebut. Kebanyakan antara mereka yang faham pula hanya mampu melihat perubahan itu daripada sudut sosioekonomi atau teknologi semata-mata, dan mereka tidak mampu melihat apatah lagi memahami dampak tersebut daripada dimensi epistemologikal yang lebih tinggi dan menyeluruh. Tengku adalah segelintir kecil cendekiawan yang memahami kesemua itu, bukan sahaja dari sudut techne semata-mata tetapi juga dari sudut episteme.

Tengku memahami bahawa ledakan arus tersebut akan merubah setiap sektor sosioekonomi tradisional secara menyeluruh. Keupayaan menangani sebarang perubahan seperti itu hanya mungkin apabila kerangka pemikiran berupaya disediakan untuk melayari arus tersebut. Kesediaan seperti itu harus berlaku pada setiap kategori komuniti, dari puak peniaga kepada puak pentadbir dan pendidik. Bahkan mereka yang bertani dan berkebun juga harus disediakan menghadapi arus tersebut. Penyediaan kerangka fikir dan merubah paradigma masyarakat untuk menghadapi arus tersebut merupakan usaha yang besar dan harus dilakukan mengikut langkah-langkah yang tersusun. Usaha menyeluruh seperti itu jelas harus diinstitusikan. Di sinilah peranan Majlis IT Nasional (NITC). Kepentingan Majlis ini terserlah apabila Mahathir sendiri mempengerusikannya dengan Tengku pula Setiausahanya serta MIMOS sebagai sekretariatnya. Tanda perubahan fahaman Mahathir dari mikroelektronik hanya dalam konteks agenda perindustrian kepada mikroelektronik dalam konteks digitalisasi atau IT berlaku pada tahap ini. Tengku merupakan orang yang bertanggungjawab "mendidik" Mahathir dalam perubahan tersebut.

Peranan MIMOS juga berubah daripada fungsi terhad dalam menggalakkan perindustrian mikroelektronik kepada peranan yang lebih luas sebagai sekretariat NITC. Majlis mempunyai beberapa objektif, antara yang terpenting ialah (i) bagi menentukan strategi penggunaan serta perkembangan IT, (ii) bagi menggalakkan penggunaan IT bagi tujuan meningkatkan prestasi organisasi dan individu di setiap peringkat masyarakat. Antara fungsi yang diinstitusikan bagi mencapai objektif tersebut ialah tindakan-tindakan untuk meningkatkan kesedaran sosial dan kesedaran kepentingan IT, tegasnya pembudayaan IT.

 

III. Pembudayaan IT (atau TM)

Pembudayaan IT atau TM bukan sekadar bererti meluasnya penggunaan komputer di kalangan orang awam terpilih. Pembudayaan TM juga bukan semata-mata terlaksana dengan sektor -sektor awam seperti pendidikan, kesihatan, perniagaan dan media massa beroperasi berteraskan teknologi perkomputeran. Pembudayaan TM juga bererti bahawa idea pembangunan (suatu konsep moden yang kini diterima oleh orang Melayu, amnya) serta objektif kesejahteraan se kelompok dimungkinkan tercapai dalam lingkungan waktu tertentu melalui mediasi TM. Budaya fikir individu dan masyarakat semasa harus diselaraskan dengan pemikiran TM. Ini merupakan satu faham yang diinstitusikan melalui NITC. Faham ini juga disebut sebagai pembudayaan TM menurut orang Turing (di bincang dalam kuliah 7). Pada asasnya, itu semua ialah lanjutan daripada penerapan budaya fikir saintifik, yang mana Mahathir telah terlatih dan mengakui dengan bangga, sama ada secara lisan atau tulisan, menghayatinya. Begitu juga Tengku yang turut terlatih dalam bidang yang sama. Hanya bagi Mahathir, pemikiran Turing tidak lebih sebagai lanjutan daripada pemikiran saintifik klasik. Mungkin sebab itulah kita tidak hairan sekiranya beliau berpegang kepada pandangan bahawa pemikiran tradisional tidak selari dengan Pemikiran TM (atau pemikiran Turing); pandangan tersebut hanya lanjutan daripada anggapan klasik bahawa pemikiran tradisional sebagai antitesis pemikiran saintifik.

Pembudayaan TM bererti komputer digunakan secara meluas dan maksimum oleh setiap peringkat orang awam bagi tujuan insani. Sektor awam menggunakan TM bagi tujuan peningkatan khidmat dan kecekapan untuk rakyat terbawah dan terbiar. Prasarana asas TM diwujudkan di setiap ceruk kawasan. Pemikiran TM diselaraskan dengan budaya fikir dan idealisme yang mengutamakan nilai-nilai insani yang murni. Pembangunan bererti menuju kepada pembentukan masyarakat maddani secara kelompok dan insan-al-kamil pada peringkat individu melalui mediasi TM. Ini merupakan satu lagi ragam faham yang lain. Faham ini disebut sebagai pembudayaan TM menurut "insan al-kamil."

Faham pertama melihat komputer dan TM sebagai satu-satu wahana intelektual dan sosial yang mampu membawa kesejahteraan di dunia ini. Motif penggerak faham ini adalah budaya niaga yang berteraskan keuntungan dan monopoli komersial. Dalam pemikiran seperti ini sesuatu yang menguntungkan dari segi perhitungan niaga akan sendirinya mendapat tempat dalam masyarakat. Oleh itu sekiranya sesuatu tahap teknologi itu tidak mendatangkan untung niaga maka ia tidak akan dipupuk. Keperluan masyarakat atau perhitungan keperluan insan di letakkan sebagai satu fungsi sekunder keuntungan. Faham ini merupakan pegangan perdana dan mendapat tempat utama di kalangan para ahli korporat dan politik semasa.

Manakala faham pembudayaan TM yang kedua lebih menekankan kepentingan insani. Oleh kerana itu corak pembudayaan TM diwarnakan mengikut untung ruginya masyarakat terbanyak. Faham kedua juga melihat arus pembudayaan TM harus diikat dengan norma dan nilai transenden yang termaktub dalam kitab-kitab yang ditanzilkan dari langit. Faham ini terpinggir dan berlegar di kalangan para akademis, intelektual dan ulama.

Hal ini menggambarkan suasana umum yang wujud di kalangan masyarakat setempat dalam memahami isu pembudayaan TM. Perbezaan faham-faham tersebut, terutamanya yang merujuk kepada faham kedua, telah membangkitkan komen bahawa hal tersebut timbul daripada jurang pengalaman cetek masyarakat kita khasnya kelompok yang mewakili faham kedua tersebut. Komen ini mungkin mempunyai asasnya apabila kita merujuk kepada pengalaman singkat masyarakat kita dengan TM dan teknologi perkomputeran berbanding dengan masyarakat di Amerika Syarikat. Namun penyelesaian ilmiah tentang dakwaan ini harus mendapat sokongan daripada penelitian rapi dan padanan dari pengalaman masyarakat yang mencetuskan teknologi perkomputeran dan menghayatinya sekian lama berbanding dengan kita.

Hal tersebut mungkin dapat diperjelaskan dengan merujuk kepada sejarah perkembangan komputer peribadi di Amerika Syarikat. Kita dapati walaupun teknologi membina komputer peribadi telah wujud semenjak awal tahun 1970-an dan keperluan awam kepada komputer seperti itu turut wujud, namun industri komputer gergasi pada ketika itu tidak berminat untuk membinanya atas sebab dasar korporat dan komersial semasa. Akibatnya "pendemokrasian komputer" dalam bentuk komputer peribadi di kalangan orang awam di AS terbantut dan "panji pendemokrasian" tersebut disambut dan disemarakkan oleh kalangan anak-anak muda yang berada di luar industri perdana perkomputeran ketika itu. Anak-anak muda tersebut telah meredah dan melawan arus perdana perkomputeran pada ketika itu yang sentiasa mengutamakan yang komputer saiz mega iaitu yang paling besar, paling berat dan paling tinggi. Bagi anak-anak muda tersebut komputer bukan sahaja untuk kelompok elitis yang besar, yang kaya dan yang berkuasa tetapi lebih bererti kepada mereka yang perlu dan yang berkebanyakan. Keyakinan dan keberanian anak muda tersebut berpusat di bilik kecil terpencil dengan bantuan alatan murah. Namun kecekalan mereka telah memungkinkan terciptanya komputer peribadi yang mencetuskan fenomena pendemokrasian komputer awal. Tanpa fenomena pendemokrasian awal ini perkembangan terpenting dalam TM iaitu jaringan antara komputer peribadi dalam bentuk Internet tidak mungkin boleh berlaku.

Adalah jelas dalam hal pendemokrasian komputer yang menjadi salah satu ciri teras kepada idea pembudayaan TM terdapat jurang yang besar antara arus pemikiran yang dicetuskan oleh kelompok kepentingan niaga dan kelompok kepentingan awam atau ilmiah. Turut juga jelas bahawa perbezaan tersebut bukan terletak kepada kecetekan faham atau pengalaman tetapi lebih daripada itu. Perbezaan tersebut hanya dapat difahami dengan merujuk premis andaian sosial dan konsep epistemologi asas dalam perkembangan teknologi perkomputeran dan TM.

Namun yang penting sekali, komputer peribadi mampu di hubung dan berkomunikasi sesama sendiri. Pembudayaan dan pendemokrasian sebenar komputer dimungkinkan oleh keupayaan perhubungan tersebut. Satu masa dahulu, berjuta-juta komputer peribadi wujud di dunia, namun dalam keadaan tersendiri dan terpisah antara satu sama lain. Komputer yang berkeadaan seperti itu adalah terhad dari segi potensi, sama seperti manusia yang terpisah dan hidup berseorangan, tetapi dalam kelompok sosial, seperti manusia, potensi komputer hampir tidak terhad. Kini komputer yang terpisah selama ini antara satu sama lain oleh sempadan geografis dan politik, boleh berhubung, hatta melalui rangkaian telefon biasa, dan dengan itu mencetuskan fenomena tekno-sosial perkomputeran baru yang lebih dikenali kini sebagai internet. Peranan Internet dalam menangani soal-soal sosial dan intelektual semasa tidak lagi asing bagi kita dewasa ini. Suasana politik dan sosial akhir-akhir ini telah menjadikan internet sesuatu alat komunikasi dan sumber maklumat terpenting. Apakah nilai komunikasi dan maklumat itu dari segi kepentingan ilmiah dan sosial? Hal tersebut merupakan antara persoalan-persoalan asas yang harus di renungkan bersama.

Tengku, merupakan antara segelintir cendekiawan tempatan, yang menyedari persoalan tersebut dan implikasi menyeluruh penghayatan digitalisasi kepada Weltanschauung serta masyarakat peribumi. Beliau pernah merakamkannya, dalam kedua-dua bentuk tulisan dan lisan, tentang kerangka empat prinsip asas dan tujuh cabaran yang harus dihadapi oleh masyarakat tradisional. Pada asasnya, menurut beliau:

Prinsip 1: Digitalisasi menyatukan dunia ke dalam satu ruang di mana masyarakat,budaya, ekonomi dan bahkan politik tidak lagi terpisah dalam sempadan tradisional. Dalam dunia ini kaedah governance dan undang-undang tradisional tidak lagi terpakai. Struktur kerangka kuasa dari atas ke bawah digantikan dengan yang lebih mendatar dan egalitarian.

Prinsip 2: Digitalisasi harus difahami oleh masyarakat tradisional dari segala sudut. Hanya dengan kefahaman dan ilmu tentangnya memungkin ianya ditundukkan mengikut hala tuju yang dikehendaki. Tengku mengumpamakan dengan haiwan liar yang boleh dijinakkan dan tunggani bagi membawa masyarakat tradisional ke arah yang diingini. Kegagalan menjinakkannya boleh mengakibatkan masyarakat tradisional diratah olehnya.

Prinsip 3: Digitalisasi dan teknologi maklumat adalah amat berbeza daripada sains dan teknologi moden tradisional. Digitalisasi merubah mod, dasar dan kerangka yang melibatkan sekali gus persoalan kognitif peringkat individu dan masyarakat. Perubahan tersebut menyentuh tentang pemikiran, ilmu dan kuasa membuat keputusan yang amat berbeza daripada kerangka yang dituntut oleh sains dan teknologi moden tradisional (iaitu S&T abad ke-19 hingga pertengahan ke-20).

Prinsip 4: Faham-faham tradisional, terutamanya yang berteraskan prinsip dan paradigma Islam seolah-olah serasi dengan idea tanpa-sempadan digitalisasi. Konsep ummah, berilmu dan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar tersimpul dalam prinsip keserataan mendatar. Pemerintah, tua, muda, kaya dan miskin harus terlibat menghayati prinsip tersebut. Nilai kekuasaan dan keupayaan yang ada pada mereka bagi merealisasikan prinsip tersebut dianggap serata sama. Konsep ini amat serasi dengan prinsip 1 yang dinyatakan di atas.

Cabaran bagi masyarakat Melayu, menurut Tengku, ialah bagaimana hendak merealisasikan keempat-empat prinsip yang dijelaskan tadi. Sekiranya prinsip tersebut terlaksana, maka bagi beliau, ia akan hanya menguntungkan orang Melayu dan Weltanschauungnya turut terpelihara. Tegasnya, berbanding dengan Mahathirisme, pandangan Tengku agak lembut serta lebih cenderung menekankan bahawa tidak terdapat sebarang percanggahan yang serius antara Weltanschauung tradisional Melayu yang berprinsipkan Islam dengan paradigma digitalisasi. Tengku telah mengumpulkan pandangan beliau tersebut dalam kerangka tujuh kelompok cabaran besar: (1) cabaran konsep ilmu; (2) cabaran S&T moden; (3) cabaran infrastruktur; (4) cabaran ekonomi; (5) cabaran sosi0-budaya; (6) cabaran politik; dan (7) cabaran moral dan agama.

Kita tidak berkesempatan untuk mengupas kesemua cabaran-cabaran tersebut. Namun yang penting dalam konteks perbincangan di sini ialah cabaran (1) dan (2). Dalam cabaran (1) budaya fikir Melayu berhadapan dengan falsafah moden dan epistemologi ilmu barat, sebahagian besarnya terasas pada zaman Renaissance dan Enlightenment, yang memperasakan prinsip sekularisme dan rasionalisme melampau. Isme-isme seperti materialisme, evolutionisme, reduksionisme dan sepertinya jelas bercanggah dengan prinsip dan paradigma tradisional Melayu-Islam. Digitalisasi dan TM, membuka asakan dari sudut epistemologi dan wahana pengaliran maklumat dan ilmu dalam kadar pengaliran yang tidak bersempadan dan bertepi, tidak kira sama ada diminta atau tidak, sengaja dipanggil atau ditolak. Digitalisasi, jelas tidak mempedulikan unsur transenden dalam ilmu, bahkan ia tidak juga menyokong sekularisasi ilmu. Digitalisasi hanya meletakkan kedua-dua jenis ilmu pada nilai yang sama, atau perbezaan nilai kedua-dua ilmu itu terletak pada keupayaannya didigitalisasikan. Seolah-olah digitalisasi kini mendatarkan semula persaingan antara epistemologi moden dengan epistemologi tradisional; dengan itu memberi peluang semula bagi epistemologi tradisional mengimbangi saingan berat sebelah yang telah dinikmati oleh sekularisme dan saintisme selama ini. Digitalisasi memberi kuasa baru dan tanggungjawab yang amat tinggi kepada individu; penyekatan kebebasan, idea dan tingkah laku di letak atas bahu individu dan bukan pemerintah. Idea kebebasan seperti ini amat janggal bagi kebanyakan kerajaan, terutamanya yang masih menguasai masyarakat tradisional dan Islam. Penyekatan dan tapisan maklumat, yang berteraskan prinsip kuno - yang berkuasa paling bertanggungjawab dan paling tahu - tidak lagi selari dengan tuntutan perkembangan era digitalisasi. Pengalaman pahit yang dialami,dewasa ini, oleh sesetengah kerajaan yang inginkan kemajuan digitalisasi ekonomi dan ilmu, tetapi dalam masa yang sama ingin mengekalkan tapisan, sekatan maklumat serta kebebasan terhad merupakan contoh percanggahan "kefahaman dengan keinginan" yang baik. Tapisan dan kebebasan bersyarat pemerintah, jelas merupakan paradigma lama yang tetap akan gagal dalam era digitalisasi. Dasar tersebut boleh disamakan dengan penguasa yang membuat lebuh raya besar yang canggih tetapi memaksa rakyatnya semuanya berkereta lembu dan kuda, dengan alasan bahawa arahan itu perlu untuk mengelakkan kemalangan dan kelajuan memandu lebih dari hadnya! Paling memalukan ialah pengekalan sekatan seperti itu hanya memperlihatkan kecetekan dan ketololan penggubal dasar itu.

Cabaran (2) yang terpenting, mengikut pandangan Tengku, ialah konsep nilai-bebas dan keneutralan S&T moden. Idea kebenaran mutlak dan kesahihan saintifik melampau merupakan mitos yang pegang oleh kebanyakan kelompok moden yang tidak kritis dan tidak celek sejarah ilmu. Bagi mereka yang berada dalam bidang sains dan teknologi, mereka melihat bagaimana S&T tidak seperti gambaran idealnya. Kita tahu bahawa kebenaran dan kesahihan dalam sains adalah relatif. Faktor-faktor nilai dan sosiopolitik masyarakat yang mengasaskannya turut mempengaruhi perkembangan S&T. Kita tahu yang terbaik dan yang paling berguna tidak semestinya diterima, bahkan adakala yang paling berbahaya dan paling tidak menguntungkan orang ramai itu yang dipupuk. Antara contohnya ialah seperti teknologi bom nuklear dan "teknologi lupus" (iaitu teknologi bagi memendekkan dengan sengaja had kebergunaan sesuatu alat, agar pengguna terpaksa terus membeli sama ada komponen tertentu atau menggantikannya selepas had penggunaan lupus). Persoalan dampak intelektual S&T ini amat penting dalam konteks perkembangan Weltanschauung Melayu. Wacana yang agak penting dewasa ini, yang harus diikuti oleh mereka yang ingin memahami persoalan tersebut, ialah seperti yang pernah diketengahkan oleh Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI).

 

  IV: S&T dalam Kerangka Fikir Orang Melayu

Wacana dan pandangan ASASI merupakan contoh terbaik bagi memperlihatkan kompleksiti Weltanschauung Melayu dalam menghadapi asakan pemikiran saintifik moden seperti yang telah digariskan oleh Tengku dalam cabaran (2)nya di atas tadi. Juga seperti yang telah diulas pada kuliah yang lepas, kepentingan ASASI ialah kerana ia merupakan persatuan yang ditaja oleh para cendekiawan Melayu baru yang kebanyakan dilatih di luar negeri dalam bidang sains, teknologi dan seni moden. Namun dalam masa yang sama mereka mempertahan Weltanschauung Melayu tradisional, khususnya yang bersangkut paut dengan kosmologi Islam. Kerana itulah memahami pandangan ASASI mewakili satu gagasan pandangan Melayu moden yang amat penting dalam usaha memahami perkembangan Weltanschauung Melayu dalam konteks era TM. Dari segi prinsipnya ASASI menjadikan objektif organisasi dan matlamat perjuangannya bagi merealisasikan:

 
1. Pembudayaan S & T yang serasi dengan etika dan akal budi/kosmologi Melayu-Islam

2. Penguasaan S & T di kalangan warga Melayu-Islam

3. Perserataan prasarana S & T di kalangan warga Melayu-Islam
 

Objektif (1) dan (2) merupakan persoalan yang menarik minat kita. ASASI memilih antara asas perjuangannya ialah sebagai menentukan nasib dan ketahanan warga Melayu-Islam dalam perkembangan S & T semasa. Paksi perjuangan itu ialah dalam kerangka memupuk, memelihara, menjamin dan mengukuhkan ketiga-tiga premis yang disebut di atas tadi. Suatu hal yang jelas ialah betapanya pembudayaan, penguasaan dan perserataan S & T di kalangan warga Melayu-Islam bersimpul rapi dengan ikatan daulat bahasa dan maruah bangsa. Sebarang kelonggaran usaha atau kemalapan isyarat dalam mendaulatkan bahasa dan juga dalam menjaga kedudukan maruah bangsa akan melepaskan gelombang yang akan menghakis perlaksanaan dan kejayaan ketiga-tiga premis tersebut. Oleh kerana itu perjuangan bahasa adalah sebahagian daripada perjuangan ASASI.

Pandangan ASASI penting kepada perbincangan kita di sini ialah kerana sebagai sebuah organisasi ilmiah bukan kerajaan, ASASI memperjuangkan pembudayaan, penguasaan dan perserataan S & T yang serasi dengan akal budi murni Melayu-Islam semenjak hampir tiga dasawarsa yang lalu. ASASI baru-baru ini telah sekali lagi mengetengahkan beberapa soal penting yang menyentuh nasib dan maruah Melayu-Islam dalam S & T. Antara soal tersebut ialah hubungan kejayaan pendidikan S & T warga Melayu-Islam dengan kejayaan Bahasa Melayu sebagai wahana pendidikan dan wacana unggul S & T di rantau ini.

Telah diketahui umum bahawa Mahathirisme menganggap bahawa persoalan mendaulatkan bahasa Melayu tidak ada kena mengena dengan agenda pembudayaan S&T di kalangan orang Melayu. Pendaulatan bahasa Melayu hanya mungkin sah dalam dunia subjektif sastera dan panggung sandiwara sahaja, bukan dalam dunia objektif dan persaingan serius. Bahkan Mahathirisme, menganggap agenda bahasa Melayu mungkin sahaja boleh mengengkang kejayaan penerapan S&T di kalangan orang Melayu. Memang ada kebenaran di sebalik penegasan Mahathirisme itu. Hanya, kegagalan itu bukan dalam penerapan S&T per se tetapi kepayahan itu ialah dalam menerapkan S&T sekular ala barat ke dalam budaya fikir orang Melayu. Namun begitu, minat kita ialah kepada hujah di sebalik penegasan Mahathirisme bahawa bahasa Inggerislah wahana intelektual unggul yang memungkin pembudayaan menyeluruh orang Melayu. Dalam ahli ini, ASASI telah membuat jawapan ilmiah dan analisis yang agak tajam. Mengikut ASASI kepercayaan melampau Mahathirisme kepada bahasa Inggeris sebagai wahana S&T berpunca dari silap faham yang didasari beberapa mitos usang. Antara mitos-mitos tersebut ialah mitos Bahasa Inggeris dan S & T:

 

Mitos I: Bahasa Inggeris bahasa sains dan teknologi.

Peranan Bahasa Inggeris dalam perkembangan S & T adalah suatu fenomenon yang agak baru. Peranan bahasa Inggeris dalam perkembangan S & T moden hanya baru mencecah dua abad. Itu pun sekiranya kita membelakangkan fakta sejarah dengan sengaja mengecilkan peranan bahasa Eropah lain seperti Perancis, Jerman dan Rusia dalam perkembangan S & T moden. Peranan bahasa tamadun besar lain seperti bahasa Mesir, Yunani, Hindi, Cina dan Arab dalam sejarah perkembangan S & T purba dan klasik pada umumnya telah bertakhta sebagai wahana wacana terunggul antara tujuh hingga sepuluh abad. Apabila dipadankan dengan Bahasa Inggeris, kita akan dapati bahawa bahasa tersebut belum lagi dapat mendakwa keunggulan mutlak daripada segi tahap dan peranannya dalam perkembangan S & T sebagai setanding dengan bahasa-bahasa tamadun besar dunia yang lampau, terutamanya bahasa Yunani dan Arab.

Pendedahan awal warga Melayu-Islam kepada S & T moden berlaku melalui wahana dan wacana Bahasa Inggeris. Pendidikan kolonial mengutamakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar ilmiah dan meminggirkan bahasa ibunda lain dalam bidang ilmu serta urusan rasmi. Buku-buku S & T dalam Bahasa Inggeris memasukkan sentimen Inggerisofili, antaranya dengan membesar-besarkan peranan tokoh S & T Inggeris berbanding dengan tokoh dari negara lain. Sejarah perkembangan S & T moden telah merakam beberapa percanggahan dan perbahasan hangat mengenai dakwaan dalam hal pengasas sesuatu penemuan sains atau teknologi. Britain dengan negara Eropah yang lain pernah berkelahi beberapa kali mengenai isu perintis dalam penemuan sains, dan yang paling terkenal ialah yang melibatkan tokoh sains Inggeris terkemuka Isaac Newton dan tokoh sains bangsa Perancis-Jerman, Leibniz tentang kalkulus. Perkelahian seperti ini berlaku dalam banyak bidang lagi terutamanya antara Eropah Timur dengan Barat (dahulunya blok komunis dengan blok bukan komunis) malah dengan Jepun. Bahkan baru-baru ini ahli sains Perancis dan Amerika Syarikat pula telah berkelahi mengenai siapa yang pertama menemui virus AIDS. Hakikatnya ialah dalam sejarah S & T berlaku berulang-ulang kali penemuan S & T yang serentak oleh dua atau lebih orang di beberapa tempat yang terpisah. Ini telah diterima sebagai satu hukum dalam sosiologi ilmu pengetahuan. Contoh konkret lagi daripada sejarah sains yang unggul ialah penemuan serentak "hukum Boyle" oleh Boyle dan Marriotte. Begitu juga penemuan serentak mengenai hubungan sifat unsur dengan berat atom oleh ahli sains di England (Newland), Jerman (Lothar-Meyer) dan Rusia (Mendeleev),dan oleh itu perkelahian tentang penemuan konsep jadual berkala. Dalam hal penemuan ini, misalnya, buku-buku S & T dalam bahasa Inggeris semasa itu mengketengahkan peranan Newland, manakala di Jerman, Lothar-Meyer dianggap pengasas ulung manakala di Rusia hanya nama Mendeleev dikenali manakala nama dan peranan Newland dan Lothar-Meyer langsung tidak diketahui oleh masyarakat sains Rusia. Sentimen seperti itu adalah suatu yang lumrah dalam pencaturan maruah bangsa dan negara, walaupun perkara ini melibatkan penegasan kebenaran sejarah yang sekerat-sekerat. Namun, perkara yang tidak harus dilupakan ialah betapa kegiatan-kegiatan S & T di negara-negara yang menjadi persaingan S & T ini, umpamnya di negara-negara yang dikelaskan sebagai negara maju sekarang (atau G7) seperti Jerman, Perancis, Italia, Rusia dan Jepun tidak dijalankan dalam bahasa Inggeris yang serng menutup mata hati kita tentang sejarah tamadun manusia selama ini. Penemuan S & T di Perancis, Jerman, italia, Rusia, Jepun dan lain-lain negara yang kaya dengan S & T itu bukan disebabkan Bahasa Inggeris dijadikan wahana ilmiah dan media wacana eksklusif S & T. Di samping itu penemuan-penemuan sains pada abad ini terus-menerus berlaku dengan banyaknya di dalam bahasa-bahasa bukan bahasa Inggeris, sama ada di Eropah atau di Jepun. 

Pendidikan S & T dan proses pembudayaan awal S & T di kalangan warga Melayu-Islam pada zaman kolonial Inggeris memusatkan sentimen Inggerisofili yang berkisar kepada pendaulatan Bahasa Inggeris dan agenda maruah bangsa Inggeris dalam S & T. Mitos bahasa Inggeris bahasa teknologi berpunca daripada sentimen tersebut. Malangnya pendidikan S & T pasca-merdeka meneruskan sentimen ini terutamanya dalam sekolah dwialiran Inggeris dan Melayu. Hakikat inilah juga yang bukan sedikit memberi sumbangan kepada pengukuhan pandangan kurang kritis sesetengah para pemimpin dan golongan elit kita kini mengenai peranan Bahasa Inggeris dalam S & T.

Mitos II: Peranan bahasa di semua peringkat S & T dan pendidikan S & T adalah seragam.

Peranan bahasa dalam kerangka ilmu sains dan teknologi adalah seperti peranan bahasa dalam bidang-bidang lain. Antara peranan utama tersebut ialah bahasa sebagai komunikasi makna dan maksud, serta bahasa sebagai rakaman fakta dan pengantar teori.

Tanpa pergi ke tahap kupasan epistemologi yang tinggi, bahasa di peringkat rendah mempunyai komponen semantik yang lebih berbanding dengan bahasa sains pada peringkat tinggi. Bahasa S & T yang digunakan pada peringkat awam, peringkat sekolah dan pra-siswazah pada umumnya melibatkan bahasa sains peringkat rendah. Daripada segi pembinaan teori, penjelasan dan pendidikan sains, bahasa peringkat rendah mempunyai peranan yang penting. Kepentingan ini terbit daripada dimensi semantik yang tinggi yang perlu bagi memesrakan faham-faham sains dalam konteks kosmologi dan budaya fikir yang tertentu. Keserasian faham sains daripada barat dengan budaya fikir Melayu-Islam dan kosmologi Islam adalah jelas bukan pada kadar seratus peratus. Namun keserasian seratus peratus bukanlah matlamat dalam konsep pembudayaan S & T kita. Pembudayaan S & T kita didukung oleh hasrat menyerap unsur sains yang serasi dan budaya fikir Islam dan juga akhirnya menghasilkan teori dan model sains yang lahir daripada budaya fikir Melayu-Islam. Wahana utama yang membolehkan kita menghasilkan model dan teori sains yang unggul dan serasi dengan kosmologi Islam di Malaysia ini (malah di Nusantara ini) ialah bahasa Melayu. Antara faktor kenapa hal ini lebih mudah direalisasikan melalui wahana dan dalam konteks bahasa Melayu ialah kerana bahasa Melayu ialah bahasa kosmologi fitri Melayu dan bahasa Melayu mengandungi dimensi semantik dan ikatan etimologi dengan budaya fikir Melayu-Islam.

S & T di tahap tinggi pula melibatkan pengukuhan teori dalam bentuk bahasa S & T peringkat tinggi. Bahasa tersebut pada peringkat ini mempunyai komponen sintaksis yang lebih tinggi. Komponen sintaksis ini biasanya dimanifestasikan dalam bentuk formula-formula kuantitatif atau persamaan matematik. Bahasa pada peringkat ini mempunyai unsur kesejagatan yang tinggi kerana formula kuantitatif dan persamaan matematik sintaksis adalah sama tidak kira ditulis dalam konteks bahasa apa sekalipun. Oleh itu para ahli sains Melayu-Islam dapat memahami formula dan persamaan tersebut sama ada ditulis dalam bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris. Bahkan sekiranya formula sintaksis S & T dilafaz dalam konteks bahasa Rusia sekalipun akan masih dapat difahami oleh para ahli sains Melayu-Islam.

Wacana sains pada peringkat tinggi pada umumnya lebih melibatkan penggunaan formula dan persamaan matematik. Penggunaan bahasa semantik adalah pada peringkat yang paling minimum. Bahkan pertukaran maklumat sains antara bangsa dan antara budaya pernah dilakukan tanpa melibatkan bahasa semantik peringkat rendah iaitu dengan hanya melalui komunikasi bahasa sintaksis matematik dan formula. Kemuncak dan contoh terbaik bahasa sintaksis ialah bahasa mesin yang digunakan dalam komputer. Bahasa mesin langsung tidak melibatkan dimensi semantik bahasa budaya manusia, walau peringkat pembinaannya memang dipengaruhi oleh semantik bahasa ahli sains berkenaan. Tegasnya, bahasa S & T pada peringkat rendah mempunyai peranan yang berbeza daripada peringkat tinggi. Oleh yang demikian, dalam konteks pembudayaan S & T di kalangan warga Melayu-Islam, bahasa Melayu adalah amat penting berbanding dengan bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris. Hal ini adalah amat benar tanpa mengambil kira bahawa bahasa Melayu ialah wahana tabii kerana sifatnya sebagai bahasa ibunda kebanyakan muslim di Malysia ini, dan pula telah pun turut dikuasai oleh bangsa lain dalam negara ini.

Mitos III: Kejayaan pembudayaan S & T bergantung kepada kejayaan penguasaan bahasa Inggeris

Kejayaan pembudayaan S & T bergantung kepada keserataan dan keluasaan wahana bahasa. Bahasa yang terhad dan bersifat elitis tidak mungkin dapat membudayakan sains dengan jayanya di kalangan masyarakat. Hanya bahasa yang meluas atau wahana komunikasi utama masyarakat tersebut mampu menjadi penyalur utama pembudayaan S & T.

Kenyataan (realiti) penggunaan bahasa Inggeris semasa di negara ini menunjukkan bahawa bahasa tersebut hanya mampu menjadi wahana pembantu pembudayaan. Ini pun dalam konteks yang terhad. Pembudayaan seluruh seperti yang difahami dalam konteks premis paradigma pembudayaan S & T dalam wawasan negara dan yang turut didukung oleh ASASI tidak mungkin boleh tercapai melalui bahasa asing. Oleh itu usaha pembudayaan atau kejayaan pembudayaan yang menepati hasrat kebangsaan Melayu-Islam hanya mungkin tercapai melalui bahasa Melayu.

Kesangsian terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai wahana wacana unggul S & T tidak seharusnya timbul pada tahap kini. Penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan peringkat rendah dan universiti telah terbukti berkesan semenjak tahun 1970-an. Penubuhan fakulti S & T di Universiti Kebangsaan membuktikan sejak awal 1970-an dahulu lagi, dan diikuti oleh semua universiti di negara kita ini sekurang-kurang sejak 15 tahun dahulu lagi menunjukkan dengan jelasnya akan kemampuan bahasa Melayu sebagai wahana pembudayaan S & T. Istilah dan wacana S & T mampu dijalankan dengan licin bukan sahaja pada peringkat pendidikan pra-siswazah bahkan pada peringkat pasca-siswazah. Para siswazah S & T yang dididik melalui wahana bahasa Melayu telah berjaya menjadi ahli sains dan teknologi yang berjaya. Soal kesediaan dan kemampuan bahasa Melayu dalam membudayakan S & T telah terjawab dengan jelas sekali oleh bukti empirik tentang keupayaan bahasa Melayu dalam pendidikan S & T kini pada semua peringkat.

Faham Mahathirisme pula tentang kelemahan bahasa Melayu sebagai wahana intelektual S&T, mengikut ASASI, didasari oleh beberapa gagasan mitos yang berkaitan dengan keupayaan bahasa Melayu dan S & T. Berikut pula ialah beberapa kelompok mitos utama berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu dalam pembudayaan S & T:

Mitos IV: Bahasa Melayu bukan faktor kritis dalam pembudayaan S & T

Jelas, sekiranya pembudayaan S & T bermaksud hanya meramaikan mereka dari kalangan warga Melayu yang memegang ijazah S & T, maka bahasa Melayu bukan faktor kritis. Sekiranya pembudayaan S & T bermaksud hanya sekadar meramaikan pekerja mahir bagi kilang-kilang asing di Malaysia ini, maka bahasa Melayu bukan faktor kritis. Sekiranya pembudayaan S & T bermaksud hanya sekadar mengisi kuota bumiputra dalam S & T, maka bahasa Melayu bukan faktor kritis.

Meramaikan pemegang ijazah S & T, menyediakan pekerja mahir dan mengisi kuota bumiputra merupakan matlamat jangka pendek yang sekali-kali tidak dapat disamakan dengan proses pembudayaan yang tulus. Pembudayaan S & T melibatkan matlamat yang melangkau kesemua itu. Pembudayaan, antara lain, berlaku apabila budaya fikir sesuatu bangsa itu dapat mecerna S & T dalam sistemnya dan melahirkan S & T yang fitri dan serasi dengan kosmologi dan pandangan alam bangsa tersebut. Pembudayaan dalam faham ini mensyaratkan wahana dan wacana unggul S & T-nya dalam bahasa ibunda bangsa tersebut atau bahasa kebangsaan yang paling sesuai dengan sesebuah negara-bangsa itu. Mengikut fahaman inilah maka bahasa Melayu ialah faktor kritis pembudayaan S & T.

Mitos V: Bahasa Melayu faktor pelewat penguasaan S & T jangka pendek

Sekiranya penguasaan S & T jangka pendek melibatkan keseluruhan kaum yang ada dalam negara ini, maka bahasa Melayu mungkin melewatkan sedikit proses peguasaan S & T. Sekiranya program penguasaan S & T jangka pendek hanya tertumpu kepada satu kaum sahaja, misalnya kaum bukan Melayu, maka bahasa Melayu mungkin menjadi faktor pelewat. Sekiranya penguasaan S & T jangka pendek hanya melibatkan sektor S & T yang terhad, seperti perniagaan sahaja maka bahasa Melayu mungkin melewatkan proses tersebut.

Program penguasaan S & T melalui wahana bahasa Melayu yang melibatkan semua kaum di negara ini mungkin lembab di kalangan kaum bukan Melayu. Namun andaian ini pun telah dibuktikan oleh pengalaman Universiti Kebangsaan sebagai tidak tepat kerana ramai pelajar bukan Melayu yang dididik dalam bahasa Melayu mendapat Ijazah kelas yang tinggi. Faktor penyumbang kepada kejayaan ini mungkin boleh dikatakan bahawa kebanyakan buku rujukan utama masih banyak dalam bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun tumpuan penguasaan jangka pendek lebih tertumpu kepada kaum bumiputra yang menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Penguasaan peringkat rendah mampu dilakukan oleh pendidikan tempatan yang menggunakan bahasa Melayu dan lebih berkesan dan merata memandangkan bahasa Melayu dikuasai secara fitri oleh semua lapisan masyarakat Melayu-Islam. Kedudukan istemewa bahasa Melayu tersebut tidak dapat didakwa oleh bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris. Bahkan penggunaan bahasa Inggeris mungkin sahaja akan melambat dan melembabkan penguasaan S & T peringkat rendah memandangkan pelajar Melayu-Islam akan dibeban dengan usaha untuk mempelajari dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka di samping mempelajari S & T. Ini telah pun terbukti sebelum Dasar Pendidikan Kebangsaan dilaksanakan (atau lebih tepat lagi pra-UKM).

Pada peringkat yang lebih tinggi, penguasaan S & T mempunyai pengertian yang lebih daripada hanya menguasai sektor S & T yang terhad kepada sektor perniagaan sahaja. Bahkan penguasaan S & T lebih tertumpu kepada sektor pendidikan dan latihan sumber tenaga pada peringkat tinggi. Hal ini juga bermakna, antara lain, mendukung program bagi menghasilkan S & T asli yang mampu mendukung kosmologi, etika dan budaya fikir Melayu-Islam. Penguasaan S & T melibatkan keupayaan menentukan agenda cendekia dan wacana sains yang mendukung paradigma Melayu-Islam. Kesemua ini hanya mungkin disemai dan dipupuk melalui bahasa Melayu. Bahkan ketahanan dan nasib S & T Melayu-Islam jangka panjang bergantung kepada keupayaan tersebut.

Mitos VI: Bahasa Melayu bergantung kepada nasib S & T Melayu-Islam

Sekiranya S & T warga Melayu-Islam telah berada di tempat tinggi dan para ahli S & T dan Melayu-Islam amnya masih mampu bercakap atau berbudaya bahasa Melayu baku, maka benarlah bahasa Melayu bergantung kepada nasib S & T Melayu-Islam. Sekiranya benar bahasa Melayu bukan faktor kritis dalam pembudayaan S & T warga Melayu-Islam, maka nasib S & T Melayu-islam sebenarnya membantut atau tidak dapat membantu kedudukan bahasa Melayu. Sekiranya nasib S & T Melayu-Islam terbela melalui wahana bahasa lain, maka bahasa Melayu terbukti tidak begitu penting.

Meletakkan nasib bahasa Melayu sebagai subjek kepada nasib S & T Melayu-Islam bukan sahaja janggal dari segi mantiknya bahkan sukar dipertahankan secara ilmiah. Pembudayaan S & T merupakan syarat ketahanan S & T Melayu-Islam. Bertolak daripada hujah tersebut, pra-syarat pembudayaan ialah wujudnya wahana bahasa yang mantap, yaitu bahasa Melayu. Oleh yang demikian, nasib bahasa Melayulah sebenarnya yang menjadi penentu kepada nasib S & T Melayu-Islam dalam waktu jangka panjang.

Hasrat pembudayaan S & T secara menyeluruh terutamanya melalui wahana pendidikan terukir pada klausa-klausa akta pendidikan seperti Akta Pendidikan 95/96. Mekanisme pembudayaan, khususnya dalam konteks umat Melayu-Islam, walaupun tidak dinyatakan secara terang-terang, namun jelas berteraskan kepada konsep praktis dan pragmatis. Keluwesan dari segi mekanisma melaksanakan pendidikan dan pembudayaan S & T di kalangan warga Melayu diakui sememangnya amat penting. Keluwesan tersebut perlu bagi memberi ruang kepada penyesuaian yang perlu dilakukan mengikut perubahan dan tuntutan keadaan semasa.

Namun dalam kebanyakan akta pendidikan seperti Akta Pendidikan 95/96, ikatan bahasa Melayu dan pembudayaan S & T tidak terserlah. Hal ini mungkin kerana bahasa Melayu dan pembudayaan S & T dianggap bukan faktor kritis dan tidak ada hubungan wajib antara kedua-duanya. Bahasa dianggap hanya sebagai aspek mekanisma perlaksanaan dan bukan wahana wajib bagi mencapai maksud pembudayaan S & T di kalangan umat Melayu khususnya. Anggapan ini ialah sebahagian daripada mitos bahasa yang telah dikupas awal perbincangan tadi. Atas sebab epistemologi dan juga alasan sosiologi ilmu, pemisahan antara bahasa dan pembudayaan S & T tidak dapat dipertahankan secara ilmiah. Keperluan kepada bahasa Melayu, terutamanya dalam pembudayaan S & T yang serasi dengan akal budi orang Melayu dan Islam hanya berkemungkinan besar berjaya melalui wahana bahasa Melayu, dan tiada kebarangkalian berjaya sebaliknya. Hal ini kerana bahasa Melayu merupakan lingua franca dan media fitri bagi kosmologi Melayu-Islam. Hakikatnya ialah akal budi Melayu hanya terpupuk dengan selesa melalui bahasa Melayu. Bahasa Melayu walaupun digunakan dalam konteks wacana sains, namun masih mempunyai pertalian ontologi dan semantik dengan agama Islam dan kosmologi Melayu. Bagi orang Melayu yang dibesarkan dalam bahasa Melayu dan dibudayakan melalui wahana bahasa Melayu ikatan kosmologi dan agama tetap dirasakan walaupun dalam hal membincangkan teori sains yang amat konkrit dan sekular. Ikatan seperti ini hampir tidak dirasai wujud dalam bahasa Inggeris.

Ditambah dengan faktor sosiologi, bahasa Melayu memanglah merupakan bahasa ibunda sebahagian besar muslim di Malaysia. Sebarang usaha pendidikan S & T dalam bahasa tersebut akan berupaya sampai kepada setiap lapisan dengan kadar yang lebih mudah dan merata,berbanding dengan wahana bahasa Inggeris yang secara tabiinya tumpuan hanya pada strata warga Melayu yang terhad. Penguasaan bahasa Inggeris di kalangan warga Melayu-Islam di Malaysia ini jelas tidak menyeluruh, dan tidak akan menyeluruh sebagimana yang sudah terbukti di negara-negara lain seperti India,filipina dan negara-negara yang menjadikan bahasa penjajahnya (bahasa asingnya) sebagai wahana pelaksanaan dasar pendidikan kebangsaannya. Bahasa Inggeris hanya mampu menjadi wahana segelintir warga Melayu. Oleh yang demikian, bahasa Inggeris tidak mungkin dapat membudayakan S & T di kalangan warga Melayu-Islam sama ada daripada segi bilangan mahu pun daripada segi akal budi. Hal ini menjadi bertambah rumit sekiranya soal pemupukan, penggalakan dan penserataan S & T di kalangan warga Melayu-Islam diambil kira. Sekali pun kita mengakui bahawa ramai antara para ahli S & T Melayu semasa telah mendapat pendidikan tinggi di luar negeri dan dididik dalam S & T melalui wahana bahasa Inggeris sekurang-kurangnya di peringkat universiti, namun jumlah yang ramai itu tidak boleh disamakan sebagai kejayaan dalam pembudayaan S & T di kalangan warga Melayu. Kejayaan pembudayaan S & T bukan sekadar melibatkan peningkatan jumlah ahli S & T Melayu. Pembudayaan S & T , antara lain, melibatkan keupayaan umat Melayu untuk menghasilkan sains yang mencerminkan akal budi dan kosmologi Melayu. Penghasilan sains seperti itu merupakan antara prasyarat kepada penghasilan teknologi peribumi yang tulen dan bukan sekadar penerusan teknologi pinjaman hasil budaya fikir asing. Sains dan teknologi peribumi membawa takrif bahawa S & T yang dibentuk, dipupuk, dijustifikasi dan diwacanakan melalui wahana bahasa ibunda atau bahasa nasional.

Kepentingan bahasa Melayu dalam S & T bukan sekadar soal sentimen atau soal memenuhi selera pengundi Melayu. Kepentingan bahasa Melayu mempunyai sebab yang bercambah daripada asas epistemologi hingga ke keperluan sosio-ekonomi jangka panjang. Pembudayaan S & T di kalangan warga Melayu dalam ertikata yang sebenarnya tidak mungkin tercapai melalui wahana bahasa lain.

Oleh demikian, bagi ASASI, para penggubal dasar perlu meneliti semula dan mempastikan bahawa gagasan akta pendidikan yang ingin menerapkan S&T dikalangan anak Melayu harus memiliki sekurang-kurangnya tiga sifat berikut:

(i) benteng bahasa Melayu

(ii) bersih daripada mitos dan falasi epistemilogikal
 
(iii) mampu memupuk, memelihara, menjamin dan mengukuhkan hal-hal berikut:

a. Pembudayaan S & T yang serasi dengan etika dan akal budi/kosmologi Melayu-Islam.

b. Penguasaan S & T di kalangan warga Melayu-Islam.

c. Penyerataan prasarana S & T di kalangan warga Melayu-Islam.

 

V: Kesimpulan

Di sini, kita telah berkesempatan berbincang tentang proses penginstitusian pendigitalan masyarakat setempat dan hubunganya dengan pembudayaan S&T dikalangan orang-orang pribumi dan orang Melayu. Penerapan budaya fikir S&T barat, khususnya, telah melahirkan paradoks dan kontradiksi dalam sejarah perkembangan pemikiran Melayu moden. Kontrakdiksi seperti ini tidak menjadi masalah besar dalam konteks kerangka faham seperti Mahathirisme. Bahkan kita perhatikan peluburan kontradiksi seperti itu seolah-olah mampu tercapai dengan efisien dalam alam fikir maya yang beteraskan konsep digitalisasi. Mahathirisme tetap boleh dikatakan sebagai bertangungjawab menyediakan dan mengujudkan keadaan di mana kemungkinan bagi menyuburkan pemikiran digital di kalangan orang Melayu lebih mudah. Tegasnya, dalam kerangka Mahathirisme mengujudnya "orang Turing Melayu" bukanlah suatu yang lagi mustahil.

Pengintitusan digitalisasi melalui agensi seperti MIMOS, NITC dan kemudiannya projek TMK gergasi seperti KRM (MSC). Peranan cendekiawan seperti Tengku Mohd. Azzman Sharifadeen dalam mendidik Mahathir daripada memandang mikroelektronik hanya dalam konteks kerangka perindustrian kepada kerangka TM yang lebih luas adalah juga penting. Kesemua itu ada pertalian dengan usaha pengintitusian pendigitalan minda Melayu. Hakikat ini tidak ramai yang memahaminya, terutamanya tidak ramai yang mampu memahami implikasi intelektual dan kebudayaan di sebalik fenomena pembudayaan TM tersebut. Kebanyakan antara mereka yang mungkin "faham" pula hanya mampu melihat perubahan itu daripada sudut sosio-ekonomi atau teknologi semata-mata, dan mereka tidak mampu melihat apatah lagi memahami dampak tersebut daripada dimensi epistemologikal yang lebih tinggi dan menyeluruh. Tengku adalah segelintir kecil cendekiawan yang memahami bahawa pembudayaan TM dikalangan orang Melayu harus ditanggani daripada pelbagai sudut, bukan sahaja dari sudut techne semata-mata tetapi juga dari sudut episteme.


copyright Hairudin b. Harun 1999
Send comment or question to Hairudin b. Harun: hbharun@pc.jaring.my
Go to Cyber Semiotic Institute home page
Go to Course Outline
Go to Kuliah1 / 2 / 3 / 4 / 5 / 7 / 8