Go to Cyber Semiotic Institute home page
Go to Course Outline
Go to Kuliah1 / 2 / 3 / 4 / 6 / 6 / 7


Weltanschauung Melayu dalam Era Teknologi Maklumat:
Komputer Menjadi Teras Pemikiran atau Punca Tewasnya Pemikiran Melayu?

oleh Hairudin b. Harun

Kuliah 8 (Lecture 8)

I. Pendahuluan

Tidak ada budaya fikir yang tidak mengalami perubahan sama ada akibat daripada proses dalaman atau dampak pengaruh dari luar. Budaya fikir dan Weltanschauung Melayu tidak terkecuali daripada proses dan dampak, terutamanya yang dicetuskan oleh, idea-idea baru dan innovasi teknologi terkini. Semenjak tahun-tahun 1980an, idea dan innovasi tersebut ialah dari gagasan Teknologi Informasi (IT) atau Teknologi Maklumat (TM). Semenjak detik itu peranan teknologi tersebut semakin bertambah dalam masyarakat Melayu. Orang Melayu bukan sahaja telah terdedah kepada IT sebagai satu alat kemudahan tercanggih bahkan yang lebih peting lagi ialah IT merupakan antara sumber intelektual penting akhir dekad ini. Hal ini ialah kerana IT merupakan gagasan kompleks paradigma baru dan teknologi terkini. Teras paradigma baru tersebut ialah digitalisasi dan teknologinya pula ialah komputer. Namun komputer bukanlah teknologi dalam ertikata makan kalsik, komputer pada asasnya ialah epistemologi yang dijelmakan dalam bentuk teknologi. Keupayaan IT dan komputer mendatangkan perubahan pada gaya kerja dan rentak kerja dalam sesuatu urusan atau bidang datang daripada sifat istemewa paradigma dan teknologi tersebut yang mendasari IT. Kerana itulah dalam perbincangan kita yang lalu kita telah melihat bagaimana IT mampu membawa perubahan, walaupun kurang disedari, yang berlaku pada peringkat yang paling asas iaitu pada gaya pemikiran dan budaya fikir individu serta masyarakat. Dalam perbincangan kita yang lepas kita telah di perkenalkan isu-isu semasa berkaitan dengan kesan kemasyarakatan IT. Antara isu terpenting ialah bagaimana IT yang berteraskan paradigma digitalisasi dan epistemologi perkomputeran mendatangkan cabaran kepada sistem kepercayaan dan pandangan alam dalam budaya fikir Melayu semasa. Kita telah cuba mengupas persoalan bagaimana epistemologi perkomputeran yang menekankan pemikiran sintaktis, analitis dan reduksionistik mencabar budaya fikir tradisional yang bercorak semantis, sintesis dan holistik.

II. Isu Penting

Dalam membincangkan soal nasib Weltanschauung Melayu dalam era IT (Teknologi Maklumat) kita telah cuba meneliti secara menyeluruh isu-isu yang berkaitan dengan kerangka budaya fikir Melayu secara umum. Hal itu termasuklah fasa-fasa pendedahan pemikiran Melayu kepada pengaruh-pengaruh asing. Dalam kuliah 1 dan 2 kita perhatikan perkembangan budaya fikir Melayu mengharungi pelbagai zaman pengaruh: Hindu, Buddhis, Islam dan seterus pada zaman penjajahan Eropah. Perbincangan kita tertumpu kepada persoalan ciri-ciri unggul yang wujud dalam pemikiran tradisional Melayu atau, pendeknya, kosmologi Melayu. Dalam Kuliah 3 pula kita telah meneliti beberapa unsur perubahan yang berlaku kepada budaya dan kosmologi Melayu akibat pertembungan dengan budaya fikir luar Asia, khususnya Eropah, iaitu bermula dengan pertembungan orang Melayu dengan orang Portugis pada abad ke-16 dan berakhir dengan British pada pertengahan abad ke-20. Perhatian istemewa telah diberikan kepada kesan pengaruh budaya fikir British kepada pemikiran Melayu pra dan pasca Merdeka. Penumpuan tersebut telah menyentuh tentang bagaimana sistem semiotik British menular melalui sistem pendidikan penjajah, dan juga kesan itu semua kepada struktur pendidikan formal dan tak formal Melayu.

Sesungguhnya kita telah melihat bagaimana penularan system semiotic British tersebut membuka ruang kepada epistemologi moden menyusup masuk dalam kerangka fikir Melayu. Oleh itu perbincangan kita telah juga sedikit sebanyak menyentuh soal epistemologi, terutamanya epistemologi informasi dan TM. Isu-isu epistemologi asas berkaitan dengan Teknologi Informasi (IT) pula diperkenalkan dalam Kuliah 4. Turut dibincang ialah isu-isu yang penting dalam konteks pertembungan epistemologi tersebut dengan kerangka pemikiran Melayu. Kuliah 4 turut meniliti secara ringkas ialah sejarah intelektual perkomputeran dan bagaimana sejarah tersebut mempunyai kaitan dengan perkembangan perkomputeran di alam Melayu. Dalam Kuliah 5 kita telah diperkenalkan dengan budaya fikir Melayu semasa. Kita telah cuba mencerap kerangka fikir disebalik Melayu baru, iaitu pendukung obor pemikiran baru. Kita juga telah cuba memantau nasib serta kedudukan Melayu lama, iaitu pendukung pemikiran tradisional, dalam pembentukkan serta pengukuhan budaya fikir digital. Kita turut meneliti dalam kuliah 5 proses pendigitalan orang Melayu dalam tahun 1990an. Bagaimana proses tersebut diinstitusikan telah di teliti dalam Kuliah 6. Pengintitusian melalui KRM (Koridor Raya Multimedia) atau MSC (Multimedia Super Corridor) dan dampaknya kepada budaya fikir Melayu. Turut diteliti ialah sama ada penglibatan orang Melayu dalam dunia dan ekonomi digital mensyaratkan pendigitalan keseluruhannya pandangan alam Melayu. Perbincangan lanjut mengenai kesan MSC terutamanya pardigma pendigitalan kepada budaya fikir tradisional. Di dalam Kuliah 7 paradigma tersebut dibincang dalam konteks kerangka konsep “orang Turing.” Melalui konsep tersebut perubahan makna dalam Weltanschauung Melayu baru akibat penyerapan pemikiran perkomputeran di halusi. Turut diteliti ialah kesan perubahan tersebut kepada budaya fikir kelompok Melayu yang masih tersisih. Perbincangan juga meliputi soal manifestasi perbezaan tersebut dalam konteks sosio-ekonomi, politik dan kemasyarakatan umum. Senario-senario umum yang berlaku akibat pendigitalan alam pemikiran Melayu. Kuliah akhir ini akan mengupas kembali berberapa isu asas yang telah dikemukakan dalam kuliah-kuliah yang lepas.

III. Teras Perbincangan

Dampak suatu artifak teknologi atau idea saintifik kepada seorang individu atau sebuah masyarakat adalah satu perkara yang sukar dicerap. Kesukaran tersebut menyerlah apabila menyentuh soal ruang alam fikir atau Weltanschauung sesuatu masyarakat. Kesukaran ini juga merupakan antara sebab mengapa dampak teknologi dan sains keatas alam fikir sesuatu masyarakat jarang diteliti secara ilmiah.

Namun hakikatnya ialah setiap sesuatu masyarakat itu sentiasa terdedah kepada gelombang idea-idea yang datang dari luar, termasuk yang dicetuskan oleh innovasi teknologi terkini. Tidak ada masyarakat yang mampu memencilkan dirinya dari arus idea luaran atau teknologi. Oleh itu menjadi suatu hal yang mendesak bagi sesuatu masyarakat itu memahami bagaimana sesuatu idea luaran atau teknologi mempengarui masyarakat dan dirinya. Idea dan teknologi yang mencetuskan dampak kepada masyarakat semasa ialah yang terbt dari sains moden atau sains barat. Walau pun, umumnya, umat Melayu dewasa ini sedar tentang perubahan radikal dalam keadaan kehidupan material akibat dari penggunaan ilmu sains dan teknologi, masih ada yang kurang disedari. Misalnya, tidak ramai yang menyedari takat dampak atau sejauh mana teori-teori sains dan teknologi mempengaruhi kerangka mental seseorang individu itu. Takat kesedaran ini semakin menurun apabila memperkatakan tentang hal pengaruh sains dan teknologi ke atas Weltanschauung Melayu, teras pandangan alam atau kosmologi Melayu.

Suatu hal yang jelas ialah bermula pada awal abad ini konsep sains dan falsafah moden telah semakin meresap dalam kerangka pemikiran Melayu. Kita perhatikan bahawa penularan idea sains bermula secara sistematis sebagai program pembudayaan sains dan falsafah kolonial dalam kerangka budaya fikir Melayu. Program tersebut pada mulanya bagi mengisi tujuan penjajah dan berterusan sehingga negara mencapai kemerdekaan. Program pembudayaan tersebut disambut dan sambung dengan lebih giat lagi oleh kerajaan Perikatan yang diterajui oleh UMNO dibawah program pendidikan pasca-Merdeka. Pada akhir 60an dan awal 70an program-program dasar pendidikan baru yang menekankan pembelajaran sains secara intensif kepada anak-anak Melayu dilancarkan. Anak-anak penoreh getah, nelayan, petani dan pegawai kerajaan di hantar ke Eropah dan Amerika untuk mempelajari sains. Program tersebut telah berjaya melahirkan satu masyarakat saintis dan komuniti cendekiawan Melayu yang mempunyai celik sains atau kesedaran saintifik yang tinggi. Perkembangan ini dianggap sebagai suatu lagi pencapaian sosial dan psiko-intelektual yang agak unggul dalam sejarah umat Melayu. Sayangnya, setakat yang diketahui (oleh penulis), belum ada lagi satu kajian terperinci dan menyeluruh tentang hal tersebut, terutamanya yang melampaui bancian statistik. Kita agak berminat untuk mengetahui apakah dikalangan kelompok saintis dan cendekiawan Melayu tersebut konsep sains dan falsafah moden mendapat tempat yang istemewa. Jika hal tersebut berlaku bagaimanakah konsep dan falsafah tersebut merubah atau mengukuhkan budaya fikir Melayu. Hal ini menjadi menarik oleh kerana kebanyakan daripada saintis dan cendekiawan Melayu tersebut datang dari masyarakat tradisonal dan ada diantara mereka yang didik pad peringkat awal secara tradisional. Kita juga berminat apakah benar dikalangan mereka itu juga mungkin wujud keadaan dimana konsep sains dan kosmologi sekular moden seolah-olah telah menggantikan kerangka idea dan kosmologi tradisional. Tegasnya, kita bermiant untuk mengetahui bagaimana sesuatu idea sains dan teknologi moden mungkin boleh merubah kepercayaan, alam fikir dan budaya fikir Melayu iaitu teras kosmologi Melayu; dan bagaimana sesuatu idea sains dan teknologi mungkin diserap - sama ada secara sedar atau tidak - dan menjadi teras baru kepada kerangka pemikiran Melayu.

IV. Budaya Fikir Melayu Tradisional dan Budaya Fikir Melayu Baru

Para pengkaji budaya Melayu menyepakati bahawa Weltanschauung Melayu tradisonal ditegakkan atas gagasan pemikiran animisme, hindi dan Islam. Menurut mereka hakikat ini masih benar walaupun pada suatu zaman dan masa tertentu terdapat ada unsur daripada gagasan tersebut yang lebih menyerlah atau tenggelam berbanding dengan yang lain. Pada zaman mutakhir ini, unsur Islam dianggap sebagai unsur dominan didalam metamorfosis atau "mutasi" yang membentuk pemikiran Melayu tradisonal. Namun apa yang lebih penting ialah kesemua unsur pemikiran tersebut bergabung dalam melahirkan satu kompleks kerangka fikir dan pandangan alam Melayu yang jelas memberatkan penekanan kepada kosmologi metafizik. Kosmologi ini mengabadikan budaya pemikiran yang megutamakan tafsiran simbolisme dan sintesis holistik. Tegasnya, sistem kosmologi dan pandangan alam Melayu, pada asasnya, menekankan interaksi dinamis antara alam metafizik dengan alam material. Interaksi ini dapat difahami melalui sistem simbolisme yang komplek yang dipelihara dan dipupuk oleh kerangka budaya dalam semiotik tradisional Melayu.

Kita telah perhatikan bahawa simbol-simbol semiotik dan kosmologi tradisional Melayu adalah jelas merupakan simbol semantis dan kualitatif yang mempunyai makna transenden yang tinggi dan makna budaya yang seni. Pemikiran tradisional sentiasa mengutamakan fakulti intellectus holistik dan sintesis berbanding hanya dengan rasio analitis dan reduksionis. Dari sudut falsafah ilmu, difahami bahawa fakulti intellect cenderung melihat alam ini sebagai kaya dengan simbol-simbol transenden semantis berbanding dengan rasio, yang lebih menekankan simbol sintaksis reduksionis. Namun pemikiran rasio, kita perhatikan, merupakan teras pemikiran sains moden dan juga Weltanschauung orang Turing.

Jelas, pemikiran rasio amat ditekankan dalam budaya fikir Eropah moden, penekanan yang bermula dengan budaya fikir sekular pasca-Nasrani. Versi pemikiran rasio yang melampau dalam bentuk faham emprisme dan logiko-postifisme mendapat tempat dalam kerangka fikir dan budaya fikir Inggeris. Budaya fikir ini mula dibawa ke alam fikir Melayu secara sistematis oleh penjajah Inggeris. Setakat mana budaya fikir ini telah mendatangkan kesan kepada pemikiran Melayu merupakan persoalan yang mugkin maseh belum dijawab dengan memuaskan. Nmaun, apa yang jelas ialah budaya fikir tersebut dianggap sebagai tidak memainkan peranan yang besar dalam membentuk ciri-ciri utama Weltanschauung Melayu tradisional (lama?).

Orang Melayu tradisional menghayati satu pandangan alam yang dianggap unggul dari segi kaca mata pandangan moden semasa. Bagi orang Melayu tradisional, mereka melihat alam tabii ini sebagai penuh dengan makna halus, simbolisme transenden, gurindam dan syair. Pandangan mereka tidak hanya terhad kepada manifestasi material alam. Bahkan bagi mereka dimensi fizikal, dimensi yang amat penting bagi sains dan teknologi moden, hanyalah satu manifestasi kecil fenomena alam yang amat luas. Bagi mereka kewujudan alam fizikal yang telus kepada pandangan kasar ini sebenarnya bergantung kepada dimensi alam hakikat dan ruh yang maha seni. Penghayatan pandangan ini, jelas dapat diperhatikan secara praktis dalam kehidupan seharian dan amalan kemasyarakatan mereka. Ciri keunggulan lain yang wujud dalam budaya fikir orang Melayu tradisional ialah kepentingan kehidupan harmoni dengan alam tabii. Prinsip keharmonian ini dihayati melalui ritual dan manisfestasi kebudayaan. Ritual dan manifestasi kebudayaan tersebut biasanya digariskan oleh semiotik tabii dan kosmologi kebudayaan yang diwarisi dan dimantapkan generasi demi generasi. Pemantapan ini dicapai melalui pemeliharaan adat resam dan petua kemasyarakatan.

Kita telah perhatikan bahawa perkembangan semiotik tabii dan kosmologi kebudayaan generasi-generasi tersebut juga dimantapkan melalui penyerapan pelbagai unsur yang datang dari luar ruang budaya Melayu asli. Unsur-unsur luar tersebut datang daripada timur dan barat. Pengaruh Hindu, Buddhis, Islam dan Barat merupakan antara yang menyumbang kepada pembentukan semiotik dan kosmologi Melayu. Namun demikian, intipati semiotik dan kosmologi Melayu masih terpelihara. Pada asasnya intipati semiotik Melayu ada hubungannya dengan kepelbagaian dimensi yang wujud pandangan alam Melayu. Intipati ini, antara lain, ialah mengenai kepercayaan bahawa alam fizikal ini hanyalah manifestasi kecil atau hijab bagi alam metafizik. Dalam kosmologi Melayu, misalnya, alam tabii dianggap penuh dengan unsur-unsur ghaib dan mistik. Haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan bahkan batu-batan cenderung dilihat daripada sudut simbolisme transendentalnya berbanding daripada sudut manifestasi fizik dan duniawinya.

Oleh itu dalam "alam Melayu," tidak hairanlah haiwan, tumbuh-tumbuhan dan batu-batan mampu bercakap, bahkan bermadah secara bernas setanding dengan sebarang pujangga manusia. Walaupun dalam dongeng masyarakat barat alam seperti itu wujud, namum senario dalam alam Melayu itu bukan sekadar gambaran dongeng bagi tujuan hiburan. Ia merupakan satu kenyataan yang diterima oleh pandangan alam Melayu. Sebab itulah dalam alam Melayu, manusia (khasnya syaman, pawang, bomor, sufi dan wali Allah) berinteraksi dengan haiwan, tumbuhan dan batu-batan pada tingkatan yang sukar diterima dan untuk dibayangkan oleh manusia sekular. Ilmu bertinterkasi tersebut juga merupakan antara yang sangat dihargai kerana ia membuka jalan bagi manusia Melayu mampu hidup berharmoni dengan alam tabii. Bagi kebanyakan manusia moden, khususnya dari barat, bercakap dengan mahluk lain selain sesama manusia hanya mungkin berlaku dalam cerita dogeng. Dalam dunia Melayu, hal tersebut tidak dianggap dongeng atau fiksyen semata-mata. Kepercayaan dan pandangan alam mereka dianggap bertentangan dengan kenyataan moden atau pandangan sains, namun hampir tidak ada langsung manusia Melayu tradisional yang akan menidakkan kosmologi mereka. Pada umumnya orang Melayu masih terikat dengan Weltanschauung tradisional dan gagasan budaya fikir Melayu. Gagasan iniboleh disimpulkan sebagai melihat alam tabii ini penuh dengan simbolisme semantik, gurindam dan syair. Penghayatanpandangan ini, misalnya, dapat diperhatikan secara praktis dalam penghayatan ritual dan manisfestasi kebudayaan.

Seeprti yang telah dibayangkan awal tadi bahawa perubahan dalam kerangka pemikiran Melayu mula berubah dengan asakan budaya fikir Inggeris. Perubahan yang ketara dapat dikesan menjelang abad ke-20. Hal ini terjadi apabila konsep sains dan falsafah moden semakin mendapat tempat dalam pemikiran Melayu. Antara yang paling berkesan membuka ruang tersebut ialah program pembudayaan sains kolonial. Program ini telah diteruskan dalam pelbagai bentuk program pendidikan pasca kemerdekaan. Bahkan usaha pembudayaan tersebut digiatkan lagi, misalnya dalam program pendidikan telah menekankan pembelajaran sains moden secara intensif kepada anak-anak Melayu. Menjelang tahun 1980an program tersebut telah berjaya melahirkan satu masyarakat saintis Melayu dan cendekiawan Melayu yang mempunyai celik sains atau sedar sains yang tinggi. Penubuhan Akademi Sains Islam (ASASI) pada awal 1970an adalah salah satu manifestasi literasi dan kesedaran tersebut. Tetapi penubuhan ASASI juga mungkin merupakan manifestasi reaksi yang lain. ASASI juga boleh dilihat sebagai usaha orang Melayu untuk memadankan paradigma sains moden dengan kerangka kosmologi Melayu tradisional yang berteraskan budaya fikir Islam.

ASASI juga boleh dilihat sebagai salah satu reaksi dan manifestasi semasa dalam menanggani perubahan dalam budaya fikir dan kosmologi Melayu adalah akibat pertembungan alam Melayu dengan tamadun luar. Pertembungan tersebut dapat dicamkan melalui beberapa fasa utama. Misalnya, pertembungan terawal ialah dengan kedatangan orang Portugis ke alam Melayu, yang bermula di Selat Melaka dan berakhir dengan tragedi kejatuhan keseluruhan jajahan Melaka ke tangan "Benggali Putih." Namun begitu penjajahan orang Portugis tidak mendatangkan kesan yang ketara kepada budaya fikir dan kosmologi Melayu. Begitu juga halnya dengan Belanda yang menduduki Melaka selepas Portugis. Pengaruh Belanda ke atas budaya fikir Melayu hampir tidak kelihatan langsung. Bagaimanapun pengganti Belanda di Melaka dan jajahan Semenanjung Melayu, iaitu British meninggalkan kesan yang agak berbeza sekali berbanding dengan penjajah Eropah terawal yang lain.

Banyak sebab telah dikemukakan bagi menjelaskan mengapa hal tersebut berlaku. Kebanyakan orang cenderung memberi alasan bahawa British telah menguasai politik dan ekonomi Tanah Melayu hampir lebih 200 tahun semenjak abad ke-18 hingga pertengahan abad ke-20. Oleh itu mengikut pendapat tersebut tidak hairanlah sekiranya mereka meninggalkan kesan yang sangat mendalam ke atas budaya fikir tempatan. Walau pun terdapat sedikit kebenaran di sini, namun kita akan lihat nanti bahawa dalam sejarah pembentukan budaya fikir tradisional, didapati peranan dan pengaruh Inggeris langsung tidak kelihatan. Hanya pada abad ke-20 barulah budaya fikir Inggeris kelihatan memberi sedikit kesan ke atas minda Melayu. Lagi pun penguasaan politik yang sekian lama sahaja belum cukup untuk mendatangkan kesan kepada tradisi dan budaya fikir setempat. Alasan lain yang lebih menarik ialah penguasaan British tersebut dilakukan bukan sahaja melalui kuasa ketenteraan dan politik malahan dengan pelbagai cara yang melibatkan penguasaan mental serta budaya fikir. Tegasnya, mungkin yang paling menarik tentang penjajahan British ialah penggunaan instrumen pendidikan dan intelektual bagi meluaskan dan memantapkan kolonialisme mereka di Tanah Melayu.

Ketika orang british menjejakkan kaki di Nusantara Melayu, beberapa perubahan penting berlaku yang menentukan arus perjalanan sejarah intelektual British, khususnya, dan Eropah amnya. Kepulauan British merupakan satu-satu tempat yang menjadi pusat dan punca revolusi ilmiah, yang di kenali sebagai revolusi saintifik. Revolusi ini pada awalnya diasaskan pada tulisan dan pemikiran tokoh-tokoh antaranya seperti Francis Bacon (1561-1626), Thomas Hobbes (1588-1679), Robert Hooke (1635-1702) John Ray (1627-1705), John Locke (1632-1704), Issac Newton (1642-1727) dan David Hume (1711-1776). Revolusi mental tersebut merubah keseluruhan budaya fikir barat, dari kaedah mencari ilmu, punca ilmu dan matlamat ilmu hingga ke persepsi terhadap asal usul manusia dan alam. Proses perubahan ini berlangsung dan dimantapkan lagi pada abad ke-19. Perubahan yang ketara pada budaya fikir ketika itu ialah penghayatan positifisme dan materialisme sebagai teras falsafah dan metafizik sains. Perubahan ini pula membuka jalan bagi pemupukan logik simbolik sintaktik dan emperisme logikal. Kesemua itu seolah-olah bagi menyediakan tapak kemunculan epistemologi Turing (epistemologi komputer). Epistemologi ini berakar umbi dari pemikiran tokoh ilmiah dan matematik Inggeris seperti Alan Turing (1912-1954), Charles Babbage (1719-1871) dan juga George Boole (1815-1864). Epistemologi Turing merupakan teras kepada epistemologi Teknologi Maklumat abad ke-20.

Pemikiran yang diasaskan oleh tokok-tokoh Inggeris yang tersebut tadi menguasai budaya fikir Inggeris. Sehinggakan tidak adamereka yang terpelajar dan cendekiawan semasa Inggeris yang tidak dipengaruhi sedikit sebanyak oleh tradisi pemikiran tersebut. Manakala penghantaran para pegawai kolonialisme yang terlatih dan terpelajar semakin bertambah berbanding dengan jumlah pegawai tentera. Para pengkaji ilmiah seperti AR Wallace (1823-1913) yang bertanggungjawab bersama-sama C.Darwin (1809-1882) mencetuskan faham dan "teori evolusi" merupakan antara ribuan pegawai kolonialisme ilmiah yang turut datang ke rantau ini. Di samping itu masyarakat Melayu mula dikaji secara saintifik: dari rangka sosial hingga ke rangka tenggorak mereka. Dalam masa yang sama, Masyarakat Melayu mula dikawal secara saintifik sebagaimana alam tabii di kawal oleh orang british melalui kaedah saintifik. Perubahan dalam falsafah sosial, misalnya falsafah liberal yang dipopularkan oleh Jeremy Bentham (1748-1832), pengasas Universiti London (Universiti London merupakan salah satu model rujukan utama dalam merangka struktur Universiti Malaya), mempengaruhi agenda sosial dan doktrin politik abad ke-19 British. Walau pun pada mulanya kesan doktrin liberal tersebut hanya berlegar sekitar kepulauan British, tetapi sedikit demi sedikit ianya turut mempengaruhi corak politik di tanah jajahan. Di Semenanjung Tanah Melayu, perubahan ini dapat dikesan apabila sekolah-sekolah kolonial mula dibuka kepada anak-anak tempatan. Hal ini menjadi lebih ketara pada akhir abad ke-19 dan awal ke-20 apabila sistem pendidikan, perubatan dan saintifik terus diperluas kepada orang Melayu. Perubahan inilah yang jelas menyumbang serta merupakan antara punca yang membawa kesan ketara dalam pertembungan budaya fikir Melayu dengan Inggeris.

Mengenang kembali perubahan yang telah berlaku dalam pembentukan Weltanschauung umat Melayu, kita dapati budaya fikir sekularis tidak berjaya mempengaruhi kosmologi tradisional Melayu. Namun bermula pada awal abad ke-20 konsep sains dan falsafah moden telah semakin mendapat tempat dalam kerangka pemikiran Melayu. Sekurang-kurang hal ini berlaku dikalangan segelintir kelompok elitis Melayu yang kemudiannya menguasai arus politik dan ekonomi negara. Kita boleh menjangkakan bahawa dikalangan mereka inilah biasanya konsep sains dan falsafah moden mendapat tempat yang paling istemewa. Di kalangan mereka juga mudah berlaku keadaan dimana konsep sains dan kosmologi sekular moden telah menggantikan kerangka idea dan kosmologi tradisional Melayu (lama?).

Apa yang dapat diperhatikan setakat ini secara umum ialah belum ada bukti-bukti yang jelas bahawa penggantian seumpama itu berlaku secara menyeluruh. Mungkin apa yang berlaku adalah terhad dikalangan individu tertentu dalam sesuatu kumpulan elitis atau strata masyarakat terpelajar Melayu. Penggunaan bomor atau sihir dalam kebanyakan urusan sekular oleh kalangan mereka yang dianggap terpelajar dan modenis mungkin merupakan satu petanda bahawa sistem pemikiran dan kepercayaan Melayu tradisional masih utuh. Hal ini adalah benar dalam soal pertembungan pemikiran Melayu dengan konsep-konsep sains pra pasca-moden. Pemikiran tradisonal Melayu dapat bertahan atau sekurang-kurang wujud dalam keadaan dualisme disamping pemikiran sains moden dalam budaya fikir Melayu semasa. Tetapi tidak semestinya pengalaman yang sama akan berulang dalam konteks cabaran pasca-moden seperti yang dikemukakan oleh Teknologi Maklumat (TM) dan epistemologi perkomputeran kepada sistem pemikiran tradisional. Cabaran yang dikemukakan oleh TM dan epistemologi perkomputeran adalah jelas berbeza daripada sains pra pasca-moden. Maka, persoalannya yang penting ialah sama ada sistem pemikiran dan semiotik Melayu tradisional akan terus memperlihatkan ketahanannya dalam menghadapi cabaran TM dan epistemologi digital pada alaf akan datang.

Namun, bagi para pemerhati luar, minda Melayu semasa seolah-olah berpaksi kepada dua pola pemikiran yang ekstrem: (i) rasionalis dan (ii) tradisionalis. Mereka yang tergolong dalam kelompok (i) biasanya tinggal di bandar-bandar besar, menjawat jawatan tinggi dalam politik, pentadbiran atau perniagaan. Manakala mereka yang terdiri daripada kelompok (ii) biasanya tinggal di pinggiran bandar, kampung dan kawasan pendalaman sebagai buruh kasar, petani dan nelayan. Pemikiran rasionalis dicirikan oleh objektiviti, sekularisme, empirisme, materialisme, kuantitatif dan logik tertib Aristotelian. Pemikiran saintifik adalah salah satu terbitan pemikiran rasionalis. Orang Melayu rasionalis sangat mementingkan nasib dan kedudukan dunia berbanding dengan isu-isu yang berkaitan dengan alam akhirat. Mereka biasanya mengukur kejayaan dari segi kedudukan pendidikan sekular, jawatan yang disandang dan harta benda. Ijazah dari Cambridge atau Harvard, kereta mewah, rumah banglo, akaun bank di dalam dan di luar negeri adalah ukuran penting yang menentukan martabat seseorang itu dalam kelompok (i). Pemikiran tradisional cenderung kepada pemikiran magis, simbolisme, metafizis, kualitatif dan logik bebas tertib yang kabur. Pandangan alam mereka tidak banyak berbeza daripada apa yang telah digariskan dalam Kitab Jawi lama. Orang Melayu tradisional pula sangat mementingkan alam akhirat atau sekurang-kurangnya menganggap soal alam akhirat sebagai sama penting dengan soal dunia. Ijazah dari Al-Azhar atau Mahaad, hafiz Al-Quraan, warak dan alim menentukan martabat seseorang itu dalam kelompok ini.

Namun begitu dalam perbincangan yang lepas kita perhatikan bahawa wujud paradoks dan keanehan dalam sejarah perkembangan pemikiran Melayu. Misalnya, di dapati di kalangan mereka yang kononnya mewakili kelompok (i) tetapi dalam masa yang sama mengunjungi para pengamal ilmu mistik dan sihir. Telah tersiar dalam akhbar tempatan mengenai tokoh-tokoh politik, yang berpendidikan barat, menggunakan khidmat para pengamal sihir. Jelas para pengamal ilmu mistik dan sihir tergolong dalam kelompok (ii). Begitu juga wujud keadaan di mana mereka yang berada dalam kelompok (ii) berkhidmat atau mendukung cita-cita mereka dari faham (ii). Oleh demikian terdapat semacam bentuk interaksi antara dua kelompok dalam konteks yang agak aneh bagi para pemerhati luar. Di samping itu fenomena tersebut memperlihatkan bahawa pandangan rasionalis dan sekular yang wujud pada kelompok (i) tidaklah setulen yang disangka. Begitu juga bagi mereka dari kalangan kelompok (ii), faham dan pandangan mereka tidak sedalam yang disangkakan. Sekiranya kita ingin merangkumkan fenomena tersebut di bawah istilah yang mengambil kira ciri (i) dan (ii); mungkin kita boleh rujuk pegangan puak yang awal tadi sebagai faham (iii) pesudorasionalis, dan puak yang terkemudian pula sebagai faham (iv) pseudotradisionalis.

Kebangkitan faham Islam pada pertengahan tahun 1970an, yang didukung oleh gerakan ilmiah dan sosial Islam daripada kalangan mereka berpendidikan barat dan sekular merupakan satu lagi paradoks dalam sejarah budaya fikir Melayu, terutamanya bagi pemerhati luar. Tertubuhnya badan ilmiah seperti Akademi Sains Islam (ASASI) yang mendukung cita-cita "mengislamkan" ilmu sains dan profesional moden oleh para saintis dan profesional Melayu berpendidikan barat memang sukar dimengerti oleh kebanyakan para pemerhati sosial barat. Manakala penubuhan pergerakan sosial Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) lebih mudah dijelaskan dalam konteks model-model analisis sosial yang ada. Namun hakikatnya ialah pergerakan seperti itu di dokong oleh para pemuda yang rata-rata berpendidikan sekular, dan tidak kurang juga antara mereka datang dari keluarga yang berada dalam kelompok (i). Hakikat ini merupakan fenomena yang masih tidak mudah untuk dijelaskan sebegitu sahaja.

Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas, kita telah meneliti perkembangan budaya fikir Melayu dan faham-faham yang telah terbentuk dalam akhir abad ini. Penelitian ini adalah penting kerana evolusi pemikiran Melayu semasa ada kaitannya dengan pergolakan yang wujud jauh dalam sejarah sosiointelektual Melayu. Bahkan boleh di katakan bahawa bentuk-betuk pemikiran yang wujud kini adalah manifestasi dan kesan daripada pergolakan masa-masa yang baru berlalu. Kerangka pemikiran Melayu telah mengalami proses pembaratan melalui pendedahan kepada konsep sains dan falsafah moden semenjak zaman kolonial dan berterusan sehingga negara mencapai kemerdekaan. Proses pembudayaan tersebut bertambah giat lagi dalam program pendidikan pasca-Merdeka. Program tersebut telah berjaya melahirkan satu masyarakat Melayu yang mempunyai budaya fikir sains. Di kalangan mereka ini wujud keadaan di mana konsep sains dan kosmologi sekular moden seolah-olah telah menggantikan kerangka idea dan kosmologi tradisional. Nilai-nilai asas, estetik, sosial dan juga kepercayaan Melayu lama digantikan dengan kosmologi dan semiotik sains moden. Dari kelompok ini juga timbul satu faham baru yang kini lebih dikenali sebagai Mahathirisme. Satu faham yang menjadi subur dikalangan orang Melayu kelas menengah dan atasan pada tahun-tahun 80an dan 90an.

Walaupun kita cenderung untuk membahagikan minda Melayu sebagai berpaksi kepada dua polar pemikiran yang ekstreme: (i) rasionalis dan (ii) tradisionalis. Mereka yang tergolong dalam kelompok (i) biasanya adalah dari kalangan kelompok kelas menengah dan atasan, berpendikan moden ala barat. Manakala mereka yang terdiri daripada kelompok (ii) ialah daripada kalangan kelas buruh, petani dan nelayan atau berpendidikan tradisional. Pemikiran rasionalis dicirikan oleh objektiviti, sekularisme, empirisme dan materialisme. Pemikiran rasionalis cenderung kepada pemikiran saintifik, kuantitatif dan logik tertib Aristotelian. Manakala, pemikiran tradisional cenderung kepada pemikiran magis, metafizis dan logik bebas tertib yang kabur. Pandangan alam mereka pada asasnya masih memelihara Weltanschauung Kitab Jawi.

Namun begitu kita telah perhatikan bahawa gambaran sebenarnya tidaklah semudah yang disangkakan. Kita dapati wujud paradoks dan kontradiksi dalam sejarah perkembangan pemikiran Melayu. Misalnya, di kalangan mereka yang kononnya mewakili kelompok (i), masih lagi berluluasa kepercayaan terhadap ilmu mistik dan sihir. Kita dapati tokoh-tokoh politik, terutamanya, walaupun yang berpendidikan barat, bermain sihir. Kita tidak hairan sekiranya ilmu mistik dan sihir berluluasa di kalangan kelompok (ii). Sebaliknya yang kita dapati ialah sering sekali mereka yang berada dalam kelompok (ii) berkhidmat dan mendokong cita-cita keduniaan material mereka dari faham kelompok (ii). Oleh demikian terdapat semacam bentuk interkasi atau kekaburan antara dua alam fikir yang dianggap sebagai terpisah, dalam konteks yang agak aneh.

Senario yang kompleks ini terserlah pada tahun- tahun 1970an, dengan kebangkitan faham Islam rasionalis di kalangan pemuda terpelajar Melayu dan penubuhan badan ilmiah seperti Akademi Sains Islam (ASASI). Antara manifestasi tersebut ialah dalam bentuk ilmiah dan usaha "islamisasi" ilmu sains oleh para profesional Melayu berpendidikan barat dan sekular. Hal tersebut jelas merupakan paradoks dalam sejarah budaya fikir Melayu. Penubuhan pergerakan sosial Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) juga yang di dokong oleh para pemuda yang rata-rata berpendidikan sekular, dan datang dari kelompok (i) merupakan satu lagi fenomena yang tidak mudah untuk dijelaskan dengan begitu sahaja, terutamanya dalam konteks model-model analisis sosial yang sedia ada.

Namun begitu beberapa teras faham moden yang timbul dalam kelompok (i) seperti Mahathirisme lebih mudah difahami. Mahathirisme, misalnya, telah mengujudkan keadaan di mana penyuburan pemikiran digital dan orang Turing Melayu suatu kemungkinan yang amat mudah diujudkan.

Kontrakdiksi dalam budaya fikir Melayu yang digambarkan tadi tidak menjadi masalah besar dalam konteks kerangka faham moden seperti Mahathirisme. Bahkan peluburan kontradiksi seperti itu dapat dicapai dengan efisien dalam alam fikir maya yang beteraskan konsep digitalisasi. Dalam alam maya, hakikat, realiti, impian, dan kebenaran, misalnya, tidak terpisah. Dalam dunia maya, harimau belang boleh bertukar menjadi manusia hitam dan yang hitam boleh diputihkan dengan sekelip mata. Tegasnya, yang hitam tidak semestinya hitam selama-lamanya dan yang putih tidak semestinya hakikatnya putih. Dalam alam maya dunia mistik dan khayalan dengan dunia objektiviti, empiris dan fizis sains seolah-olah wujud secara harmoni dalam dunia alam maya dan digital perkomputeran.

Dalam alam maya dan dunia digital perkomputeran, Mahathirisme mendapati kerangka fikir yang amat serasi, dan bahkan mampu mengukuhkan teras ideologi dan fahamnya. Kerana itulah migrasi kepada pemikiran digital boleh dianggap satu langkah yang hampir mesti. Ditambah pula dengan faktor luaran yang berkebetulan pula menjadikan pemikiran digital dan komputasi sebagai arus perdana dunia semasa. Ditambah pula juga dengan manifestasi teknologi dan material, dengan bantuan pengiklanan "hype" yang agresif mempromosikan teknologi digital dan perkomputeran sebagai teknologi dan wahana kemajuan alaf baru berjaya menambat hati sebahagian besar orang Melayu. Namun, Mahathirisme tetap boleh dikatakan sebagai bertangungjawab menyediakan dan mengujudkan keadaan di mana kemungkinan bagi menyuburkan pemikiran digital di kalangan orang Melayu lebih mudah. Tegasnya, dalam kerangka Mahathirisme mengujudnya "orang Turing Melayu" (yang setanding dengan orang Turing Barat) bukanlah suatu yang payah sangat.

Mahathirisme seolah-olah memaksa orang Melayu membuat pilihan sama ada pemikiran Melayu tradisional masih lagi relevan dalam dunia pasca sains. Institusi seperti MIMOS dan projek TMK gergasi seperti KRM (MSC) yang kini di terajui oleh orang Melayu menandakan bahawa pemikiran pasca sains moden telah pun timbul di kalangan orang Melayu. Penubuhan Institut Sistem Mikroelektronik yang lebih dikenali dengan singkatan, MIMOS, terarah kepada mempromosikan dan menyediakan negara bagi melayari lebuhraya informasi serta menunggani arus teknologi maklumat.

Kepentingan Institusi seperti MIMOS, dan kemudiannya projek TMK gergasi seperti KRM (MSC), bukan sekadar hanya terletak pada objektif sosioekonomi. Kepentingan sebenar terletak kepada siapa dan jenis Melayu yang terpilih menerajuinya. Hal ini betambah jelas apabila kita menoleh ke arah Tengku Mohd. Azzman Sharifadeen, Pengarah pertama MIMOS, yang kemudiannya terus menarujui MIMOS Bhd. sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Tengku (panggilan mesra yang lebih beliau senangi), merupakan seorang anak Melayu yang terdidik dalam bidang sains dan kejuruteraan. Beliau merupakan pakar sains jurutera yang unik kerana turut menguasai bidang yang biasanya amat asing dengan bidang kepakaran kejuruteraan elektronik, iaitu bidang falsafah ilmu, epistemologi Islam dan falsafah sains. Jelas, Tengku merupakan antara anak didik pasca Merdeka, yang dihantar ke United Kingdom melanjutkan pelajaran dalam bidang sains dan teknologi. Sekembali ke Malaysia, beliau bertugas pensyarah, dan kemudiannya sebagai Dekan, di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya. Tidak berapa lama kemudian, Profesor Ungku Aziz, Naib-Canselor Universiti Malaya ketika itu, melantik beliau Fakulti Kejuruteraan. Kejayaan beliau tersebut jelas mendapat perhatian dari luar kampus Universiti Malaya. Sudah menjadi kebiasaan ketika itu, apabila Mahathir merangka pelan tindakan untuk membawa Malaysia ke arah menceburi industri berat, beliau menoleh ke arah Universiti sebagai sumber tenaga mahir, terutamanya Universiti Malaya. Antara nama-nama yang di calonkan sebagai Ketua pengasas MIMOS, nama Tengku timbul diantaranya. Terdapat dua-tiga versi tentang siapa sebenarnya yang mengajukan nama beliau kepada Mahathir, dan kenapa beliau terpilih daripada antara calon-calon lain, namun hal tersebut tidaklah begitu penting berbanding dengan hakikat bahawa pencalonan beliau dipersetujui oleh Mahathir.

Pemilihan penumpuan Mahathir kepada mikroelektronik pada awalnya adalah semata-mata dalam konteks kerangka program perindustrian semasa. Bahkan mikroelektronik ketika itu masih di lihat tidak lebih sebagai sebahagian daripada sektor industri perkakasan elektronik. Industri perkomputeran dan teknologi maklumat belum lagi disedari dengan meluas oleh perancang dasar S&T tempatan sebagai industri jelmaan baru yang menjadi penjana kekayaan dalam dunia pasca industri. Bahkan ketika itu Malaysia baru sahaja ingin melangkah kepada era industri berat, berbanding dengan Amerika dan Eropah yang mula bersedia melangkah kepada era pasca industri. Juga dalam awal tahun 1980an, konsep pemetaan teknologi (Technology Mapping) dan kaedah pencaman masadepan teknologi (Technology Foresight) merupakan suatu yang amat asing di Malaysia. Idea komputer peribadi, e-mel atau lebuhraya maklumat rata-rata tidak kedengaran, melainkan dikalangan beberapa elitis ilmuwan terpencil. Sebab itulah boleh dikatakan sebelum Tengku menerajui MIMOS, mikroelektronik pada awalnya hanya dilihat sebagai lanjutan manifestasi paradigma sains moden dalam kerangka budaya fikir sains moden (dianuti oleh generasi berbudaya fikir S&T yang diwakili oleh generasi Mahathir).

Mahathir merupakan antara generasi anak tempatan yang terawal melalui pendidikan sains kolonial. Ketika beliau graduan dari Kolej Perubatan kolonial di Singapura, beliau seolah-olah merupakan spesis mutasi yang asing dari kalangan anak tempatan. Pandangan alam yang beliau anuti sebagai graduan doktor kolonial amat asing dengan gelombang budaya fikir utama dalam masyarakat ketika itu. Oleh itu beliau boleh dianggap sebagai lambang serta contoh par excellence bagaimana pandangan alam anak tempatan telah berjaya dirobah melalui pendidikan formal sains kolonial.

Tengku pula adalah hasil polisi pendidikan pasca merdeka, dibawah polisi menghantar berduyun-duyun anak-anak Melayu ke Barat untuk mendapat pendidikan S&T pada awal tahun 1970an. Tengku kembali ke tanah air ketika pandangan alam tempatan tentang S&T agak positif dan kempen revolusi mental yang dipelupori oleh beberapa tokoh UMNO mula mendapat perhatian. Tengku kembali ketika suasana ilmiah agak mula subur khususnya gelombang intelektual alternatif dan kritikal yang mempersoalkan budaya intelektual barat semata-mata. Tuntutan kepada pandangan yang lebih luas dalam pelbagai bidang dan pandangan alternatif tentang sains dan teknologi barat di institusikan di Universiti Malaya. Hal ini kelihatan dalam kursus sejarah dan falsafah sains yang di perkenalkan di Fakulti Sains. Tengku merupakan antara mereka yang diminta memikul tugas pengisiannya.

Hal-hal yang disebutkan sebentar tadi mempunyai kaitan rapat dengan corak dan usaha pengintitusian pendigitalan minda Melayu. Jelas, pelbagai jenis gelombang luaran menghempas dan sentiasa memaksa perubahan dalam dunia semasa. Jolokan gelombang semasa dikenali dengan gelombang ketiga Tofler, iaitu tentang lendakan informasi (maklumat sintaktik) yang meminggirkan peranan maklumat klasik (maklumat semantik)serta mrenghakis kerangka dan struktur yang menampung maklumat semantik tradisional. Namun, sayangnya, masih lagi ramai yang tidak mampu memahami implikasi intelektual dan kebudayaan di sebalik fenomena tersebut. Kebanyakan antara mereka yang faham pula hanya mampu melihat perubahan itu daripada sudut sosio-ekonomi atau teknologi semata-mata, dan mereka tidak mampu melihat apatah lagi memahami dampak tersebut daripada dimensi epistemologikal yang lebih tinggi dan menyeluruh. Tengku adalah segelintir kecil cendekiawan yang memahami kesemua itu, bukan sahaja dari sudut techne semata-mata tetapi juga dari sudut episteme.

Tengku memahami bahawa lendakan arus tersebut bukan sahaja akan merubah setiap sektor sosio-ekonomi tradisional secara menyeluruh, bahkan juga Weltanschauung tradisional orang Melayu. Keupayaan menanggani sebarang perubahan seperti itu hanya mungkin apabila kerangka pemikiran berupaya disediakan untuk melayari arus tersebut. Kesediaan seperti itu harus berlaku pada setiap kategori komuniti, dari puak peniaga kepada puak pentadbir dan pendidik. Bahkan mereka yang bertani dan berkebun juga harus disediakan menghadapi arus tersebut. Penyediaan kerangka fikir dan merubah paradigma masyarakat untuk menghadapi arus tersebut merupakan usaha yang besar dan harus dilakukan mengikut langkah-langkah yang tersusun. Usaha menyeluruh seperti itu jelas harus diinstitusikan.Di sinilah peranan Majlis IT Nasional (NITC). Kepentingan Majlis ini terserlah apabila Mahathir sendiri mempengerusikannya dengan Tengku pula menjadi Setiausaha tetapnya serta MIMOS sebagai Sekretariat.

Majlis tersebut mempunyai beberapa objektif, antara yang terpenting ialah (i) bagi menentukan strategi penggunaan serta perkembangan IT, (ii) bagi mengalakkan penggunaan IT bagi tujuan meningkatkan prestasi oraganisasi dan individu disetiap peringkat masyarakat. Antara fungsi yang diinstitusikan bagi mencapai objektif tersebut ialah tindakan-tindakan untuk meningkatkan kesedaran sosial dan kesedaran kepentingan IT, tegasnya pembudayaan IT.

Pembudayaan IT bukan sekadar bererti meluasnya penggunaan komputer di kalangan orang awam terpilih. Pembudayaan IT juga bukan semata-mata terlaksana dengan sektor -sektor awam seperti pendidikan, kesihatan, perniagaan dan media massa beroperasi berteraskan teknologi perkomputeran. Pembudayaan IT juga bererti bahawa idea pembangunan (suatu konsep moden yang kini diterima oleh orang Melayu, amnya) serta objektif kesejahteraan se kelompok dimungkinkan tercapai dalam lingkungan waktu tertentu melalui mediasi TM. Budaya fikir individu dan masyarakat semasa harus diselaraskan dengan pemikiran TM. Ini merupakan satu faham yang diinstitusikan melalui NITC. Faham ini juga disebut sebagai pembudayaan TM menurut orang Turing (dibincang dalam kuliah 7). Pada asasnya, itu semua ialah lanjutan daripada penerapan budaya fikir saintifik, yang mana Mahathir telah terlatih dan mengakui dengan bangga, sama ada secara lisan atau tulisan, menghayatinya. Begitu juga Tengku yang turut terlatih dalam bidang yang sama. Sekiranya Tengku melihat pemikiran Turing dari sudut peluang bagi menghidupkan ilmu sakral dan transenden yang praktis. Bagi Mahathir pula, pemikiran Turing tidak lebih sebagai lanjutan daripada pemikiran saintifik klasik, yang membelakang pandangan skaral dan transenden. Pendirian ini menyebabkan beliau beranggapan bahawa pemikiran tradisional tidak selari dengan pemikiran IT (atau pemikiran Turing). Jelas pandangan beliau tersebut hanya lanjutan daripada anggapan klasik (falsafah sains moden abad ke-19) bahawa pemikiran tradisional sebagai antitesis pemikiran saintifik.

Pembudayaan TM bererti komputer digunakan secara meluas dan maksimum oleh setiap peringkat orang awam bagi tujuan insaniah. Sektor awam menggunakan TM bagi tujuan peningkatan khidmat dan kecekapan untuk rakyat terbawah dan terbiar. Prasarana asas TM diwujudkan di setiap ceruk kawasan. Pemikiran TM diselaraskan dengan budaya fikir dan idealisme yang mengutamakan nilai-nilai insaniah yang murni. Pembangunan bererti menuju kepada pembentukan masyarakat maddani secara kelompok dan insan-al-kamil pada peringkat individu melalui mediasi TM. Ini merupakan satu lagi ragam faham yang lain. Faham ini disebut sebagai pembudayaan TM menurut "insan al-kamil."

Satu faham melihat komputer dan TM sebagai satu-satu wahana intelektual dan sosial yang mampu membawa kesejahteraan di dunia ini. Motif penggerak faham ini adalah budaya niaga yang berteraskan keuntungan dan monopoli komersial. Dalam pemikiran seperti ini sesuatu yang menguntungkan dari segi perhitungan niaga akan sendirinya mendapat tempat istemewa dalam masyarakat. Oleh itu sekiranya sesuatu tahap teknologi itu tidak mendatangkan untung niaga maka ia tidak akan dipupuk. Keperluan masyarakat atau perhitungan keperluan insan di letakkan sebagai satu fungsi sekunder keuntungan. Faham ini merupakan pegangan perdana dan mendapat tempat utama di kalangan para ahli korporat dan politik semasa.

Manakala faham yang kedua lebih menekankan pembudayaan TM dari sudut kepentingan insani. Oleh itu pembudayaan TM diukur mengikut untung ruginya masyarakat terbanyak. Faham kedua juga melihat arus pembudayaan TM harus diikat dengan norma dan nilai transenden yang termaktub dalam kitab-kitab yang ditanzilkan dari langit. Faham ini terpinggir dan berlegar di kalangan para akademis, intelektual dan ulama.

Kejayaan pengujudan "orang Turing Melayu" seolah-olah prasyarat kejayaan proses penginstitusian pendigitalan masyarakat setempat. Hal tersebut tidak boleh dipisahkan hubungannya dengan pembudayaan S&T dikalangan orang-orang pribumi dan orang Melayu. Dalam perbincangan dahulu kita lihat bagaimana penerapan budaya fikir S&T barat, khususnya, telah melahirkan paradoks dan kontradiksi dalam sejarah perkembangan pemikiran Melayu moden. Namun kontrakdiksi seperti itu seolah-olah mampu ditanggani dengan efisien dengan pengujudan "orang Turing Melayu."

Pengujudan "orang Turing Melayu" dikira tercapai melalui proses pengintitusan digitalisasi. Proses ini didukong oleh agensi seperti MIMOS dan NITC, dan juga melalui institusi TMK yang berpusat di KRM (MSC). Usaha aktif pengintitusian pendigitalan minda Melayu tersebut harus dilihat bersama peranan penting segelintir cendekiawan Melayu yang terdidik dalam bidang S&T moden. Mereka tersebut menjadi penentu kepada implikasi intelektual dan kebudayaan di sebalik fenomena pembudayaan digitalisasi minda Melayu melalui TM tersebut. Sebab itulah proses pembudayaan tersebut harus dilihat daripada sudut dimensi epistemologikal yang menyeluruh, terutamanya daripada konsep episteme. Hal ini kerana proses tersebut berdasarkan konsep "orang Turing."

V. Rumusan

Tegasnya, pebincangan kita disini dan dalam tujuh kuliah yang lepas pada asasnya bertujuan untuk membuat penelitian dan wacana awal tentang dua perkara:

(I). Bagaimana sesuatu idea sains dan teknologi moden mungkin boleh merubah kepercayaan, alam fikir dan budaya fikir Melayu iaitu teras kosmologi Melayu;

(II). Bagaimana sesuatu idea sains dan teknologi mungkin diserap (sama ada secara sedar atau tidak) dan menjadi teras baru kepada kerangka pemikiran Melayu.

Pendekatan perbincangan di sini adalah lebih cenderung kepada sifat teoritis, konsepsual dan spekulatif berbanding dan bukan kuantitatif, empiris dan deskriptif. Disebabkan batasan yang ada, kita telah menghadkan perbincangan pada kesan sosio-intelektual yang lahir daripada salah satu dari aspek utama fenomena sains dan teknologi terkini iaitu Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), yang berteraskan epistemologi digitalisasi dan teknologi perkomputeran. Sama ada perubahan atau kesan tersebut akan menghasilkan natijah yang menguntungkan umat Melayu secara mutlak atau sebaliknya, merupakan persoalan menarik.

Di sini kita telah cuba menjelaskan beberapa persoalan berkaitan yang boleh membantu untuk memahami isu-isu utama yang terlibat. Telah ditegaskan bahawa pendekatan perbincangan di sini bukan bertujuan untuk mengambil sikap menghukum atau memihak kepada mana-mana kelompok atau gelombang pemikiran. Perbincangan kita juga tidak bertujuan untuk memihak atau mengkritik mana-mana ideologi atau program politik semasa. Perbincangan ini hanya bercadang - sekurang-kurangnya pada kesempatan ini - untuk mengketengahkan satu isu atau agenda intelektual yang perlu diteliti dengan cermat dan dikaji dengan lebih lanjut lagi. Sebarang kesimpulan yang dibuat adalah bertujuan akademik dan semata-mata untuk tujuan perbincangan ilmiah. Sekiranya sebarang kesimpulan yang terhasil mempunyai implikasi yang lebih dari itu maka itu adalah soal lain yang harus diteliti dalam forum yang berlainan.

Sepanjang perbincangan, kita sedar bahawa meninjau sesuatu yang telah berlaku dalam rangka waktu yang berlalu begitu lama, membawa banyak risiko historiografi. Risiko tersebut semakin bertambah apabila melibatkan penelitian interaksi dua atau lebih alam fikir serta ditambah pula dari dua kawasan geografi yang berbeza. Resiko anakronisme, kesahihan data dan interpretasi wujud dalam apa jua bentuk historiografi. Resiko tersebut bertambah ketara apabila meninjau sejarah intelektual atau perkembangan budaya fikir sesuatu tamadun. Oleh itu, dalam siri kuliah ini, kita tidak lupa bahawa rumusan dan perbincangan kita sebenarnya dilakukan dengan mengharungi risiko tersebut.

Tamat.


copyright Hairudin b. Harun 1999
Send comment or question to Hairudin b. Harun: hbharun@pc.jaring.my
Go to Cyber Semiotic Institute home page
Go to Course Outline
Go to Kuliah1 / 2 / 3 / 4 / 5 / 6 / 7