
Kuliah 2: Kuliah ini akan meneliti dengan lebih mendalam sedikit isu-isu yang telah dibangkitkan dalam Kuliah 1. Kajian zaman orientalis kolonial mengenai budaya dan kosmologi Melayu dipadankan dengan kajian selepas merdeka yang dibuat oleh sarjana tempatan. Kuliah ini akan meneliti fasa-fasa pendedahan pemikiran Melayu kepada pengaruh-pengaruh asing. Bermula pada zaman pengaruh Hindu, Buddhis, Islam dan seterus pada zaman penjajahan Eropah.
Kuliah 3: Memperkenalkan beberapa perubahan yang berlaku kepada budaya dan kosmologi Melayu akibat pertembungan dengan budaya fikir Eropah. Bermula dengan pertembungan orang Melayu dengan orang Portugis pada abad ke-16 dan berakhir dengan British pada pertengahan abad ke-20. Perhatian istemewa akan diberikan kepada kesan pengaruh budaya fikir British kepada pemikiran tradisional Melayu. Turut diteliti ialah kesan sistem pendidikan dan sistem semiotik British kepada struktur pendidikan formal dan tak formal Melayu.
Kuliah 4: Memperkenalkan isu-isu epistemologi asas berkaitan dengan Teknologi Informasi (IT). Penekanan diberikan kepada isu-isu yang penting dalam konteks pertembungan dengan kerangka pemikiran Melayu. Turut diteliti secara ringkas ialah sejarah intelektual perkomputeran. Sejarah perkembangan perkomputeran di alam Melayu juga akan turut dibincang.
Kuliah 5: Memperkenalkan budaya fikir Melayu semasa. Terutamanya, akan diteliti peranan Melayu baru, iaitu pendukung obor pemikiran baru, dan kedudukan Melayu lama, pendukung pemikiran tradisional dalam pembentukkan serta pengukuhan budaya fikir digital. Turut diteliti ialah proses pendigitalan pemikiran Melayu dalam tahun 1990an.
Kuliah 6: Meneliti kesan konsep MSC (Multimedia Super Corridor) kepada budaya fikir Melayu. Turut diteliti ialah sama ada penglibatan orang Melayu dalam dunia dan ekonomi digital mensyaratkan pendigitalan keseluruhannya pandangan alam Melayu. Perbincangan lanjut mengenai kesan MSC terutamanya pardigma pendigitalan kepada budaya fikir tradisional.
Kuliah 7: Meneliti makna perubahan dalam Weltanschauung Melayu baru akibat penyerapan pemikiran perkomputeran. Turut diteliti ialah kesan perubahan tersebut kepada budaya fikir kelompok Melayu yang masih tersisih. Perbincangan juga meliputi soal manifestasi perbezaan tersebut dalam konteks sosio-ekonomi, politik dan kemasyarakatan umum.
Kuliah 8: Meneliti senario-senario umum yang berlaku akibat pendigitalan alam pemikiran Melayu. Kuliah akhir ini akan mengupas kembali berberapa isu asas yang telah dikemukakan dalam kuliah-kuliah yang lepas. Beberapa kesimpulan kritis akan dikemukakan sebagai petunjuk bagi penelitian seterusnya.
Penutup: Terima kasih kerana mengikuti kuliah siber ini. Saya berharap tuan-puan berpuas hati dengan kuliah-kuiah yang diberikan. Mudah-mudahan kursus ini telah memberi manfaat kepada tuan-puan.